Bab 4

74 7 0
                                    

HAIFA merenung bilik sederhana besar. Ada katil saiz queen dihiasi cadar bunga ros dan sebuah almari.

"Awak rehatlah dulu. Mesti penat, kan? Kalau nak apa-apa, cakap je. Jangan segan-segan." Farhani berdiri di muka pintu bilik.

"Terima kasih. Syukur sangat-sangat jumpa dengan keluarga awak yang sanggup terima saya sebagai tetamu di sini. Sedangkan keluarga awak tak kenal pun saya siapa. Dan saya sendiri pun tak kenal siapa saya dalam empat tahun ni..."

"Abang ada cerita pasal awak, Haifa. Kami akan tolong awak sampai awak jumpa keluarga awak. Jangan sedih-sedih." Farhani melabuhkan punggung di birai katil.

"Awak ada ke masa saya kemalangan tu?"

"Dah lewat petang masa tu." Farhani merenung ke cadar. Dia menghela nafas. "Lepas keluar dari masjid masa nak menuju ke border, tiba-tiba abang brek kereta. Kami nampak Fa dekat semak. Tangan... dahi... penuh darah. Jadi kami cepat-cepat bantu."

"Mikhail kenal saya ke?" Haifa mahu menguji sejauh mana kebenaran cerita Mikhail tentang dirinya melalui Farhani.

"Abang memang kenal Haifa. Kami ke sana semata-mata nak bantu bawa awak keluar dari sana. Sebab abang cakap, dompet awak kena ragut masa kat sana. So, awak terpaksa tinggal dan kerja di sana sementara urusan awak untuk dapatkan pasport selesai."

"Saya memang kerja kat restoran masa kat sana?" Haifa inginkan kebenaran.

"A'ah. Tapi masa kami sampai kat restoran tu, awak dah tak ada. Pekerja situ tak tahu awak ke mana. Tak sangka pula awak terlibat dalam kemalangan. Entah siapa yang berhati kejam tu, dah la langgar orang, lepas tu biar je kat tepi jalan." Farhani mengetap gigi.

Haifa pejam mata. Dia menarik nafas. Tahan dan kemudian hembus perlahan-alahan. Betullah, aku kerja di Betong. Dia telan liur. Sukar nak percaya tapi itulah hakikatnya.

"Kenapa Haifa?"

Haifa geleng kepala. Mulutnya seolah-olah terkunci. Begitu juga dengan minda dan perasaannya. Kenapa aku boleh kerja di tempat tu? Takkan mak boleh lepaskan aku sorang-sorang di negara orang? Pelik! Dia menggigit kuku lagi.

"Ani keluar dulu. Awak tidurlah." Farhani menutup pintu bilik.

Grrrrr!!!

Haifa hanya mampu jerit dalam hati. Dia menghempaskan kepalanya ke bantal lalu terus menarik selimut. Tidurnya berendam air mata.

"MACAM mana? Dapat tak?" Tegur Farhani yang baru pulang dari sekolah. Dia meletakkan tas tangan atas meja lalu duduk di sebelah Haifa.

"Saya tak ingat password." Haifa menyandar ke sofa. Dia melepaskan keluhan.

"Facebook? Tak ingat jugak?"

"Saya memang tak ada akaun Facebook. Tapi saya dah daftar tadi. Saya cuba jejak akaun adik-adik saya tapi tak jumpa. Entah nama apa yang dia orang guna."

"Dia orang guna nama lain kut. Biasalah tu. Ada orang tak suka guna nama penuh," ujar Farhani yang sengaja meninggalkan komputer riba di rumah supaya Haifa boleh jejak keluarganya melalui laman sosial.

"Walaupun telekomunikasi dah canggih, tapi apasal susah benar nak kesan keluarga saya? Rasa macam... dia orang hilang macam tu je. Tak de tinggal jejak."

"Sabar, Haifa. Belum masanya lagi tu. Mesti ada cara lain."

"Mak su... hanya mak su harapan saya sekarang." Wajah Haifa kembali ceria. Terbayang wajah mak su, adik emak di ruang mata.

"Dia mesti tahu alamat keluarga saya. Tapi..." Haifa ketap bibir. "Saya tak tahu nak ke sana. Ada ke bas ekspres terus ke KL?"

"Hish! Tak payah, tak payah! Bahaya naik bas."

PARUTWhere stories live. Discover now