"Allahuakbar...Allahuakbar, kalau cheq guguq sekarang cheq guguq syahid. Bismillahirahmannirrahim."
Petang itu, sebuah kumpulan pengkaji paranormal yang berasal dari Singapura telah bertolak ke Johor Bahru untuk menjalani penggambaran dokumentari mengenai kewujudan alam bunian di sana. Kumpulan KEROPOK yang dianggotai oleh Dee Fen, Shima, Suhana, dan Daeng itu adalah sebuah kumpulan yang bergiat aktif dalam mengkaji dan merungkai segala fenomena misteri yang seringkali berlaku di kalangan masyarakat setempat. Tugasan pada kali ini cukup berbeza daripada tugasan sebelumnya kerana buat pertama kalinya mereka akan membongkar kisah di sebalik kewujudan alam bunian yang sering menjadi bualan masyarakat sebelum ini. Shima dan Dee Fen adalah pasangan suami isteri yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini, Suhana pula adalah sepupu kepada Dee Fen, manakala Daeng adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang berasal dari Kedah dan baru sahaja menganggotai kumpulan tersebut sejak beberapa hari yang lepas.
Mereka tiba di lokasi yang ditetapkan itu ketika jam sudah menghampiri 7 malam. Bangunan buruk yang berusia ratusan tahun di Tanjung Puteri itu menjadi subjek kajian mereka untuk kali ini. Masing-masing mula memainkan peranan dengan memasang peralatan dan kelengkapan untuk penggambaran pada lewat malam itu. Sebaik selesai dengan tugasnya, Dee Fen telah keluar untuk bertemu dengan rakannya manakala Shima dan Suhana hanya berehat di dalam bangunan sambil berbual kosong sesama mereka. Daeng pula sedang bersendirian di luar bangunan itu sambil menyanyikan lagu-lagu nasyid daripada kumpulan nasyid kegemarannya.
"Beb, kau rasa betul ke ada orang bunian kat dalam ni?" Soal Suhana dengan penuh tanda tanya.
"Aku rasa orang bunian ni tak tinggal kat tempat-tempat macam ni. Maksud aku takkanlah bodoh sangat diorang tinggal kat sini." Bidasnya lagi.
Shima diam membisu sambil mematahkan ranting-ranting pokok yang sudah mati tanpa menjawab persoalan yang dikemukakan itu. Dia termenung jauh tanpa sebarang bicara.
"Shima. Aku tanya ni. Kau ni senyap je kenapa? Kita datang sini nak shoot sambil enjoy. Bukan nak bersedih beb..."
"Oittt...Cik puteri cantik, awak dengar tak ni?" Soalnya lagi sambil menepuk kepala Shima berulang kali.
"Woi kau ni kurang ajar betul. Berani tepuk kepala aku? Ingat aku tak bayar zakat ke?" Tangan Suhana ditepis dengan kasar tatkala dia melontarkan katanya yang penuh maksud mendalam.
"Aku gurau je beb."
"Tu bukan gurau. Tu cari pasal namanya!"
"Dah tu aku tanya kau tak jawab tadi, so aku guraulah macam tu..." Jelas Suhana lagi.
Ketika mereka berdua rancak bersembang, Shima ternampak susuk tubuh seorang manusia sedang memerhatikan mereka di pintu hadapan bangunan itu.
"Su...cuba kau tengok kat pintu tu...Macam ada orang berjalan ke sini..."
"Syyy...Diam beb..." Dalam kesamaran malam, dia memerhatikan dengan terperinci susuk kelibat yang sedang berdiri di pintu besar bangunan itu.
YOU ARE READING
Paranormal Dee Fen & Rakan-Rakan
Science FictionMengisahkan mengenai sebuah kumpulan pengkaji aktiviti paranormal yang bergiat aktif dalam mengkaji dan merungkai segala fenomena misteri yang seringkali berlaku di kalangan masyarakat setempat. Kumpulan mereka dikenali sebagai Keropok.