Ariq Adamy meneliti jam tangan Casio yang mengelilingi pergelangan tangan kirinya. Tepat jam pukul 3.26 petang. Sayup angin melambai setiap helaian daun yang memaut utuh di dahan pokok. Walaupun kadangkala angin yang berlalu meniup kencang, belum ada tanda sehelai daun dari pohon besar itu mahu turun menyembah bumi. Belum bersedia menggugurkan diri bagi memberi laluan kepada daun baru memulakan kitaran hidup. Matahari pula mula memudarkan cahaya terik yang disinari sepanjang pagi tadi.
Ariq bangun membetulkan struktur badannya. Keletihan selepas meniarap hampir satu jam. Replika senjata M110 semi-automatic sniper yang digalas pada bahu kirinya diletakkan mencecah tanah. Dia mendirikan ibu jarinya tegak sebagai tanda isyarat kepada dua orang rakan yang masih berada di padang latihan. Isyarat menandakan latihan mereka sudah berakhir buat hari ini.
Dari teleskop yang dibawa bersama, Ariq dapat melihat Mohd Zackry dan Andy Joah menghela nafas panjang. Meskipun kedudukan mereka dari Ariq agak jauh, kedengaran Andy berteriak kuat melepaskan kepenatan yang terbuku sejak satu jam lepas. Latihan yang dijalankan sejak beberapa hari ini belum dapat ditarik nafas lega.
Ariq Adamy hanya tersengih sebelum langkahnya dihayun bagi meninggalkan perkarangan padang latihan yang dibina hampir tiga tahun. Terus sahaja Ariq berjalan masuk ke arah vila yang dibina oleh arwah mama tatkala mamanya menajejakkan kaki di New Zealand. Strategik lokasi vila putih yang terperosok jauh dari bandar Ashburton. Dikelilingi dengan padang seluas lima ekar dan sebuah tasik kecil memang membuatkan perkarangan vila itu sesuai bagi mereka menjalani latihan menggunakan senjata api. Sunyi dari jiran tetangga mahupun hiruk-pikuk bandar yang bising.
Sebaik meletakkan senapang yang dipegang, laju Ariq melangkah terus ke dapur sehingga kakinya berhenti di hadapan peti misteri yang berada di setiap rumah. Peti sejuk. Satu tin cola dan sepotong kek coklat yang dibeli pagi tadi dikeluarkan dari perut peti. Dia memerlukan kandungan gula bagi mengganti tenaganya yang banyak dihabiskan di padang latihan.
Ariq menuju ke ruang tamu pula. Sepiring kek dan tin cola diletakkan di atas meja kopi. Badannya direbahkan ke sofa. Ariq menumbuk perlahan bahunya yang terasa lenguh. Puas dengan urutan yang dilakukan di badan sendiri, Ariq mendapatkan ipad yang terselit di sisi sofa.
"Dude, kek aje ke juadah kita hari ni? Nasi-nasi tak ada? Aku lapar ni." Andy menerpa rapat Ariq yang tekun melihat skrin ipad, kek coklat yang dibawa dari dapur belum dijamah sedikitpun. Melihatkan kek yang berada di hadapan Ariq masih belum disentuh, laju tangan Andy menarik piring kaca itu dan diletakkan dihadapannya pula. Sesekali matanya melihat Ariq yang masih tidak mengalihkan pandangan. Takut Ariq memarahinya sebelum sempat dia menghabiskan kek yang dimakan. Sia-sia sahaja.
"Hari ni kau nak makan apa, riq? Kalau kau nak makan ringkas, aku tak payah nak keluar pergi pekan beli barang. Masak aje apa yang ada dekat rumah." Zack bersuara. Dia mula melabuhkan punggung di sofa berdekatan. Peluh yang memenuhi dahinya dilap segera dengan belakang tapak tangan. Matanya mengerling Andy yang sibuk menerkam kek coklat. Zack merupakan satu-satunya lelaki yang paling banyak memegang sudip di dapur. Walaupun teknik memasak belum mencapai tahap Gordon Ramsay, sekurang-kurangnya dia mampu mengendalikan makanan lebih baik daripada mereka berdua.
"Keep it simple. Asalkan bukan mi segera. Sandwich fine." Jawapan Ariq cukup memberikan anggukan kepada Zack. Sejak Zack mengenali Ariq, lelaki berdarah Inggeris ini memang tidak pernah menyentuh mi segera malah Ariq pernah muntah ketika Zack menghidangkannya untuk dijamu. Sejak itu, Zack tidak akan membeli mi segera melainkan dia dan Andy kempunan mahu menikmatinya.
YOU ARE READING
Satu Peluru Cinta
ActionDi sebalik status kerjaya yang digalas, ARIQ ADAMY sama seperti lelaki lain. Mendambakan kasih sayang daripada seorang gadis. Mengelak untuk bercinta dengan mudah, Ariq membenarkan kesunyian melanda diri. Membiarkan sunyi berkubur di dalam hati. Pab...