* 2 *

5.2K 18 1
                                    

Aku tidak suka bilik guru. Walau keadaannya lagi besar dari bilik seni, tapi aku rasakan ia sempit menyesak jiwa. Aturan meja guru yang memanjang dengan tersusun buku-buku di atas macam menara memang menyemakkan. Yang lebih tidak aku gemari adalah penghuninya. Terutama yang dikurniakan mulut kerap menganyam ketupat dan membawang. 

Sasaran mereka kali ini adalah aku. Kerana aku adalah cikgu baru sahaja berpindah ke sekolah ini. Apa yang menjadi buah mulut mereka adalah punca kenapa aku dipindahkan dari sekolah berasrama ke sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah buangan. Sekolah ini terkenal dengan menerima pelajar-pelajar bermasalah. Ini termasuk guru-guru yang mengajar. Secara tidak langsung memberi gambaran keseluruhan yang sekolah ini memang bermasalah.

Entah apa masalah mereka dengan sikap aku yang sedia introvert. Aku memang lebih suka terperuk dalam bilik seni sehingga tamat waktu sekolah. Aku lebih selesa disitu kerana itu satu-satunya bilik yang dipasang penghawa dingin. Entah apa yang diperjuangkan cikgu seni sekolah ini sebelum ini sehingga bilik seni berjaya dipasang kemudahan sedemikian. Mereka cemburu agaknya. 

Tapi apa yang perlu mereka cemburu? Pusat Sumber Sekolah juga berpenghawa dingin. Apakah mereka alergik dengan habuk dan hama yang melekat pada buku-buku yang tidak pernah dibelek?

Setiap kali aku ke bilk guru, sudah pasti akan kedengaran pelbagai perkara yang tidak manis mengenai aku. Walau mereka mengumpat pada hari semalam atau berjauhan dari meja aku, udara seolah-olah merekod percakapan mereka lalu hinggap ke telinga aku sepert angin membisik. Aku tidak kisah jika mereka mengumpat mengenai aku seorang anak dara yang tinggal berseorangan di sebuah apartment 2 bilik. Atau seorang gadis terlajak umur yang gemar memakai seluar ketika mengajar di sekolah.

Apa yang aku kisah adalah cerita-cerita yang mengiringi selepas itu. Kononnya aku tidak laku walau ada rupa kerana aku membela jin. Itu timbul bila mereka tahu yang dua kali aku bertunang. Dua-dua kali tunang terputus sebab orang yang aku cinta, mati. Ini dikuatkan lagi apabila mereka mengetahui yang aku hanya tidur di sebuah bilik sahaja. Bila ditanya kenapa tidak mencari penyewa lain, aku rahsiakan sebabnya. Walhal, bilik kedua tu khas aku jadikan bilik untuk aku menulis.

Ya, aku tidak mahu orang lain tahu yang aku seorang penulis. Aku sembunyikan identiti aku disebalik nama Wysufy yang aku cipta untuk akaun Wattpad. Aku suka seni menulis dan sastera. Tapi aku tidak mahu terikat dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dunia penulisan. Aku menulis untuk kepuasan dan semestinya aku menipu jika aku menyangkal faktor populariti. Aku tidak suka orang mengenali diri aku atau melangkah masuk ke dunia aku yang aku anggap sebagai privasi. 

Sememangnya aku melukis garis pemisah antara Wysufy dan Noraini binti Shamsul. Lagi-lagi aku menulis kisah bergenre mistik dan paranormal. Walau ala kadar di dalam alam maya, tapi penulisan aku tetap ada pengikut dan pembaca setia. Terkulat-kulat juga aku melihat profil mereka yang sudah mempunyai pengikut beratus ribu. Setiap kali cerita baru dimuat naik, sekali kedip sudah ada seribu pembaca.

Siapa yang tidak mahu popular. Aku yang introvert juga mahu orang mengenali aku. Bukan diri aku yang berbadan genit, 5 kaki 4 inci saiz kasut 5. Tapi mengenali aku dari tulisan aku. Mahu juga aku letakkan unsur-unsur lucah dan erotika untuk menarik pembaca. Tapi aku yakin, itu hanya perbuatan yang menipu diri dengan menutup kelemahan bakat yang belum diasah.

"Cikgu Noi belum balik lagi?" Ustazah Aswadah berbasa-basi. Dia mengukir senyuman. Tapi aku tidak tahu mengapa aku rasakan ada elemen sindir. Entah bagaimana dia boleh mengetahui yang aku tiada lagi kelas sehingga tamat waktu sekolah. Jika aku duduk di bilik seni disindir duduk mengangkang. Jika aku pulang dikatakan makan gaji buta. Sememangnya sukar untuk memenuhi nafsu masyarakat yang gemar jadi penghukum.

"Belum lagi" Muka aku sedang cuba sehabis baik untuk berwajah manis tanpa prejudis.

"Cikgu Noi tahu kan yang cikgu akan jadi guru pengiring bebudak nanti?"

Permintaan ketigaWhere stories live. Discover now