mengapa, kenangan
yang tinggal di tingkat atas
tidak pernah turun lagi, bercanda
akan hal seni tapi menyenangkan:
tapak kakimu gempa waktu pagi
mengejutkan mimpi nyenyak.
Muka dibasuh. Kita lanjut bersarapan
dua biji telur carak, yogurt, buah
roti bakar dilepa mentega kacang. Kauseduh
kegemaranku, teh o tanpa gula:
minuman termanis di dunia
makan malam: kauhidang tawa,
kusimpan sisa dalam peti sejuk beku
menangguh tarikh luputnya
sekurangnya dihangat esok,
masih dapat dinikmati
barangkali telah kaubeli
sebahagian kepalaku, sedang
orang lain sekadar menyewa. Di mana
perjanjian jualbelinya? Mahu saja
dibakar, bukankah sudah terlalu mahal
sebidang tanah di jasad. Ah,
sempat kau ubahsuai ruang tamu
jadi taman permainan terluas
di dada:
aku sendiri di jongkang-jongket
diberati kesedihan. Jika cinta lain
duduk bertentang, tak mungkin tuas
ini menyeimbang
aku pulang. Kau berpindah
semakin hari, ke tingkat
lebih tinggi:
perlahan pintu masuk dikatup.
Tangga disita. Kau
tidak akan bisa beredar
meski menyusup jendela
Cheras
16 Februari 2018.