Bab 4

649 34 1
                                    

Biip.. biip..

"Jannah.." Zahim memanggil perempuan yang sedang terlantar lesu di atas katil.

"Jannah.." Lagi sekali nama itu diseru. Namun empunya diri masih begitu. Tetap kaku tanpa bergerak. Hanya bunyi mesin oksigen sahaja yang kedengaran.

Biip.. biip..

"Jannah kena sedar. Abang nak betulkan semuanya. Abang salah. Abang kejam. Abang zalim. Maafkan abang, Jannah.." Zahim terduduk lemah di atas kerusi di sisi katil yang bercadar putih itu. Mukanya disembamkan ke tepi katil berdekatan dengan tangan Jannah yang berselirat dengan wayar drip.

"Awakk.." 

Zahim panggung kepala saat terdengar satu suara yang tidak asing lagi pada telinganya.

"Ni.. sa.. saya.. ke?" Soal si hantu cantik dengan suara bergetar.

"Saya.. belum mati??" Soalnya lagi bila Zahim tidak menjawab soalannya tadi.

Zahim bangun berdiri, mata bertentang mata dengan hantu cantik. Wajah Jannah yang terbaring itu dipandang sekilas sebelum anak matanya beralih memandang wajah pucat si hantu cantik pula.

Betul, wajah mereka sama. Seiras. Dan perlahan-lahan kepalanya dianggukkan.

"Jannah belum mati. Jannah koma."

"Siapa saya? Kenapa saya koma? Kenapa saya berkeliaran macam ni? Kenapa saya tak boleh masuk dalam tubuh saya? Kenapa? Kenapa?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut hantu cantik. Air matanya menitis melihat jasadnya yang berselirat dengan wayar.

Zahim hanya diam membisu. Untuk menjawab dia tidak berani. Lagipun dia sendiri belum tahu kebenarannya.

"Abang.. abang.. tak tahu."

"Awak panggil saya Jannah? Saya Jannah? Tapi.. kenapa awak bahasakan diri awak abang? Kita adik beradik?" 

Zahim menarik nafas panjang sebelum menjawab soalan si hantu cantik.

"Jannah anak angkat pada mak dan abah abang. Secara tak langsung kita adik beradik angkat. Jannah koma sebab kemalangan hampir setahun lepas. Abang yang salah, Jannah. Abang yang memandu masa tu."

Tiba-tiba riak wajah Jannah berubah. Anak mata hitam pekatnya merenung dalam anak mata Zahim.

"Ke awak yang bunuh saya? Sebab setahu saya, saya mati dibunuh. Ni.." Dengan selamba, Jannah menekan kuat perutnya. Baju putih di badannya berubah warna di bahagian perut, bertukar menjadi kemerah-merahan. Darah.

"Allah!!" Terduduk Zahim. Kepalanya digeleng laju. Seram melihat darah pekat yang keluar dari perut si hantu cantik.

"Bukan.. Abang bukan pembunuh. Bukan abang, Jannah." Tidak mungkin dia sanggup membunuh. Sungguh tak masuk akal.

"Bukan? Kalau bukan awak, siapa lagi? Awak cakap awak ada bersama saya masa kemalangan tu. Siapa lagi ada dengan kita? Siapa?"

"Anak kita.. Anak kita.."

Usai Zahim menyebut perkataan anak kita, hantu cantik di depannya hilang. Lesap, tanpa dapat dikesan.

Zahim melilaukan matanya ke kiri dan kanan mencari kelibat hantu cantik, namun tiada. Di situ hanya ada dia dan jasad Jannah yang masih terbaring.

Jannah yang sedang terbaring itu pula tiba-tiba bergerak. Bunyi yang datang dari mesin oksigen secara sekata dari tadi mula berubah rentak. Bunyinya kedengaran laju.

Kelam kabut Zahim bangkit dan berlari keluar dari situ untuk mencari jururawat dan doktor yang bertugas. Mungkin sudah sampai masanya untuk Jannah sedar.

*****

"Alhamdullilah. Anak mak dan abah dah sedar. Terima kasih, Ya Allah." Hajah Fatimah melurut rambut panjang Jannah. Dahi Nur Jannah dikucup lembut. Senang hatinya melihat anak angkatnya sudah mampu tersenyum setelah hampir setahun terbaring lesu.

"Jannah ada nak makan apa-apa? Abah boleh belikan." Haji Suboh juga teruja melihat anak angkatnya sedar. 

Tiga jam lepas, dia mendapat panggilan dari pihak hospital yang memberitahu Jannah sudah pun sedar. Tuhan saja yang tahu perasaannya masa tu. Gembira tak terkata. Doanya dimakbulkan Tuhan. Dan satu sahaja yang terlintas di fikirannya sekarang dan menjadi hajat utamanya iaitu menyatukan Zahim dengan Jannah supaya Zahim mampu menebus segala dosa silamnya pada Jannah.

Jannah ukir senyum buat sekian kalinya. Tegang kulit mukanya setiap kali mahu tersenyum. Sungguh dia tak sangka, dia masih boleh melihat wajah mak dan abah. Wajah yang menemaninya saat dia terbaring hampir setahun. Kerap kali wajah tua itu masuk ke alam separa sedarnya.

"Tak.. ada.. apa.." Jawab Jannah tergagap-gagap. Suaranya seakan tersekat pada pita suara. Sesekali dia berdeham untuk betulkan suaranya yang tersangkut.

"Jannah tak nak apa-apa? Ni mak ada buatkan bubur ayam. Jannah nak makan sekarang? Mak boleh suapkan."

Jannah mengangguk. Sudah lama dia tidak merasa air tangan Hajah Fatimah. Sungguh dia rindu.

"Zahra kirim salam. Esok dia datang jenguk Jannah. Sekarang dia ada kat Kuantan. Ada projek besar kat sana. Biasalah Zahra tu kan gila kerja."

Jannah hanya mampu tersenyum. Salam yang Zahra titipkan dijawab di dalam hati. Bubur yang disuap Hajah Fatimah dikunyah perlahan dan ditelan dengan berhati-hati. Tekaknya masih terasa perit. 

Cukup sepuluh suapan, Jannah menggelengkan kepalanya. Perutnya terasa semacam. Mungkin disebabkan sudah lama makanan tidak masuk ke perut. Tatkala tangannya bergerak perutnya terasa sengal. Lantas telapak tangan naik menyentuh perut. Pedih.

"Hmm.. jangan bergerak lasak sangat. Luka kat perut tu baru nak pulih kan." Pesan Hajah Fatimah seakan faham dengan reaksi Jannah.

"Anak Jannah.. mana? Zaa..him mana?" Soal Jannah akhirnya. Dan Hajah Fatimah saling berpandangan dengan Haji Suboh. Tidak tahu apa yang patut dijawab.

"Assalamualaikum." Bagai tahu namanya diseru, Zahim muncul dengan sejambak bunga ros putih di tangan. Langkah diatur tersusun ke arah Jannah yang duduk bersandar ke kepala katil.

"Jannah.." Jambangan bunga ros putih di tangannya disuakan kepada Jannah.

Jannah tidak menyambut sebaliknya matanya merenung tajam wajah berjambang Zahim.

"Berani kau.. datang sini.. Aku.. benci kau!" Jannah bersuara dari celahan giginya. Betapa dia bencikan lelaki yang berdiri di depannya sekarang. Dia bertanya tadi sebab dia ingatkan Zahim sudah meninggal semasa mereka kemalangan setahun lepas. Tetapi telahannya silap. Zahim masih hidup dan sihat walafiat. Sedangkan dia hampir setahun bertarung nyawa untuk teruskan hidup. Apa orang jahat memang liat nak mati ke?

"Jannah.." Zahim cuba mencapai tangan Jannah.

Tetapi Haji Suboh pantas menahan.

"Jangan Zahim. Jannah baru sedar. Apa-apa hal kita bincang kat rumah nanti."

"Abah, Zahim perlu tahu.." Wajah abahnya ditatap, meminta pengertian.

"Sudahlah Zahim. Jangan buat kecoh kat sini. Tunggu Jannah sihat dulu." Hajah Fatimah mencantas laju bicara Zahim membuatkan Zahim terdiam.

Jannah pula langsung tidak memandang ke arah Zahim.

Zahim akur. Sempat jambangan bunga diletakkan ke atas meja sebelum dia melangkah longlai meninggalkan ruangan itu. Ruangan yang membuatkan hatinya bertambah sesak dengan persoalan mendengar kata-kata Jannah tadi. Jannah bencikan dia. Dan mesti benci Jannah itu bersebab.

Keluar sahaja Zahim dari situ, Jannah hamburkan tangisannya. 

"Jannah.. benci dia mak. Jannah benci.. dia!! Dia.. pembunuh!!" Ngongoi Jannah dengan linangan air mata.

"Istighfar Jannah. Istighfar sayang.. Ingat Tuhan." Hajah Fatimah turut mengalirkan air matanya. 

Haji Suboh sudah tak terkata, tersepit di antara anak kandung sendiri dengan anak angkatnya. Kepala digeleng kesal. Semoga kebenaran yang sebenar bakal tersingkap nanti, itu doanya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 06, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Si Hantu CantikWhere stories live. Discover now