"RATU, mama dan Taufiq rancang nak berkahwin. Cuma belum tetapkan bila tarikhnya. Mungkin kami akan kahwin dalam masa terdekat. Ratu okey ke?"
Sangat tak okey! Hati kecil Ratu Althia merusuh.
"Mama dah fikir masak-masak ke?" soal Ratu Althia dingin. Meskipun sudah lama tak tinggal sebumbung, mereka selalu berhubung.
"Mama dah fikir, Ratu. Walaupun mama tak harapkan ada lelaki lain selepas papa, mama terima kalau ini jodoh mama. Lagipun, dah lapan tahun mama tinggal sorang-sorang. Ratu pun tak nak tinggal dengan mama. Bila pintu hati mama dah terbuka untuk kahwin lain, mama rasa Taufiqlah lelaki yang sesuai untuk jadi pengganti papa," luah Puan Suzana.
Sekali lagi, sangat tak sesuai. Beza usia Taufiq dan mama sangat ketara. Kalau umur mama sekarang 48 tahun, Taufiq pula baru 29 tahun. Cuma beza tiga tahun dengan umurnya. Kalau papa kahwin lain, papanya kahwin dengan janda anak dua. Taklah pelik sangat.
Sekarang ini, mama kahwin dengan teruna. Hampir sebaya dengannya pula. Lelaki itu tak sesuai untuk mamanya. Walaupun dia tak suka dengan pilihan itu, dia tak mampu bersuara. Risau mamanya akan tersinggung.
"Kalau mama dah kahwin nanti, mesti mama tak pedulikan Ratu lagi, kan?" Hati Ratu Althia tersentuh dengan khabar itu.
Selama ini pun dia hidup sendirian. Walaupun ada mama dan papa, hakikatnya dia seperti tak punya sesiapa. Sejak habis belajar, dia keluar dari rumah dan hidup berdikari bersama kawan-kawan. Walaupun papanya berkali-kali meminta dia berpindah ke sana, dia enggan.
Mana boleh tinggal dengan dua adik-beradik tirinya? Kalau perempuan, boleh diterima. Ini lelaki. Perangai teruk. Sekarang, dia sudah jarang berhubung dengan papanya. Entahlah. Rasa agak janggal sekarang.
"Ratu kan anak mama. Mestilah mama ambil tahu. Ratu tinggal dengan mama, ya?"
Ratu Althia tarik nafas dalam-dalam. Rasa nak menangis, tetapi dia kena kuat. Kalau mama kahwin nanti, mustahil aku akan tinggal dengan dia. Tak sanggup, bisik hati kecilnya.
"Tak apalah kalau itu keputusan mama. Ratu tak ada hak nak halang. Ratu doakan mama bahagia dengan pilihan mama. Okey?"
"Terima kasih, Ratu. Ratu tinggallah dengan mama ya. Tolong-tolong mama."
Ratu Althiya di sini dah garu dahi. Rasa gelilah nak tolong mamanya uruskan hal-hal perkahwinan. Dah tua kut. Tak perlulah beria-ia macam orang muda. Kalau dia yang nak kahwin, lainlah ceritanya.
"Tengoklah. Ratu cuba apply cuti nanti." Ratu Althia menjawab acuh tak acuh.
Habis perbualan dengan Puan Suzana, Ratu Althia keluar dari bilik. Menonton TV boleh buat dia lupa sejenak tentang perkahwinan mamanya.
"La, ingatkan dah tidur," sapa Matilda atau Tilly.
Dia yang berbaring di sofa terus angkat tubuh, memberi ruang kepada Ratu Althia untuk duduk. Ratu Althia melabuhkan punggung di situ. Bantal kecil yang didakap oleh Tilly dirampas. Tilly tayang muka aneh.
"Ni macam ada yang tak kena aje," duga Tilly.
"Mama aku nak kahwin."
"Apa? Kahwin? Dengan siapa?" Tilly kaget dengan berita itu.
"Hmm, dengan lelaki yang tua tiga tahun daripada kita. Cuba kau bayangkan. Kau rasa kau boleh terima ke bapa tiri kau muda dengan umur macam tu? Lelaki tu lebih layak jadi menantu dia, tahu."
Bila disuruh bayangkan, Tilly cuba membayangkan jika dia berada di tempat Ratu Althia. Maklumlah, dia kan penulis. Kena banyak berimaginasi dan berfikir.
"Tapi, kalau dah jodoh dia, nak buat macam mana. Terimalah. Okey apa ada daddy muda? Hmm?" Tilly pamer muka gedik. Menari-narikan keningnya atas ke bawah.
"Aku malulah, Tilly."
"Kau nak malu apa?"
Tilly memang tak faham. Ratu Althia terpaksa terangkan kenapa.
"Cuba kau fikir. Mama aku sepatutnya dapat menantu, bukan suami baru."
"Itu ke masalahnya?"
Ratu Althia mendengus. Susah sangat ke Tilly nak faham?
Bunyi ketukan pintu menghentikan seketika perbualan antara Ratu Althia dan Tilly.
"Lupa bawa kuncilah tu," getus Tilly.
Dengan malas, Ratu Althia bingkas pergi ke arah pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Ratu Althia terpanar. Ditenung Haifa dari atas ke bawah. Dia pegang baju yang tersarung di badan Haifa. Kainnya digosok dengan hujung telunjuk dan ibu jari. Warna sama, material sama, corak sama. Memang sama. Ratu Althia mengerdipkan matanya berkali-kali.
"Aku pinjam baju kau."
Pin... Pinjam? Ratu Althia tercengang.
Haifa dengan selamba masuk ke dalam rumah sambil membawa bungkusan Pizza Hut.
Ratu Althia masih kaku di muka pintu. Geram memang geram. Bibirnya terketap-ketap. Itu bukan pinjam. Itu curi namanya. Dah banyak kali Haifa curi pakai bajunya. Kalau yang biasa-biasa tak apalah. Ini yang cantik, yang mahal, yang ada jenama. Baju yang Haifa pakai itu baru sekali dia pakai. Masih baru. Siapa tak sakit hati?
Setiap kali dia nak marah, Tilly selalu halang. Kononnya nak jaga hubungan tiga penjuru. Sekarang ini, hati dia yang sakit, siapa nak jaga?
"Ratu, buat apa berdiri kat situ? Ni, aku ada beli piza. Hawaiian Chicken tau."
Ada aku kisah dengan piza kau, hah? gerutu Ratu Althia dalam hati. Nafasnya yang laju cuba dikawal. Marah. Geram. Sakit hati. Langsung tak rasa bersalah masuk bilik orang untuk ambil baju. Dia dah kunci. Macam mana Haifa boleh masuk?
Bila Ratu Althia menyertai semula Tilly dan Haifa, Tilly dah faham apabila melihat air mukanya. Tilly lantas mengusap belakangnya.
"Ifa, kalau tak silap aku, pintu bilik aku berkunci. Macam mana kau ambil baju tu?"
Haifa yang sedang membuka kotak piza pandang Ratu Althia. Dia menarik sepotong pizza yang sudah dipotong enam bahagian.
"Aku ambil kat ampaianlah. Maaflah, Ratu. Baju aku hantar ke dobi. Tak sempat ambil. Jadi, aku pinjam baju kau untuk keluar jumpa Izzad tadi."
Ratu Althia genggam jari-jemarinya. Rasa nak tumbuk Haifa pun ada. Kau keluar dating, tapi pakai baju aku. Amboi, amboi, amboi. Mulalah Ratu Althia nak berjoget lagu Altimet.
"Eh, makanlah dulu. Sejuk nanti tak sedap." Tilly mencelah. Dia tidak mahu Ratu Althia terbawa-bawa dalam kemarahannya.
Tengok piza pun tak selera. Ratu Althia rasa sakit hati yang tak terluah. Dah puas dia bersabar dengan perangai hamba Allah ini. Kalau sekali dua, boleh dimaafkan. Kalau dah berkali-kali?
YOU ARE READING
LEBIH DARIPADA INDAH
RomanceBLURB 1 Dia bukanlah ratu cantik, ratu kebaya atau yang seangkatan dengannya. Tetapi, seperti nama yang tertulis pada surat beranak dan kad pengenalan, namanya adalah Ratu Althia. Tak pernah bercinta. Tetapi, bila berjumpa dengan lelaki yang berjaya...