BAB 1: Jatuh Cinta Pandang Pertama

181 11 2
                                    

"Shazarina binti Azman!"
Tersentak Ina apabila mendengar namanya dijerit kuat sebegitu rupa. Pada masa yang sama, kelihatan seorang gadis berlari-lari anak menghampirinya.

"Betullah awak memang Ina, ya! Ya Allah...saya ingatkan ada pelajar dari Arab baru pindah ke sekolah kita."

"Yalah...ini memang saya. Apa perlunya awak melaung nama penuh saya kuat-kuat? Sengaja buat pengumuman biar satu sekolah dengar?"

"Mari kita ke tepi sedikit..."

Farah menarik lengan si sahabat baik,bimbang sekiranya menghalang laluan para pelajar yang memasuki pintu gerbang Sekolah Sri Bangsar.Apabila berada di ruangan yang sesuai, barulah Farah merenung Ina lama-lama. "Mengapa awak berniqab? Adakah sebab kita dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sri Bangsar? Awak memang betul-betul mahu berubah hingga tahap begini? Mengapa awak tidak ajak saya sekali? Kita kawan baik yang sehati sejiwa, biarlah berhijrah bersama-sama!"

Pertanyaan bertalu-talu yang meluncur dari mulut Farah seperti air terjun! Ina tergelak mendengar Farah menyebut perkataan 'berniqab' dengan penuh perasaan. Siap dengan bunyi qalqalah lagi!

"Eh, awak jangan merepeklah! Mana ada orang berniqab guna sapu tangan Hello Kitty." Ina membetulkan kedudukan sapu tangan yang dilipat segi tiga dan diletakkan ke muka. Niqab atau berpurdah adalah gaya pemakaian wanita arab yang menutup separuh muka dan hanya nampak mata.

"Habis? Mengapa tutup muka begitu?" Farah masih menyoal gaya polis, dituding-tuding muka Ina dengan jari.

"Saya tutup dagu sebab segan. Tengoklah...jerawat tumbuh dan membiak pesat, berbenjol-benjol jadinya macam permukaan bulan! Mungkin sebab perubahan hormon dalam badan saya semakin tidak seimbang, itu punca jerawat berlumba-lumba hidup riang." Akhirnya Ina berterus-terang tentang 'penyakit' wajah yang dihadapinya. Memang jerawat yang tumbuh di bawah dagu itu boleh mendatangkan aib sekiranya ditayang kepada umum. Tidak mungkin mahu dibiarkan warga Sri Bangsar menatap dagunya yang dipenuhi jerawat. Tidak sama sekali! Keadaan itu memang mengerikan!

"Jadi, awak mempergunakan niqab untuk menutup kecacatan wajah? Hish...ini macam memperalatkan dan mempergunakan agama!"

Ina segera mencubit lengan Farah sehingga ternaik badan menanggung kesakitan. Geram sungguh Ina dengan tuduhan melulu Farah. "Haa...padan muka! Saya gunakan sapu tangan bagi menutup keadaan muka saya, bukannya berniqab. Sekiranya saya tayang dagu saya ini, nanti awak sendiri yang muntah tidak lalu makan!"

Farah menyapu perlahan-lahan lengan yang baru mendapat 'suntikan' daripada Ina. Mulutnya memuncung, bibirnya diketap tanda tidak mahu berkata apa-apa.

"Sudahlah, tidak payahlah merajuk." Langkah mereka sudah tiba di hadapan kelas. "Maaflah, saya cubit awak penuh bertenaga pagi ini."

"Itulah awak! Cubit saya kuat-kuat mengalahkan sepit ketam. Saya baru mahu cadangkan cara hilangkan jerawat."

"Betul awak ada cara bantu saya? Okey, waktu rehat nanti awak kongsikan ya?"

Farah angguk, kemudian bibirnya merekah senyum. Dua sahabat yang tadinya macam berperang dingin, kembali berbaik. Bertaut tangan bersama-sama memasuki kelas.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 29, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Aku Mahu Seoul MateWhere stories live. Discover now