BAB 5

35 1 0
                                    

"KAU tulis cerita apa sekarang?" tegur Ratu Althia ketika berlabuh di sebelah Tilly.

Matanya menebar ke meja makan. Tiada apa-apa pun yang boleh dimakan.

"Mana boleh bagi tahu. Kau kenalah beli dan baca sendiri."

"Eh, apa kata kau tulis cerita pasal aku?" kata Ratu Althia sambil menepuk bahu Tilly.

Terjongket bahu Tilly sambil mengerling Ratu Althia.

"Pasal kau? Tak best. Boyfriend pun tak ada. Nanti novel aku tak laku," seloroh Tilly. Jari-jemarinya kembali mengetuk-ngetuk papan kekunci.

"Kau ni, aku bergurau ajelah. Jangan serius sangat. Mentang-mentang aku tak ada boyfriend."

Tilly senyum nipis. Cuba fokus dengan ayat yang sedang dikarang.

"Tilly, kau nak tahu satu berita gembira tak?"

"Apa dia?"

"Pandanglah aku kejap."

Tilly tidak menoleh. Mata melekat di skrin komputer riba. "Cakap aje. Aku dengar."

"Aku dah ada calon boyfriend aku. Hmm, aku rasa aku macam suka kat Encik Edruslah."

"Hmm, baru kenal dah suka? Lepas tu?"

Semua yang ada pada dirimu

Membuat aku, ku aku jatuh cinta

Come on baby say you love me

Nada dering Pencuri Hati mengganggu perbualan Ratu Althia dan Tilly. Dia cepat-cepat menjawab sebab bimbang akan mengganggu fokus Tilly pula.

"Helo, mama."

"Ratu dah tidur ke?"

"Belum. Tengah borak-borak dengan Tilly. Kenapa, mama?"

"Sabtu ni mama nak jumpa famili Taufiq. Ratu ikut sekali boleh?"

Ratu Althia diam sejenak. Perlahan-lahan melepaskan keluhan ringan. "Kalau Ratu tak ikut?"

"Ratu kena teman mama. Sekurang-kurangnya famili dia boleh kenal anak mama."

Ratu Althia pandang Tilly yang tekun menaip. Dia mengeluh lagi sambil bersandar lemah. "Okey, mama."

"Terima kasih, sayang. Nanti mama jemput Ratu kat rumah, ya?"

"Hmm. Okey. Assalamualaikum." Ratu Althia memandang telefon pintarnya dan melepaskan satu keluhan berat.

PINTU gelangsar almari ditolak. Ratu Althia mencari baju untuk dipakai esok. Ada pertemuan antara dua keluarga katanya. Dia terpaksalah ikut serta atas permintaan mamanya.

Ratu Althia membelek pakaiannya satu per satu. Dahinya mula berkerut. Pencariannya semakin pantas, namun baju yang dicari tidak juga kelihatan. Dia belum pakai lagi baju itu. Ia masih baru dan bertag. Ratu Althia ketap bibir. Tiada orang lain lagi yang disyaki kecuali Haifa. Temannya yang seorang itu memang betul-betul mencabar tahap kesabarannya.

Tanpa berlengah, Ratu Althia keluar dari biliknya dan bergegas ke bilik Haifa. Dia merempuh masuk begitu sahaja tanpa mengetuk pintu. Ketika itu Haifa sedang baring atas katil, berbual menerusi telefon.

"Kenapa ni, Ratu?"

Ratu Althia menerpa ke arah Haifa dan merampas telefon di tangan Haifa. "Kau ni tak reti nak minta izin ke?"

Haifa tercengang-cengang. Dia mahu merampas semula telefonnya daripada Ratu Althia, tetapi temannya itu menolak tubuhnya. Sudahlah dia sedang berbual dengan teman lelakinya. Habislah kalau dia terdengar mereka bergaduh.

"Kau cakap apa ni, Ratu?"

"Jangan pura-pura tak tahulah, Ifa. Apa masalah kau, hah? Kenapa kau suka curi pakai baju aku? Dahlah kau pakai baju yang aku belum pakai. Kau ingat aku beli baju nak bagi kau pakai ke? Aku dah lama sabar dengan perangai kau. Jangan sampai aku halau kau keluar dari rumah ni."

Haifa tidak berdiam diri. Dia naik dada, mara ke arah Ratu Althia yang sedang berang. Dia seolah-olah sengaja menempah nahas.

"Ya! Memang aku ambil baju kau. Aku duplicate kunci bilik kau. Kau nak buat apa?"

"Kau tanya aku nak buat apa? Ni makan dia!"

Dush!

"Ratu! Ifa!" jerit Tilly apabila terdengar suara kecoh datang dari bilik Haifa.

Bila dia masuk, dilihatnya mereka berdua sedang bergelut. Maka berlakulah acara tumbuk-menumbuk dan tarik-tarik rambut. Tilly bertindak meleraikan mereka, tetapi dengan dia sekali terjebak sama dalam pergelutan itu.

TILLY bermasam muka. Haifa pula masih tak keluar dari bilik.

"Tilly, aku minta maaf sebab tertumbuk kau."

Tilly kerling Ratu Althia dengan ekor mata. Tertumbuk? Padahal ketika dia hendak meleraikan pergaduhan mereka, Ratu Althia yang tarik rambut dia. Kemudian dia diganyang pula oleh Haifa. Tak pasal-pasal mukanya dapat lebam percuma.

Ratu Althia ambil roti bakar. Tatkala nak suap ke mulut, mukanya berkerut kerana sakit. Kesan lebam di tepi bibirnya agak menyakitkan. Nasib baik tak patah gigi taringnya. Kuat betul tumbukan Haifa semalam. Sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Yang menjadi masalah sekarang, macam mana dia nak terangkan kepada mamanya pasal lebam ni?

"Aku tak kisah kau orang nak bertumbuk. Yang diheretnya aku join sekali tu kenapa? Kau tengok mata aku ni. Tak payah pakai eyeshadow dah untuk seminggu," ujar Tilly geram seraya menunjukkan mata kirinya yang lebam.

Ratu Althia tercebik-cebik. Dia bukan sengaja. Mungkin kerana tersampuk dek syaitan membuatkan dia hilang kawalan.

"Aku minta maaf. Bukan kau aje yang lebam. Aku ni pun tak payah pakai blusher dah. Original lagi ni." Ah, sempat lagi dia nak melawak.

Tilly menghadiahkan jelingan tajam kepada Ratu Althia. "Yalah. Aku maafkan. Aku tak nak sebelahkan sesiapa. Tapi, kau tak sepatutnya halau Ifa keluar dari rumah. Kita bertiga dah lama tinggal bersama. Walaupun kau dengan dia sejak dulu tak sependapat, takkan pasal benda kecil macam ni sampai nak halau-menghalau?"

Kali ini Tilly bersikap tenang. Marah tak memberi apa-apa keuntungan, malah mendatangkan kerugian. Macam sekarang, semua dapat lebam.

"Ni bukan benda kecil, Tilly. Dia dah duplicate kunci bilik aku. Walaupun dia tak ambil benda lain dan cuma curi-curi pakai baju aku, aku tak boleh terima. Aku... tak boleh nak maafkan. Kau boleh ke kongsi baju kau dengan orang lain?" luah Ratu Althia.

"Dia pakai, tapi dia bagi balik, kan?"

Ratu Althia diam. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Habis?"

"Satu masalah lagi, dia tak bagi tahu. Itu mencuri namanya. Kalau dia bagi tahu nak pinjam baju, aku okey. Ni tak, dia ambil tanpa kebenaran aku. Lepas tu, curi masuk bilik aku. Siap ada kunci pendua. Kalau kau kat tempat aku?"

Tilly mendengus ringan. "Semua masalah ada jalan penyelesaian. Kau cakap dengan dia elok-elok yang kau tak suka perbuatan dia tu. Tak boleh?"

Betul juga kata Tilly. Walaupun Tilly bukan kawan seagama, tetapi kata-katanya agak berhikmah.

"Sekarang ni kita nak selesaikan macam mana? Aku tak nak kau bermasam muka, dia bermasam muka. Sampai bila nak macam tu, kan?"

Ratu Althia tak beri jawapan. Dia menyuap roti ke mulut. Gigit dan tarik dengan rakus.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 01, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

LEBIH DARIPADA INDAHWhere stories live. Discover now