1.
Mak membetulkan duduk sambil menarik lengan baju kurungnya untuk menutup pergelangan tangan. Dia memandang sekeliling. Wajahnya kusam. Matanya masih bengkak, belum habis sedih dengan kejadian yang menimpa. Tudungnya yang senget, sehingga mengeluarkan beberapa helai anak rambut, ditarik ke belakang hingga mendedahkan pula dahinya yang luas. Dadanya berdegup kencang. "Makcik tak tau apa yang jadi," katanya sebaik saja pegawai polis itu masuk. "Yang Makcik tau anak Makcik tak bersalah. Tolong lepaskan dia," rayunya.
"Kalau boleh Makcik ceritakan apa yang berlaku dari mula, itu lagi baik."
"Anak Makcik tak boleh duduk dalam penjara. Janji dengan Makcik jangan masukkan dia dalam penjara. Tolong!"
"Saya tak boleh janji macam tu, Makcik. Tapi saya boleh janji yang saya boleh tegakkan kebenaran kalau Makcik sudi bantu kami jalankan siasatan. Ada apa-apa yang Makcik nak beritahu kepada saya?"
"Tak. Dia tak salah." Mak menyilangkan tangannya.
Polis itu mengetuk-ngetuk pen ke atas meja. "Kami dapat call di hari kejadian..." Dia merenung fail di depan matanya. "Isteri dia sendiri yang buat laporan, Makcik. Makcik tahu kenapa isteri dia buat tuduhan macam ni?"
"Dia memang dari dulu lagi ada masalah rumahtangga dengan anak saya. Dia memang tak bahagia dengan anak saya."
Pegawai polis itu mencatatkan sesuatu. "Makcik pernah lihat dia orang bergaduh?"
Mak termenung lama, berfikir.
"Ada sesiapa yang pernah beritahu Makcik perkahwinan dia orang tak bahagia? Atau Makcik tahu sendiri?"
"Makcik dah hidup lama, Makcik tau rumahtangga orang tu bahagia ke tidak. Ari tu anak Makcik. Makcik tau."
"Jadi Makcik assume?"
"Ha?" Mak tidak tahu apa maksud assume itu.
"Bukhari orangnya macam mana, Makcik?"
"Macam orang lain. Apa maksud awak?"
Pegawai polis itu tersenyum. "Baik? Garang? Nakal? Suka tolong orang? Karakter dia, macam mana? Makcik tentu tau sebab dia anak Makcik, kan?"
"Dia tu orangnya alim. Tak pernah tinggal solat. Pernah jadi imam ganti di kampung masa Haji Usin sakit dulu. Anak yang baik. Dia jaga Makcik dan Fatihah dengan baik. Makcik tak pernah tengok dia naik tangan kat sesiapa."
"Bullshit!" laungku dengan kuat.
******************************************************************************
Lapan bulan sebelum itu.
Cawan Hazelnut Chocolate tu aku letakkan jauh. Rasa gulanya melekat di tekak sehingga aku kehausan. Agak ironi di situ kerana aku sepatutnya minum air untuk menghilangkan dahaga, bukan menambahkannya. Angin bertiup sepoi bahasa, membelai tudung labuh yang dari tadi aku betulkan awning-nya. Sekali-sekala aku sempat menjeling ke arah manusia yang sedang rancak berbual di dalam kafe. Ada yang berpasangan, ada juga yang berkumpulan. Cuma aku seorang diri yang sedang berteleku merenung nasib.
Baru tadi aku ditinggalkan seorang lelaki yang aku temui di media sosial. Itu kali pertama aku membuat kerja gila begitu, bertemu lelaki yang tak dikenali. Aku curi-curi internet di pejabat untuk masuk ke akaun Facebook yang memang telah lama tidakku sentuh. Akaun itu dibuka pun secara rahsia kerana aku tidak mahu sesiapapun yang aku kenali tahu.
Lebih-lebih lagi keluargaku.
Lelaki itu tinggalkan aku selepas telefon bimbitnya tidak henti-henti berdering, 30 minit selepas kami berdua memperkenalkan diri. Katanya dia ada urusan penting di pejabat yang tak dapat dielakkan tetapi aku yakin itu satu alasan saja. Mungkin aku bukan citarasanya. Mungkin dia geli melihatku yang tidak sehebat gadis kota yang lain. Atau mungkin juga panggilan yang diterimanya itu datang daripada isterinya, atau kekasih, yang bertanyakan ke mana dia menghilang. Walaupun aku belum lama hidup di muka bumi ini, aku tahu bila masanya orang itu berbohong.
YOU ARE READING
(preview) SALAFI - sebuah novel Shaz Johar
SpiritualDi sebalik tudung labuh, Fatihah memendam cinta dan cita-cita. Cintanya pada Brian, lelaki yang bukan seagama dan cita-citanya untuk memiliki hidup sama seperti orang lain. Tinggal bersama keluarga yang terlalu mementingkan syurga dan neraka, membua...