Bab 1

216 10 1
                                    

DAH berapa lama dia tidur? Sejam? Dua jam? Tapi kenapa kepala masih berdenyut? Dia memang benci bila migrain menyerang, sakitnya berhari-hari. Haifa tarik selimut nak sambung tidur, namun kain itu beratnya terasa lain macam, serentak itu hidungnya terhidu bau yang kurang enak. Bau ubat?

Perlahan-lahan dia membuka mata, terpandang siling putih. Kepala menoleh ke sebelah, terlihat katil besi kosong di sebelah katilnya. Mata beralih pula pada pergelangan tangannya, terdapat wayar bersambung ke botol air yang tergantung di tepi katil.

Dia berada di hospital? Dahi Haifa berkerut. Apa yang berlaku? Dia cuba bangun tapi badannya terasa lemah dan berdenyut-denyut. Fikirannya betul-betul terasa kosong. Tak ingat apa-apa!

Haifa menarik nafas dalam, hembus perlahan. Cuba tenangkan diri sambil beristighfar. Perlahan-lahan cebisan memori muncul di ruang yang kosong. Proton Wira. Kancil Merah. Lampu isyarat. Ya Allah! Dia ingat! Dia ingat!

"Doktor, mana ayah saya?" Soal Haifa bila melihat seorang lelaki menghampiri katilnya.

Lelaki itu berhenti melangkah. Dahinya berkerut. Mungkin gadis itu masih mamai, kesan ubat masih belum hilang sepenuhnya.

"Syukurlah, awak dah sedar."

"Ayah dan adik saya di wad berapa doktor?"

"Erkk... saya bukan doktor. Awak tak cam saya?" Mikhail garu kepala.

"Siapa awak?" Wajah Haifa berkerut.

"Awak tak ingat? Kita dah berkenalan sebelum ni. Kat sebuah tempat... di... err..." mulutnya rasa berat. "Kat kedai makan di Betong. Ingat?"

Haifa terkebil-kebil memandang lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bila masa pula aku berkenalan dengan dia? Kenapa aku tak ingat? Kedai makan? Betong?

"Awak kemalangan. Saya yang hantar awak ke sini." Mikhail berdeham perlahan.

"Awaklah yang selamatkan saya. Terima kasih. Tapi, ayah dan adik saya di wad berapa?"

Ayah? Adik? Mikhail sekali lagi bingung. Dahi Mikhail berkerut. Takkan masih mamai lagi?

"Ayah?" Sekali lagi Mikhail garu kepala.

"Masa kemalangan, ayah dan adik saya ada sekali dalam kereta."

"Tak ada." Mikhail geleng kepala. "Saya rasa awak mangsa langgar lari. Sebab saya jumpa awak terbaring dekat semak, seorang diri. Tak ada sesiapa masa tu. Kenderaan rosak pun tak ada." Mikhail menghela nafas panjang.

"Eh, mustahillah! Saya ingat lagi, kereta saya bertembung dengan kereta Kancil. Saya rasa, awak salah orang ni."

"Erkk... Mungkin..." Mikhail menghela nafas. "Awak... awak rehatlah dulu. Saya panggil doktor."

Mikhail segera meninggalkan bilik 107. Dia menggeleng kepala. Pelik. Kenapa gadis itu membebel perkara yang bukan-bukan? Dia yang selamatkan gadis itu, jadi dia lebih tahu keadaan yang sebenar.

Pelik! Kenapa dia kata aku mangsa langgar lari? Haifa picit dahi. Takkan Perodua Kancil tak mengalami sebarang kerosakan semasa bertembung dengan Proton Wira? Takkan aku seorang yang tercampak keluar dari kereta? Mana ayah? Mana Hasrul? Mana pemandu Perodua Kancil?

SELEPAS lelaki yang tak dikenali itu melangkah keluar, seorang jururawat bertahi lalat di dagu melangkah masuk. Haifa memandang tag nama pada uniform jururawat itu.

"Sekejap ya. Saya nak tukar balutan di tangan awak tu." Aida tersenyum manis.

Haifa hulur tangan. Jururawat terus membuka balutan di lengan Haifa.

PARUTWhere stories live. Discover now