hujan, darah dan ros

13.3K 431 13
                                    

Seperti malam yang lain, malam ini dia masih ditemani air mata, pisau, arak, muzik dan darah. Oh, tidak lupa juga dengan lagu-lagu kegemarannya yang sentimental dan biru.

Telefon asyik memainkan lagu bergenre Ambient dan emo-rap. 'Aku asyik dalam dunia ciptaanku sendiri', girang hatinya berkata. Dunia di mana tiada siapa yang boleh menilai dan menghukum dirinya.

"Hahahah!" Dekahnya tidak bersebab.

Selepas seketika wajahnya kembali muram, seakan-akan dia sedang melalui sebuah episod mania. Hidupnya begitu ironi. Dia berasa begitu kecewa bila dipermainkan. Namun, sementelah dia lari daripada segalanya, dia tetap rasa kecewa. Jenaka itu terus menerus terjadi. Apa yang berlegar di dalam kepalanya susah nak diluah. Gundah yang tak mampu lagi dia tulis pada kertas.

Kini, sebilah pisau yang tajam gadis itu pegang dengan penuh erat. "Mesti aku menyesal nanti..." omongnya sendiri, "Lantaklah." Dia merenung pisau dan lengannya silih berganti. Tanpa berlengah lagi, gadis itu melibaskan pisau ke arah pergelangan tangannya sendiri.

Pisau jatuh ke atas lantai, menitiskan titis-titis darah merah. Cecair merah itu terus mengalir keluar dari pergelangan tangannya yang bersih seperti kain tak bercorak.

Kali ini luka itu lagi dalam. Setakat ini, ini luka yang paling dalam.

"Kenapa kau benci aku.. kenapa.. kenapa.." gumamnya sendirian.

Jika dia hilang waras, ingin sahaja dia mencucuk pisau itu ke dada dan seluruh tubuhnya. Biar dia mati di tangan sendiri. Biar dia menjemput ajal sendiri. Biar dia mati di tempat yang gelap ini.

Baca sahaja perkataan pisau engkau akan sangka gadis ini gila. Engkau akan sangka gadis ini sudah terlalu mabuk. Ramai yang akan kata gadis ini lemah dan sudah putus asa dengan hidup dia. Akan ramai yang bilang cerita ini sudah basi. Seorang gadis suicidal yang malang hidupnya menunggu hero untuk selamatkan dirinya. Lebih teruk mereka jatuh cinta dan penamat bahagia selamanya. Noktah.

Tetapi engkau tahukah berapa alaf kali dia berfikir sebelum lukakan diri sendiri?

Pernahkah engkau rasa begitu terdesak untuk menangis, sehingga sanggup melukakan diri?

Sakit itu tiada siapa yang suka. Jadi, apabila dia sendiri memilih untuk menyakiti diri, dia bukannya tidak waras. Namun ia kerana dirinya sedang melalui sesuatu yang lebih sakit daripada segala penyakit. Luka yang berdarah itu takkan sesakit apa yang sedang berdegup di dalam dadanya. Takkan pernah setanding. Luka yang dia toreh itu takkan pernah cukup untuk memuaskan diri. Dia tahu, tapi dia cuma tidak dapat berhenti menghukum dirinya. Hanya dengan ini dia dapat rasa bebas.

Akan ada satu hari dalam hidup, manusia akan rasa putus asa dengan segalanya. Rasa hendak lepaskan segalanya. Buang semua beban di bahu dan berhenti menjaga perasaan orang lain. Dan hari ini ialah hari untuk gadis ini berehat sekurang-kurangnya buat seketika daripada terus berpura-pura kuat.

Berikan dia masa, sebentar sahaja.

"Nayla. Kamu lebih kuat dari kawan-kawan kamu yang lain." Kata-kata dan memori tentang guru kelasnya terpampang di fikirannya. Sewaktu itu beg sekolahnya disumbat ke dalam lubang tandas oleh rakan-rakan sekelasnya. Nayla Adni, berumur 8 tahun ketika itu menangis sekuat hati. "Tapi kenapa kamu tak melawan? Huh? Kenapa kamu diam?" Sebaris ayat itu membuat Nayla berhenti menangis. Wajah rakan-rakannya terlihat sinis menahan tawa. "Tapi kalau saya lawan..." Nayla mengepal buku limanya erat. Imej mak ciknya yang tak akan bertoleransi sekiranya dia membuat sebarang onar bermain di benak. "Makcik saya akan marah kalau saya.."

"Alasan tu lagi?" Bilang gurunya bersama raut wajah yang sudah muak. "Kalau kamu tak berani melawan, kamu tak berhak untuk salahkan orang lain tentang keadaan kamu." Guru itu mengeluh kecil. "Apa yang kamu tahu buat selain menangis? Bukan ke kamu dah cukup besar... Kawan sajalah dengan mereka, tak boleh ke?"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 29 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RainyroadWhere stories live. Discover now