Bab 1 - 3

1.6K 30 7
                                    

Bab 1

"Kau ni memang memalukan ayah betul la!" herdik Ayah Ponti kepada anaknya, Pontianak. Mak Ponti hanya menggeleng dan kemudian bergerak ke dapur untuk mengambil tuala. Pontianak cuma tunduk kaku di depan pintu. Kebasahan dan busuk. Marahnya kepada Hantu Apu belum habis. Pulang saja ke rumah, dimarah pula Ayah Ponti. Hendak dibalas suara, tak mustahil dia akan dilempang sebanyak dua das. Jangan kata nak balas suara, hendak membalas tenungannya pun Pontianak tak berani. Ayah Ponti, matanya merah.

*******

Pontianak duduk bertenggek di atas salah satu dahan pokok. Posisinya menyorok, menunggu masa sesuai untuk menakutkan anak kecil yang baru pulang mengaji. Persekitaran yang agak semak samun, gelap, dan hanya diterangi samar cahaya bulan ini memang membantu dalam proses untuk menakutkan manusia. Itu semuanya diketahui melalui buku. Dia sudah khatam semua buku tutorial tentang menakutkan manusia yang dibelikan Ayah Ponti. Yang paling dia ulang, How to Scare People: For Dummies. Langkahnya mudah, teratur serta bersama penerangan yang senang difahami. Diulang semula dengan perlahan di dalam kepalanya. Tentang apa yang paling penting dalam hendak menakutkan manusia.

Pertama, suasana.

Persekitaran perlulah sentiasa berada di dalam gelap. Cuma perlu cahaya samar bulan untuk menerangi keadaan. Suasana terang benderang tidak menakutkan sesiapa. Kecuali pencuri dan juga manusia yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Suasana gelap bukan sahaja membantu untuk menyebabkan manusia berasa terancam, malah mampu mewujudkan perasaan yang bukan-bukan di dalam hati mereka. Bila hati pun dah fikir bukan-bukan ni, faham sajalah. Nampak langsir pun dikatanya langsuir.

Pontianak tersenyum. Dilihatnya sekeliling kawasan. Gelap. Hanya diterangi samar-samar cahaya bulan. Check.

Kedua, masa.

Ataupun dalam buku bahasa Inggerisnya tertulis 'timing'. Menakutkan manusia tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati. Masa paling sesuai adalah ketika perasaan takut dan seram sejuk itu sudah terbina akibat suasana yang gelap tadi. Ini penting. Kecuali jika kau mahu menyakat manusia yang melatah. Itu mudah dan boleh dicapai bila-bila masa. Namun ketahuilah, tidak ada thrillnya menyakat jenis manusia seperti itu. Kewujudan kita perlu dihargai dengan rasa takut. Bukannya dinanti kerana mahukan hiburan jangka pendek. Ya, melihat manusia melatah adalah hiburan jangka pendek. Ingat! Kita mahu ditakuti, tidak ada yang selain itu. Pontianak mengangguk tatkala membaca bab itu, seolah-olah pernyataan itu ditujukan kepadanya.

Pontianak yakin masa yang dipilihnya amat sesuai. Dilihat pada jam tangan Casio-nya, pukul 10 malam. Lagi dua jam, hendak masuk ke pukul 12. Bagi kanak-kanak, pukul 10 ke pukul 12 ke, hatta pukul 9 sekalipun—semuanya sama. Kalau sudah gelap begini dengan suasana suram lain macam, kucing mengeow pun dikatanya kucing itu nampak hantu.

Pontianak tersenyum lagi. Masa. Check.

Ketiga, kejutan.

Ini elemen paling penting. Kejutan terbahagi kepada dua jenis iaitu kelibat dan sergahan. Jika memilih untuk kelibat, tidak boleh terlalu lama. Hanya perlu datang, tunjukkan muka, dan menghilang. Hanya yang betul-betul yakin yang memilih teknik sergahan. Teknik sergahan memerlukan hantu itu untuk duduk di tempatnya sehinggalah mangsa pengsan. Ataupun berlari meninggalkan kain pelikat yang dipakainya tatkala baru pulang mengaji itu.

Kali ini, Pontianak memilih untuk menyergah.

"Wu!"

"Haa!"

"Lerrghhh!"

"Hua!"

Pontianak berlatih menyergah dengan suara perlahan. Dia tersenyum. Dia yakin kali ini dia akan berjaya. Bukan. Dia perlu berjaya. Sudah tidak berdaya lagi rasanya dia hendak menghadap perlian orang kampung, makian ayahnya, dan kekecewaan ibunya. Ya, walaupun ibunya tidak berkata apa-apa, wajahnya menulis seribu cerita.

(preview) DIHANTU - sebuah novel Mikael SahajaWhere stories live. Discover now