Review 5 Tahun 5 Bulan by ____hfil
"Menangis lagi?"
Kepala aku alihkan daripada memandang laptop kepada figura perempuan yang bertanya dibalik pintu bilik yang dibuka dari luar. Perlahan jemari halus dibawa kepipi menghapus air mata yang tanpa segan masih mengalir.
Duduk ditegakkan. Tak menghiraukan si teman yang berjalan menghampiri lalu melabuhkan duduk dibirai katil, disebelah aku.
"Aku tak fahamlah dengan kau. Aku pun baca juga cerita tu. Tapi tak adalah beria menangis macam kau." Aku memandang Ayu yang bersuara meluah rasa tidak faham. Kelihatan keningnya bertaut memandang aku. Namun percakapannya masih tak ku endahkan.
Mata kembali aku halakan kearah laptop yang masih memaparkan kisah 5 Tahun 5 Bulan karya Hfil yang ditulis menerusi aplikasi Wattpad.
Menghadam jerih perit sepasang suami isteri yang menghitung hari mengakhiri bahagia dunia. Juga menggunakan sepenuh masa yang tersisa dengan mengembalikan detik bahagia yang dipersiakan.
Pendengaran ku menangkap bunyi keluhan datang dari si teman kerana masih belum menerima reaksi balas dari aku.
"Kalau kau Raihana, kau pilih siapa?" soal aku perlahan. Tak bermaya. Menangis membuat aku lelah. Penat.
Ayu aku pandang. Menanti jawapan. Dia kelihatan berfikir sebelum lancar nama pilihan disebut.
"Fahrin."
"Sebab?" laju aku meyoal. Aku fikir dia akan pilih Daniel seperti kebanyakan pembaca yang meluahkan rasa melalui ruangan komen.
"Kalau Daniel cintakan Raihana, dia tak sepatutnya luahkan apa yang dia kata lima tahun lepas. Kau fikir perempuan peduli bila lelaki tak ada harta? Kalau dah namanya cinta, tinggal dekat rumah setinggan pun dia mahu asalkan tetap bersama." Aku hanya mendengar.
Ada benarnya apa yang dikata Ayu. Mahu saje aku menjerit melaung kepada Daniel, tak mungkin Raihana berpaling andai hatinya telah diserahkan kepada seseorang yang bernama suami.
Mahu menyalahkan Daniel juga berat untuk aku sedangkan Daniel tidak lepaskan tanggungjawabnya sebegitu saje. Lima tahun dia menghilang, lima tahun itu juga masa yang diambil bagi mengukuhkan kewangan. Mempersiapkan diri demi sebuah kebahagiaan yang ingin dimiliki.
Tapi kenapa perlu berpisah?
Dan kenapa dengan mudahnya Raihana menerima Fahrin?
"Aku rasa Fahrin pentingkan diri," aku meluah rasa sekali gus menyatakan bahawa aku akan tetap memilih Daniel. Walau dia akan meninggalkan Raihana lagi.
"Daniel datang semula dalam hidup Raihana untuk apa pula? Bukan pentingkan diri juga? Sedangkan dia mahu pergi lebih jauh lagi dari hidup Raihana. Lebih lama dari lima tahun yang pernah Raihana lalui," sanggah Ayu.
Aku terdiam. Tak lagi membalas perihal pilihan Raihana.
Jika berbalik kepada soal jodoh, semuanya ketentuan Ilahi. Aku tak mahu mengulas panjang berkaitan itu. Walau sehari bergelar suami isteri, itu masih dikira jodoh. Cuma waktu yang menyingkatkan gelaran itu.
Aku tersenyum bila mengingatkan kerenah Daniel yang mencuit hati yang tak kenal erti serik mengusik Raihana. Ada saje yang akan dilakukan hingga membuat Raihana marah. Tapi comel. Kata orang, usik-usik manja.
Imbasan kisah Raihana dan Daniel secara tak langsung mematikan senyuman aku bila mengingatkan sesuatu. Ayu yang tersedar akan itu dapat ku tangkap melalui sentuhan jemarinya yang mengusap belakang aku.
YOU ARE READING
Kesimpulan Yang Tak Nampak
Short StoryShort Story/Review + One Part + by Ilhan = It's here Sebuah cerita yang tidak berkesimpulan 1) Kasih Antara Kita - Cerpen 2) Nikmat Tuhan - Review Pelukis Jalanan (Teme Abdullah) 3) Luahan Hati - Review 5 Tahun 5 Bulan (Hfil)