Bab 1

372 3 2
                                    

“CINTA!!!”
Suara Puan Raziah bergema kuat. Bergegar rasanya rumah batu setingkat itu. Geram sungguh dia dengan perangai Cinta Arissa ni. Satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Matahari sudah mencanak tinggi pun, masih lagi tidak sudah-sudah buat tahi mata.
Senyap!
“Eeiii... Ini yang aku geram ni. Matahari sudah tegak atas kepala pun, tak reti nak bangun lagi. Memang nak kena budak ni!” Puan Raziah terus membebel kecil sambil langkah diayun laju menuju ke bilik Arissa.
Sebaik sahaja pintu bilik ditolak, darah Puan Raziah semakin mendidih. Naik semput nafasnya melihat pemandangan yang ‘indah’ di dalam bilik tidur anak gadisnya itu. Kain baju yang kotor berlonggok di atas lantai. Kulit kacang dan kuaci bersepah di sana-sini. Novel-novel juga bersepah di atas lantai. Sah! malam tadi anak gadisnya itu study novel sampai ke subuh. Sakit rasa matanya memandang. Sakit lagi rasa di hati!
Matanya beralih pula pada katil Arissa. Tu dia! Bukan main bahagia lagi anak gadisnya nan seorang itu. Tidur terbongkang tidak sedar dunia. Puan Raziah urut dada. Kalau ikutkan hatinya yang tengah panas ini, mahu dilipat-lipat saja anak gadisnya itu biar jadi kuih lipat. Umur sudah menjangkau ke usia 25 tahun, tetapi perangai tidak semengah mengalahkan budak sekolah menengah!
Puan Raziah menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan nafas yang ditarik tadi dilepaskan. Sudah macam orang mahu beranak saja gayanya. Kalau dengan Arissa ni, memang selalu bikin hati dia panas. Kenapalah anak dia nan seorang ni tidak serupa dengan anak orang lain?
“Cinta... Bangun Cinta!” Lembut suara Puan Raziah. Lembut yang dibuat-buat sebenarnya. Kalau ikutkan rasa, mahu dipiat-piatnya saja telinga capang anak gadisnya itu. Biar makin capang! Betullah agaknya telahan orang tua-tua dahulu. Kata mereka kalau sesiapa yang bertelinga capang ini memang degil orangnya. Sekarang memang sudah terbukti. Cinta Arissa, anaknya itu memang degil tahap dewa. Nauzubillah...
Arissa masih kaku. Suara Puan Raziah yang beralun-alun lembut memanggil namanya itu bagaikan melodi indah baginya. Terasa tidurnya makin lena.
Puan Raziah mula hilang sabar.
“Cinta Arissa!!!” Tempik Puan Raziah betul-betul di tepi cuping telinga anaknya.
“Arrrgghhh!!!” Arissa terlompat. Rasa macam hendak pecah gegendang telinganya dek suara petir Puan Raziah. Matanya terkebil-kebil. Sesaat, dua saat... barulah dia bersuara.
“Kenapa ni mama? Ada perompak ke, ma?” Kalut Arissa bertanya. Hujung jari kelingkingnya sudah mengorek-ngorek lubang telinganya yang terasa berdengung. Adoii... Kalau pekak, mahunya jatuh saham aku ni! Sempat lagi hatinya mengomel.
“Haah, perompak!” Puan Raziah menjawab geram. Boleh pula Arissa buat muka blur.
“Mana?” Terus cerah biji mata Arissa. Bersungguh anak matanya fokus kepada Puan Raziah.
Puan Raziah jegilkan biji matanya kepada Arissa sambil giginya dikacip rapat, tanda geram.
Gulp!
Liur Arissa tertelan sendiri. Okey, sekarang dia dah faham!
“Apa mama ni... Kalau Cinta mati tak sempat nak mengucap tadi macam mana?” Arissa merenggek manja. Selimut ditarik semula.
Baru sahaja dia mahu merebahkan tubuhnya semula di katil, telinganya sudah ditarik kuat. Terteleng terus kepalanya.
“Aduh! Sakitlah, mama. Ampun maaaaa...” Macam hendak tercabut telinga Arissa dipulas oleh Puan Raziah.
“Padan muka! Hah, eloklah sangat! Matahari sudah mencanak naik di atas kepala, kamu masih membuta. Ternak tahi mata! Anak dara apa macam ni?” Bebel Puan Raziah bersama mata yang sengaja dijegilkan. Selimut yang membaluti tubuh Arissa direntap kasar.
“Apa mama ni? Main kasar nampak!” Bibir Arissa sudah memuncung. Geram apabila lenanya diganggu oleh Puan Raziah.
“Kalau nak tengok mama main kasar lagi, silalah baring semula.”
“Yalah! Orang bangunlah ni. Baru nak lena dah kena kacau! Malam tadi orang tidur lambat tahu tak?” Arissa merunggut-runggut sambil kaki mula menjejak lantai.
Puan Raziah bercekak pinggang.
“Mama peduli apa! Mama tak suruh kamu baca novel tu sampai ke subuh. Kalau lambat tidur sebab bertahajud tidak apalah juga.”
Bibir Arissa mencebik. Tangan mencapai tuala mandi yang bersidai di penyakut baju. Bebelan Puan Raziah cuma masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kirinya sahaja.
“Ini! Lepas mandi nanti tolong kemas semua ni. Mama tak nak tengok macam ni. Bila lagi kamu ni nak berubah, Cinta? Kalau macam inilah perangai kamu, mama nak nikahkan kamu cepat-cepat. Biar laki kamu aje yang layan perangai luar alam kamu ni!”
“Mama ni bising tau! Tahulah mama tu guru besar pencen. Tak payahlah nak garang sangat! Cinta rasa, elok mama sajalah yang nikah. Kalau mama ada suami baru, tak adalah hari-hari kerja nak membebel dekat Cinta saja.” Tidak mahu kalah, mulut mamanya dijawab. Tersenyum lebar dia melihat mata Puan Raziah yang sudah membuntang bulat. Geram gamaknya!
“Ya Allah... sabar ajelah aku dengan budak ni!” Puan Raziah urut dada. Tidak tahu macam mana lagi dia mahu berdepan dengan perangai Arissa ni. Mungkin semua ini berpunca daripada dia juga. Dia terlalu manjakan anak gadisnya nan seorang itu.
Arissa ketawa mengekek. Suka sangat dapat kenakan mamanya semula.
“Kalau kamu nak sangat pak tiri, mama boleh carikan. Nanti mama carikan pak tiri yang perut buncit, gigi ronggak, kening lebat. Yang miang-miang sikit! Mahu?” Gertak Puan Raziah dengan muka geram. Bukan main lagi Arissa kenakan dia, ya?
“Eee...”
Arissa pejamkan matanya rapat-rapat. Bergerak-gerak bahunya membayangkan itu semua. Geli!
“Hah, tahu pun tak nak. Pergi mandi sekarang!” Tangan Puan Raziah sudah menepuk kuat punggung Arissa.
“Aduh! Mamaaaa... Apa main tepuk buntut ni? Ini aset mahal tahu tak?” Muncung Arissa panjang semula. Laju saja tangannya menggosok punggung yang terasa perit dek tepukan kuat mamanya tadi.
“Padan muka!” Kini tiba giliran Puan Raziah pula yang ketawa mengekek.
“Malaslah nak layan mama. Mandi lagi bagus!” Menonong saja Arissa keluar dari biliknya menuju ke bilik air yang terletak di bahagian dapur.
Tergeleng-geleng kepala Puan Raziah. Namun begitu, bibirnya terukir senyuman bahagia. Hanya Cinta Arissa, satu-satunya anak yang dia ada. Arissalah kekuatan pada Puan Raziah. Dialah racun, dialah penawar kepada Puan Raziah. Selama ini dia kuat kerana anak gadisnya itu.

ARISSA ketap bibir. Inilah janji melayu. Kalau janji pukul 6.00 petang, pukul 6.00 pagi esok baru muncul. Eee... sakit sungguh hati!
“Cinta!”
Terkocoh-kocoh Lela berlari mendapatkan Arissa. Seketika nafas ditarik panjang tatkala dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Arissa.
“Kau apa hal? Berapa kali aku nak kena cakap, jangan panggil aku Cinta! panggil aku Arissa... Dahlah, lambat!” Bentak Arissa kegeraman. Batang kemuncup masih lagi tersepit kemas di bibirnya.
“Apa salahnya aku panggil kau Cinta. Dah memang nama kau Cinta!”
“Cinta tu, hanya mama aku saja yang boleh panggil tau! Special value, kata orang. Lepas ni, kalau aku dengar kau panggil aku cinta lagi, siap kau! Kenapa lambat ni?” Arissa merenung tajam kepada Lela.
“Aku lambat sebab kena tolong mak aku jaga kedailah! Bukan macam kau! Anak derhaka.” Bidas Lela geram. Tak boleh lambat sikit. Bukan selalu pun dia lambat. Selalunya dia aje yang jadi pak pacak dekat tepi bendang ni, tunggu Arissa.
“Amboi! Memang tak sayang mulut, kan?” Arissa tayang penumbuk. Suka hati saja cakap dia anak derhaka. Dialah anak yang paling baik dan sopan di abad ini tau!
“Haa... Derhakalah tu! Mama kau minta tolong pergi kedai pun malas.” Lela tidak mahu kalah.
“Itu bukan malas, weii...”
“Habis tu?”
“Itu malu... Tahu tak, malu?” Arissa ketawa kecil.
“Eleh... Menyampah!” Lela mencebik. Kalau bercakap dengan Arissa memang tak pernah dia menang.
Tanpa dipelawa, Lela sudah melabuhkan duduknya di sebelah Arissa. Di situlah saban petang mereka menghabiskan waktu bersama. Kadang-kala Lela tidak faham dengan perangai Arissa ni. Orang lain habis saja belajar, berlumba-lumba hendak cari kerja. Dia pula, boleh lagi bermalas-malas di rumah!
“Yalah!  Kali ni aku bagi kau menanglah. Kenapa kau lari macam nampak hantu tadi?” Arissa kerut dahi.
“Hah! Ya Allah... Terlupa!” Lela tepuk dahi sendiri.
“Apa?”
“Ya Allah... Cinn... err, Rissa... Tadi aku nampak pakwe kacak tau! Dia datang kedai aku beli barang.”
Arissa mencebik.
“Eleh... Mata kau bukan boleh pakai sangat! Bidin yang comot itu pun kau nampak kacak.”
“Ya Allah, sumpah! Yang ni memang kacak. Kau pun kenallah.”
“Siapa?” Bulat mata Arissa. ‘Aku pun kenal?’ Hati sudah mula tertanya-tanya.
“Haaa... Tahu pun nak tahu! Hmm... Hariz. Anak mak ngah, kau.”
“Hariz? Anak mak ngah?” Arissa kerut dahi. Macam pernah dengar saja nama tu! Perlahan nafas dilepaskan. Hmmm... mahunya tak kenal! Setiap waktu nama itulah yang sentiasa bermain di fikirannya.
“Allah, satu-satunya anak muda dekat kampung kita ni yang belajar dekat luar negara sana. Sepupu sendiri tak kenal?” giat Lela dengan muka pelik.
“Hmmm... Hariz Ilman? Anak Mak Ngah Roza?” Dalam tekak saja suara Arissa terlantun. Kerutan pada dahinya semakin berlapis.
“Hah, ingat pun kau! Ingat kan, kepala otak kau ni lembab.” Lela tunjal kepala Arissa. Macam biasalah kalau mereka bergurau. Bergurau kasar!
Yang peliknya kali ini Arissa biarkan saja. Langsung tidak melawan. Malah Arissa nampak macam bingung-bingung pula. Lela kerut dahi. Apa kena dengan minah sorang ni?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 13, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bisikan Rindu SemalamWhere stories live. Discover now