Bab 7

1.5K 35 0
                                    

TERMENGAH-MENGAH nafas Najla ketika sampai di depan muka pintu. Hajah Karimah yang sedang melipat kain di ruang tamu menjeling sekilas. Malas mahu bertanya dengan anak dara yang hampir setiap petang hilang kelibatnya.

Tahu pula balik ke rumah sebelum Haji Lutfi pulang dari kolam udang. Memang patut pun kalau suaminya itu beria-ia mahu mengahwinkan Najla sebelum anak gadis itu melanjutkan pelajaran. Jika tidak, entah apa jugalah yang dilakukan Najla, tambah-tambah apabila sudah jauh dari mata dia dan Haji Lutfi.

"Mak!" Najla melaung dari muka pintu. Hajah Karimah mengangkat muka. Memandang sekilas wajah anak yang selalu membuat hatinya walang.

"Mak, orang panggil ni..."

"Ya. Kamu nak apa? Mak, mak. Cakapnya tidak. Duk memanggil dari tadi."

"Habis tu mak tak menyahut."

"Dah tu sekarang ni mak tengah buat apa? Menyanyi? Bukan ke mak tengah dengar apa yang kamu nak cakap ni? Kamu nak apa? Nak susu?"

"Mak ni, main-main pula. Orang dahlah tengah susah hati ni."

"Susah hati kenapa? Makan minum mak ayah tanggung, rumah tak payah sewa, hutang tak ada, nak beli bedak pun mak ayah belanja, itu pun nak susah hati lagi?" usik Hajah Karimah sambil menahan senyum melihat wajah Najla yang sudah bertukar cemberut.

"Mak, pagi tadi mak beritahu bakal suami Najla tu ayah dah carikan. Siapa orangnya, mak? Sudin ke?" Giliran Hajah Karimah pula yang berkerut dahinya.

"Sudin mana pula ni?"

"Sudin yang jual roti canai dekat warung depan simpang ke balai raya itulah. Dia tu ke bakal suami Najla, mak? Najla tak mahu kalau dia yang mak nak kahwinkan dengan Najla. Mak tolonglah pujuk ayah. Najla tak mahu kahwin dengan Sudin tu..."

Hajah Karimah sudah tergelak besar.

Najla sudah tercebik-cebik mahu menangis. Emaknya langsung tidak menunjukkan perasaan simpati terhadapnya. Malah boleh pula ketawa dalam waktu-waktu genting begini. Sudah hilangkah perasaan kasih emak kepadanya?

"Mak, janganlah ketawa. Najla susah hati mak boleh pula ketawa masa-masa macam ni. Najla tahulah mak tak berapa sayang pada Najla. Tapi janganlah buat Najla macam ni."

"Siapa yang beritahu kamu yang Sudin tu bakal suami yang ayah kamu carikan?" tanya Hajah Karimah setelah ketawanya reda. Kasihan pula melihat wajah Najla yang keruh. Pastinya anaknya tidak senang duduk sejak dikhabarkan berita dia bakal dikahwinkan tidak berapa lama lagi.

"Yana."

"Cakap Yana tu yang kamu nak pakai? Najla, Najla. Walaupun Sudin tu tak ada kurangnya, tapi masakan ayah kamu nak pilih dia jadi menantu kami ni. Umur Sudin tu dah masuk empat puluhan, letih dia nak melayan kerenah kamu nanti."

"Betul, mak? Alhamdulillah... Bukan Sudin. Yana tu buat takut orang ajelah!"

"Tapi tak mustahil juga ayah kamu terima kalau Sudin tu masuk meminang kamu. Daripada kamu duduk di rumah tak buat apa, datang aje pinangan dari Si Sudin tu, sah ayah kamu terima."

Hati Najla yang baru mahu kembang, kuncup semula.

"Semalam mak kata calonnya dah ada. Hari ni lain pula."

"Aik! Tempoh hari beria-ia tak mahu. Hari ni dah bertukar fikiran pula?" Hajah Karimah tersenyum sinis.

"Mana ada! Najla tak kata pun yang Najla setuju. Najla tetap tak mahu kahwin. Biarlah siapa pun calonnya. Mak... Tolonglah pujuk ayah. Ayah kan sayangkan mak."

"Ayah lagi sayangkan kamu dari mak ni tau! Sebab itulah ayah kamu siap-siap pilihkan jodoh untuk kamu. Orang lain mana ada macam tu?" balas Hajah Karimah. Dia sebenarnya memang benar-benar maksudkan kata-katanya itu. Biar Najla tahu, apa yang Haji Lufti buat, adalah didorong oleh perasaan kasihnya sebagai seorang ayah kepada Najla.

"Macam tu ke tanda sayang? Kalau itulah makna sayang ayah pada Najla, tak sayang pun tak apalah, mak. Najla pasrah..." Meleret nada suara Najla.

Hajah Karimah mencebik. Tahu sangat dengan taktik mahu beli jiwa yang diguna pakai Najla. Kalau tidak, tak adanya Najla mahu bercakap dengan nada yang meleret-leret seperti itu.

"Ayah kamu tu sayang sangat pada kamu. Dia takut kalau dia dah tak ada nanti, tak ada sesiapa yang boleh jaga kamu, tengok-tengokkan keluarga kita. Nak harapkan abang dan kakak kamu, semuanya tinggal jauh-jauh. Lagipun, kalau biarkan kamu pilih sendiri jodoh kamu nanti, entah siapa-siapa jugalah yang kamu cekup. Bukan tak tahu kamu tu, asal muka handsome, mulut manis, bergaya sikit, semua kamu kata baik."

"Laaa... Ayah nak pergi mana pula? Kan ada aje kat rumah ni. Kalau setakat pergi ke kolam dan warung Si Sudin tu, tak payahlah sampai berpesan-pesan bagai. Ini siap carikan Najla jodoh lagi semata-mata nak suruh tengok-tengokkan keluarga kita. Setakat nak tengok-tengokkan mak dengan Khalis dan Mila tu, Najla pun boleh."

Hajah Karimah melempar sehelai kain batik kepada Najla. Pantas dielak Najla. Najla tersengih-sengih memandang Hajah Karimah yang sudah bulat mata melihatnya. Acah-acah marahlah tu. Najla ketawa kecil. Hajah Karimah memang suka bergurau dengannya, berbeza sungguh dengan perangai Haji Lutfi. Walaupun hatinya masih sarat dengan rasa terkilan terhadap kedua-dua orang tuanya, namun sepanjang enam tahun dia tinggal bersama Hajah Karimah dan Haji Lufti, dia dapat melihat bermacam-macam cara yang dilakukan Hajah Karimah untuk mengambil hatinya. Dan sebenarnya, dia juga berusaha untuk melayan Hajah Karimah sepertimana selayaknya sebagai seorang ibu. Namun, rasa kecil hati itu masih ada dan tetap tidak mahu hilang.

"Yalah, manalah tahu kalau-kalau esok lusa mak atau ayah mati. Siapa yang nak jaga, nak tengok-tengokkan kamu adik-beradik? Kak Shidah dan Abang Zaki kamu mak tak bimbang, masing-masing dah berkeluarga, dah bekerja. Ni, kamu yang tinggal tiga beradik lagi kat rumah ni yang mak dengan ayah duk risau. Inilah anak-anak, bukan nak faham hati orang tua. Tahunya tak nak, tak mahu, tak suka," bebel Hajah Karimah.

"Ayah dengan mak kan sihat-sihat aje. Apa sebut tentang mati pula ni... Najla tak sukalah, mak."

Walaupun dia masih menyimpan rasa luka dalam hati, namun, sesungguhnya Najla akui, dia tidak mampu untuk menghadapi kehilangan orang-orang yang disayanginya lagi. Kehilangan nenek dan datuknya dulu, sehingga kini dia masih lagi terasa sedihnya.

"Ha, baru mak sebut tadi. Kamu suka tak suka, kalau ajal tu datang, tak kira kamu tu sihat ke, sakit ke, tengah tidur pun boleh meninggal kalau Allah mahu. Apa, kamu fikir orang sakit aje ke yang akan mati ni? Najla, Najla. Mati ni tak kira umur, tak kira masa, sampai waktunya, tak kurang, tak lebih walau sesaat pun datanglah Malaikat Izrail tu memanggil."

"Mak ni, buat cerita seram pula tengah-tengah nak maghrib ni," rungut Najla. Tak suka sungguh bila topiknya menjurus pada sesuatu yang dia tidak rela. Walaupun dia tahu mati itu pasti, tetapi dia sengaja memilih untuk mengelak daripada memikirkannya.

"Apa yang seramnya? Betullah apa yang mak cakap tadi. Sudah! Ambil kain batik tu. Layan kamu, lipat baju pun tak selesai."

"Mak yang lempar, orang pula yang kena kutip. Nasib, nasib." Dalam pada bersungut pun, kain batik yang dilempar Hajah Karimah tadi dicapai Najla lalu dihulurkan kepada emaknya.

"Pergi masuk dalam! Tengah-tengah maghrib duduk depan muka pintu, elok sangatlah tu. Masuk! Tutup semua pintu dan tingkap. Balik ayah kamu, bising tengok pintu dengan tingkap ternganga luas waktu-waktu maghrib macam ni. Ha, itu baru betul jadi cerita seram nanti sekali ayah kamu bertempik."

Lambat-lambat Najla bangun. Akur pada perintah Hajah Karimah, mem besar rumah itu. Lagipun dia memang malas mahu memanjangkan cerita jika cerita itu berkaitan dengan Haji Lutfi. Haji Lutfi manalah suka padanya, itu yang tak sempat-sempat suruh aku bernikah, bisik hati Najla.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now