Aku sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah apabila menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Si pemanggil memberi salam dan memberitahu bahawa isteriku Nora terlibat dalam kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kruit. Pemanggil turut memaklumkan bahawa isteriku sudah dibawa ke Hospital Slim River dengan menaiki ambulans dan segala barang peribadi Nora berada dengan pemanggil.Dengan hati yang tak keruan, aku memandu ke Hospital Slim River untuk melihat keadaan Nora. Sempat juga aku membuat panggilan kepada Ara, pemilik Taska tempat anakku Aisya Sofea diletakkan ketika aku dan Nora pergi bekerja. Aku memaklumkan kepada Ara bahawa aku akan sedikit lewat menjemput Aisya kerana terpaksa ke Hospital Slim River untuk melihat keadaan Nora.
Sudah kehendak Ilahi, isteri yang kucintai tidak dapat diselamatkan. Saat aku tiba di hospital, aku hanya melihat sekujur tubuh kaku di atas katil. Hancur luluh hatiku. Terbayang wajah Aisya Sofea yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Kehidupan harus diteruskan. Akulah ayah, akulah ibu kepada Aisya Sofea. Si kecil itu juga sangat beruntung kerana dia sangat disayangi oleh pemilik Taska yang terletak bersebelahan dengan rumahku. Ara telah berkahwin selama beberapa tahun dengan seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjung Malim. Pernah mengandung, namun bayinya meninggal ketika di dalam kandungan. Dia menganggap Aisya Sofea seperti anaknya sendiri. Kadang-kadang, jika aku terlewat pulang, Ara akan membawa Aisya Sofea pulang ke rumahnya. Aku dan arwah pernah menyewa rumah yang Ara duduki sekarang sebelum kami membeli rumah di taman perumahan Sungkai Perdana ini.
Suatu hari, ketika aku melawat mak di pondok Sungai Bakap, aku bertembung dengan Ara yang juga melawat pondok arwah Nek Mah yang terletak bersebelahan dengan pondok mak. Rupa-rupanya dia sedang membawa diri kerana suaminya, cikgu Adam bakal berkahwin lagi. Seharian dia menangis sehingga demam dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Parit Buntar. Aku bersimpati dengan nasib yang menimpa Ara. Namun begitu aku tidak mahu mencampuri urusan mereka suami isteri. Tentu ada sebab mengapa cikgu Adam berkahwin lain.
Entah mengapa, semenjak aku mengetahui bahawa Ara sudah dimadukan, aku menjadi bersimpati dengannya. Ditambah pula dengan anakku yang semakin manja dengan Ara, aku seolah-olah mengharapkan dia untuk menjadi pengganti arwah. Aku beristighfar di dalam hati. Mustahil Ara menjadi pengganti arwah.
Sedih kehilangan arwah Nora masih belum hilang, tak lama kemudian mak pula pergi meninggalkan diriku. Aku terasa seolah-olah nafasku terhenti serta merta. Dua insan yang kusayang sudah tiada lagi di dunia ini. Berat sungguh beban perasaan ini.
Mengenangkan arwah Nora, hatiku meruntun pilu. Sudah beberapa bulan arwah pergi, aku masih belum mampu untuk melupakan dirinya. Banyak kenangan manis yang kami kecapi bersama sepanjang menjadi suami isteri dan ibubapa kepada Aisya Sofea. Tak terasa airmata ini mengalir deras. Perasaan rindu begitu mencengkam di jiwa.
Aku tersentak apabila pintu kereta sebelah pemandu dibuka. Cepat aku mengesat airmata di pipi. Ara yang sempat melihat pipi aku yang basah dengan airmata, segera masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah.
"Abang Syahid, jangan macam ni. Sedih Ara tengok abang. Terima hakikat yang makcik dah tak ada. Abang tak boleh macam ni. Aisya perlukan abang."
Aku sekadar berteleku merenung ke hadapan. Airmata yang kembali mengalir aku kesat menggunakan sapu tangan.
"Semua yang abang sayang dah pergi..." Aku bersuara perlahan.
"Redha bang... Allah dah atur. Ada hikmah di sebalik semua ni."
"Be my wife, Ara."
Jangankan Ara, aku sendiri terkejut dengan perkataan demi perkataan yang terluncur keluar dari mulutku.
YOU ARE READING
CERITERA HATI
RomancePelbagai kisah dan ragam dalam kehidupan seharian... Cerita ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Jika ada, itu hanyalah kebetulan sahaja. Cover by @MrEzekiel79