Lelah. Lelah apabila setiap yang di adu, dianggap sebagai mencari kesalahan. Penat, apabila tiada yang peduli tentang depresi yang sedang dialami. Hampa, apabila orang yang disayangi sendiri pun tidak perasan akan perubahan dirinya.
Wajahnya semulajadi tanpa sebarang make-up. Matanya berkedip sesekali sambil memerhati ke depan namun wajahnya jelas kosong. Terlalu kosong tanpa segaris senyuman bahkan tiada reaksi yang tergambar pada wajahnya.
"Hujung minggu ni kita beli barang rumah ye. Sambil tu kita jalan-jalan sikit." Ujar suaminya yang sedari tadi lahap menikmati sarapan pagi.
"Okey je, bang" Balasnya ringkas sambil menghabiskan teh di dalam cawan miliknya setelah dia melihat suaminya sudah siap sarapan dan selesai membasuh pinggannya sendiri.
Dia mengiringi suaminya ke pintu hadapan. Seusai bersalam, suaminya menghadiahkan sebuah kucupan pada dahinya.
"Abang pergi kerja dulu ye Lina." Ujar suaminya sebelum bergerak ke arah kereta lalu dihidupkan enjin. Lina sempat melambai sambil melemparkan secebis senyuman sebelum menutup pintu rumah. Serta merta senyuman di bibirnya pudar, hilang tanpa dikesan.
Dia segera ke dapur lalu bersarapan dan membersihkan apa sahaja yang masih berada di dalam sinki. Sesudah selesai di dapur, dia bergerak ke hadapan lalu disapu bersih segala habuk, buku-buku disusun kembali di rak, di vakum segala karpet dan akhirnya dia terduduk di sofa kelelahan.
Dia melirik ke arah jam dinding yang baru menunjukkan pukul 9.30 pagi. Tika itu tanpa sengaja matanya tertumpu pada bingkai gambar di bawah jam. Gambar itu diambil lebih kurang 10 tahun yang lalu. Si kembar waktu itu berusia 13 tahun manakala anak bongsunya berusia 9 tahun. Kini anak-anaknya sudah dewasa.
Masing-masing punya gaya hidup tersendiri. Sungguh Lina terasa tapi suaminya lebih suka begitu. Lebih privacy katanya. Dan Lina seperti biasa, seperti boneka, hanya mengiyakan kata-kata suaminya. Akhirnya Lina tertidur di sofa itu, bermimpikan saat anak-anaknya masih kecil. Sehingga tanpa disedari, dia menangis dalam tidur.
Itu lah Alina Sofea. Seorang 'boneka' yang hidup. Terlalu lama memendam rasa sehingga kini dia sudah tidak punya apa-apa emosi untuk ditayangkan. Dia hanya bercakap bila ditanya, akur apabila di suruh, dan diam apabila dimarahi. Tiada lagi kata-kata protes dari mulutnya, tiada lagi wajah cemberut ditayangkan, tiada lagi gelak tawanya dan tiada lagi cahaya di dalam matanya. Semuanya terjadi mulai saat dia faham yang tiada guna dia tunjuk sebarang emosi, berikan pendapatnya, protes atas hal yang dirasakan tidak benar pada sesiapa kerana hakikatnya tiada siapa yang peduli. Bahkan suaminya sendiri pun tidak peduli maka terhasillah 'boneka' ini.
Bukan sekali dua dia terasa ingin mati, betapa dia merasa dirinya tidak penting apabila pendapatnya tidak didengari. Betapa dia merasa dia tak guna apabila tidak bekerja dan suaminya sering merungut tidak cukup wang. Betapa dia merasa lelah saat sendirian menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Jangankan penghargaan atau hadiah buat dirinya malah secebis 'terima kasih' pun tidak diterima. Nak harapkan suaminya membantu? Mungkin suaminya tersekat di zaman yang mana isteri wajib uruskan semua sendiri dan suami hanya perlu mencari rezeki.
Setiap kali ingat akan anak-anaknya, mereka lah penyebab dia masih hidup hingga ke hari ni. Iya, segala organ badannya masih berfungsi. Masih dapat berkhidmat dengan cemerlang pada suaminya dari semua aspek hingga suaminya agak bangga punya isteri yang menurut kata dan tidak lagi memberontak seperti waktu awal perkahwinan dulu tapi apa yang suaminya tidak lihat ialah Lina hidup pada luaran, tapi hatinya dah lama mati. Atau mungkin suaminya nampak tapi langsung tidak peduli? Ignorant? Lina sudah lama berhenti memikirkan hal itu dan hanya terus menerus menjadi 'boneka' yang diharapkan oleh suaminya.
YOU ARE READING
Hanya Boneka
RandomPernah rasa bagaimana menjadi boneka 'hidup'? Jelas bahawa Alina Sofea sedang melalui fasa itu setelah 10 tahun memendam rasa sendirian. Namun hingga kini, tiada siapa yang mengambil peduli tentangnya. Seperti biasa. Iya, dia dah lali dengan keadaa...