Bab 1 - 3

679 17 2
                                    

1

Nama aku Jai. Seorang jejaka yang boleh dikatakan tampan, bertahi lalat di bawah bibir sebelah kiri dan yang selebihnya, biarlah misteri.

Kalau bukan sebab Eddi tulis begitu, tak mungkin aku berada di sini pada ketika ini. Jalan Masjid. Jam baru sahaja berganjak ke angka 3 tapi langit masih cerah tak berawan dan sinar matahari menyengat segala inci kulitku yang terdedah. Mataku yang bulat pun jadi sepet dan peluh mula membentuk peta pada bahagian ketiak di baju.

Sungguh tak selesa keadaan yang kurasakan sekarang. Asap hitam naik berkepul-kepul di hadapanku apabila sebuah bas bertolak meninggalkan stesen. Seorang lelaki tua berpakaian koyak-rabak dan berjanggut ke paras perut memandangku dengan jelik, melihat aku tak berganjak apabila dia hendak memasuki kedai di belakangku. Seorang ibu muda berteriak pada anaknya yang sedang meraung, menangis.

Ya Tuhan, tempat inikah yang Eddi maksudkan? Tempat inikah yang Eddi telah nyatakan kepada aku? Tempat dia menjumpai apa yang dia telah labelkan sebagai liberation? Kebebasan? Perasaan bahawa hidupnya tidak seperti dipenjarakan lagi?

Siaplah kau Eddi, getus hati kecilku. Kau bohong Eddi, kau saja main-mainkan aku. Mana mungkin tempat sehina ini buatkan Eddi kenal kebahagiaan hidup? Tiada apa-apa pun yang bahagia di sini.

Aku bertolak pergi. Maaf Eddi, hari ini misi gagal. Aku belum bersedia lagi.

---

"Naiklah bas macam aku, Jai. Sekali-sekala kau kena rehatkan diri juga, tak payah bawa motor. Kalau kau naik bas pergi kolej, kau dapat go full auto-pilot sepanjang perjalanan. Sambil-sambil tu bolehlah rasa adventure sikit."

"Haa." Aku mengangguk-angguk kecil, agak sambil lewa.

Eddi suka kongsi cerita tentang pengalaman dia naik bas. Aku tanya, kenapa dia tak naik Uber atau Grab sahaja, sekarang mana glamor pakai bas awam yang dah berkurun menyelusuri jalan-jalan di Kuching ni?

Dia siap balas pakai sajak. Dia tunjukkan kat aku sajak pendek yang dia post kat Instagram dengan gambar bas kesayangan dia:

Mereka kata

Kau besi buruk

Tak patut wujud atas jalan raya

Sebuah tempat berstatus bandar raya

Aku kata

Baik kau diam sahaja

Sebab kau tak tahu apa yang kau kata

Kau tak rasa apa yang aku rasa

Sebab kau tak pernah sangka

Bagiku ini kapal angkasa

Tempat imaginasiku berganda-ganda

Melangkaui batas eksosfera

"Jadi kau nak cakap kat aku yang sebenarnya kau suka naik bas? Naik bas rasa macam naik kapal angkasa? Bukankah kau juga yang dulu cakap tak sabar-sabar nak ambil lesen motor?" Aku menguji Eddi, ingin mendengar jawapannya.

Mukanya serius apabila menatap mataku. "Ha'ah. Aku dah ubah fikiran. Aku suka jadi penumpang. Aku suka tengok penumpang lain, belajar dari diorang, tengok macam mana diorang renung ke luar tingkap dengan pandangan yang membawa seribu erti. Pemandu bas pula, aku rasa macam diorang underrated. Diorang macam cikgu sebenarnya. Penumpang macam murid. Bas tu bilik kelas. You get what I mean, kan?" dia soal aku balik.

Aku mengangguk-angguk walaupun tak dapat nak relate sebab aku tak pernah naik bas awam. Bagi aku, lagi seronok naik motosikal sendiri. Mana seronok bersesak dengan orang lain, lebih-lebih lagi orang yang aku tak kenal langsung?

(preview) PENUMPANG - sebuah novel Fee AnyauWhere stories live. Discover now