1

626 24 2
                                    


Kota ini kotor. Banyak sangat bala. Semalam aku dengar sebuah apartmen meletup di Angsana. Ramai juga polis mati. Jimi kata, mereka memburu seorang pembunuh bersiri di apartmen itu. Aku tak tahu sangat details kejadian. Kurang berminat dengan pembunuh-pembunuh tak pro di kota ini. Aku lain. Aku pro. Aku hanya mengambil nyawa orang-orang yang berbaloi untuk dibunuh dan aku dibayar untuk buat kerja itu.

Malam ini aku ada tugasan terakhir sebelum menamatkan kontrak-ku dengan sebuah agensi gelap yang dimiliki seorang wanita bernama Puan Melissa. Sejak mengikat kontrak dengan agensi tersebut, tidak pernah sekali pun aku bertentang mata dengan wanita itu. Aku hanya bertemu dengan Jimi, pembantu peribadi Puan Melissa.

Menaiki sebuah teksi, aku menuju ke sebuah panggung wayang. Sasaran aku kali ini ada di situ. Seorang cinephile yang banyak bercakap. Manusia yang terlalu banyak bercakap ni memang akan ditimpa masalah akhirnya. Manusia perlu belajar untuk diam sekali-sekala.

Sebelum keluar dari teksi, aku hulur RM100 pada pemandu dan minta dia untuk tunggu aku di belakang bangunan panggung. Dia sambut duit itu dengan teragak-agak. Wajahnya berkerut memandang wajahku. Jadi aku tambah lagi RM50. "15 minit aku tak muncul, kau boleh gerak," pesanku lagi sebelum menutup pintu teksi.

Pukul 9:46 minit malam. Aku melangkah masuk ke panggung. Ramai pula orang malam ini. Ada tayangan perdana agaknya. Sebuah poster besar Ryan Gosling bertopi koboi dan Nasir Bilal Khan acu pistol di tengah ruang legar panggung tersergam. Aku seluk kocek jaketku, keluarkan sekeping tiket wayang. Hall 4, seat T24. Filem Manchester at The Sea. Tayangan pukul 9:45 minit malam. Aku melangkah laju ke kaunter pemungut tiket. Hulur tiket pada pemuda yang berdiri di itu. "Sorang je?" tanyanya menyambut tiket yang aku berikan. Aku senyum dan angguk. Dia balas senyum dan hulur keratan tiket sambil berkata, selamat menonton. Aku rasa, dia berminat dengan aku. Hmm. Good looking juga. Namanya Azrol. Tertulis di name tag. Tapi sayang, rasanya dia hanya berkenan pada misai tipisku. Kalau tidak pun, aku rasa dia terlau muda untuk aku. Mungkin muda 5-6 tahun. Muda sangat. Tapi aku tak kisah lelaki muda dari aku. Yang penting, fikiran dia 'tua'.

Aku masuk ke hall 4. Tak ramai penonton. Filem baru bermula. Aku mencari tempat duduk T 24. Barisan tempat duduk T langsung takda orang. Barisan seat depan pun tiada orang yang duduk. Seraya melabuhkan punggung ke tempat duduk, aku mengira jumlah penonton di dalam hall. 19...20 orang semuanya. Tak sampai dua minit, seorang lelaki masuk. Aku mengkori pergerakannya. Berbadan gempal. Tinggi lima kaki lima inci. Pakai jaket labuh. Seperti yang dirancangkan Jimi, dia duduk betul-betul di depanku. Dia menoleh ke belakang. Memandangku sekejap. Aku betulkan topi gatsby di kepalaku. Aku rasa dia nampak wajahku disirami cahaya skrin panggung. Dan aku perasan dia senyum sebelum menoleh ke depan semula. Nama lelaki ini Mahmud. Tiap malam dia akan menghabiskan masanya duduk di panggung menonton wayang. Menonton wayang tak salah. Yang salahnya bila dia merakam wayang yang ditontonnya dan kemudian mencetak rompak. Pada mulanya, aku sendiri pelik, kenapa Puan Melissa mengarahkan aku untuk membunuh seorang pencetak rompak. Come on. I got class, okay? Pencetak rompak macam Mahmud ini berikan saja pada orang lain. Namun, bayarannya agak mahal. Dan ini tugasan terakhir. Jadi tak perlulah aku nak banyak songeh. Aku tak boleh sebutkan di sini berapa bayaran yang aku terima untuk menamatkan riwayat lelaki ini di dalam panggung wayang. Takut nanti budak-budak yang menganggur tak kerja di luar sana mengambil keputusan untuk menjadi pembunuh upahan macam aku. Pekerjaan ini sebenarnya tak baik. Berdosa. Tapi apa boleh buat, aku dah terjebak. Lagi pun Puan Melisasa kata, aku memang dilahirkan untuk menjadi seorang pembunuh upahan. Dan aku melaksanakan semua permintaan klien dengan sempurna tanpa ada apa-apa masalah setakat ini. Selain Puan Melissa dan pembantunya, tiada seorang pun yang tahu pekerjaanku di kota ini.

Berbalik pada Mahmud, dia bukanlah seorang pencetak rompak amatur. Seperti aku, dia seorang pro. Kalau anda perhatikan, tiada apa-apa yang dilakukan Mahmud sewaktu menonton wayang selain daripada menonton wayang itu saja. Tiada barang-barang perakam yang akan anda temui. Seperti yang anda perhatikan sekarang, dia hanya akan duduk tegak dan memandang ke hadapan sepanjang tayangan berjalan. Tapi percayalah, jika anda betul-betul fokus pada Mahmud, anda akan perasan suatu yang ganjil jika memerhatikan cara Mahmud menonton wayang. Mata kanannya langsung tak berkerdip. Dan jika anda berdiri di hadapan Mahmud ketika ini, dan merenung mata kanan Mahmud di dalam gelap, anda akan nampak satu titik merah di di bahagian kiri kornea matanya. Nampak tak? Itu alat perakam. Mahmud telah menggantikan mata kanannya dengan perakam mini berbentuk bebola mata. Dengar apa yang aku kata tadi? Menggantikan. Maknanya, mata kanan Mahmud ini dahulu berfungsi dengan baik. Tapi demi teknologi yang diracuni sikap tamak, Mahmud rela mengorbankan sebelah matanya. Bila aku fikir, sebenarnya Mahmud diarahkan untuk dibunuh bukan sebab dia mencetak rompak. Tapi disebabkan matanya itu. Ada kemungkinan Mahmud pernah tidur dengan seorang perempuan dan dia merakam adegan ranjang mereka berdua. Dan sekarang perempuan itu diugut Mahmud. Tapi itu kemungkinan sajalah. Puan Melissa tak bagitahu aku apa-apa tentang Mahmud selain daripada kesalahannya mencetak rompak.

Aku keluarkan sebatang pen yang terselit di kocek jaketku. Pen istimewa pemberian Puan Melissa untuk kerja kali ini. Mata penanya berbentuk sebatang jarum yang tajam dan dakwatnya berisi ricin. Disirami cahaya skrin, aku halakan hujung mata pen ke tengkuk Mahmud dan dengan satu cucukan pantas, jarum pen menembusi kulit tengkuknya. Dia terkejut. Seperti sengatan seekor lebah, dia menggaru-garu belakang tengkuknya sambil memandangku di belakang. Aku senyum. Dia memandangku sedikit lama. "Yes?" Tanyaku. Dalam keadaan keliru, dia menggosok-gosok tempat duduknya. Mungkin tercari-cari jarum yang menyucuk tengkuknya tadi. Dia membetulkan duduknya dan menonton wayang semula seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kesan ricin tidaklah pantas. Ia mengambil masa beberapa jam, mungkin juga beberapa hari untuk menampakkan kesan. Dan waktu itu, Mahmud sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan kerana bila salur darah seseorang tercemar dengan ricin, tiada apa-apa lagi yang dapat menyelamatkannya selain tuhan.

Selang lima minit kemudian aku keluar dari hall dan pergi ke belakang bangunan. Teksi tadi tiada di situ. Aku tatap jam di tangan dan aku menggeleng. Hujan turun renyai-renyai. Aku pun menelusuri lorong gelap sambil diperhati dan memerhati makhluk-makhluk malam yang berhabitat di situ. Kucing keding yang dikejar tikus sebesar kucing obes. Gelandangan yang berteduh di bawah kanvas buruk. Pusher dan pelanggan dadah yang cuba menyorok wajah. Pelacur-pelacur murah yang menanti pelanggan di pintu-pintu berlampu merah. Mereka semua memandangku dengan penuh rasa curiga.

Seraya melangkah, aku mencabut kening dan misai palsu yang menggoda pengutip tiket panggung tadi. Dan di hujung blok, aku tahan sebuah teksi untuk pergi ke subway berdekatan. Hujan kian lebat.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 29, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

NOKTURNAL - JELITAWhere stories live. Discover now