BAB 1

1.3K 47 6
                                    

CINCIN perkahwinan yang melekat erat di jari manisku menjadi tempat sasaran mataku berlabuh, lama. Tak pernah sekalipun aku mencuba melepaskan dari jariku walaupun pemiliknya sudah lama pergi membiarkan aku hidup terkontang-kanting di dunia nyata ini.

Lama mataku menilik cincin bersalut emas putih itu, ada rindu mengasak sanubari. Terlalu jauh dihanyut emosi, aku bawa kepala menyandar di kerusi. Mata sedaya upaya dipejam rapat, berusaha mengusir bayangan wajah yang dulunya pernah bertahta di hatiku. Menyeri dan membahagiakan hidupku suatu ketika dahulu. Namun segigih mana pun aku mencuba, bayang itu terus saja mampir mengucar-kacirkan jiwa dan emosiku. Menarik aku ke dalam lembah derita yang dipenuhi kenangan lama.

Sungguh aku lelah!

Dengan mata yang masih terkatup rapat, aku menghela nafas perlahan. Hidup tanpa dia, sememangnya sukar untuk aku lalui. Tetapi untuk kembali kepada dia, ternyata tindakan itu bakal memusnahkan hidup aku sekali lagi. Mana mungkin aku meneruskan hidup bersama lelaki yang tak pernah berpendirian tetap dalam hidupnya. Yang memandang enteng tali ikatan antara kami. Yang hanya diam disaat aku ditindas oleh manusia lain.

“Beb! Kau tak nak keluar lunch ke?”
Satu suara yang menegur tiba-tiba berjaya menghentikan ingatan aku pada kenangan lalu. Kelopak mata terus aku celik dan tubuh dibawa duduk menegak. Sekujur tubuh Aunie elok menyandar di jenang pintu dengan mata tertacap ke arah aku yang masih tidak berganjak dari duduk.

“Dah pukul berapa?” berpura-pura sibuk, aku menyoal Aunie dengan mata memerhati kertas kerja yang bersepah di atas meja. Tidak mahu Aunie mengesan riak mendung di wajahku.

“Dah masuk lunch beb!” Nada Aunie kedengaran tidak berpuas hati. Tentulah kepada aku yang masih tenggelam dalam timbunan kerja.

“Sorrylah, Aunie. Aku tengah sibuk nak siapkan kertas kerja untuk mesyuarat kejap lagi.” Alasan kukuh aku berikan agar Aunie tidak meletakkan kesalahan di bahuku.

“Kerja tak pernah habis Tia. Sekarang ni waktu lunch. Apa kata kau berhenti buat kerja dan temankan aku pergi lunch. Petang nanti manager baru dari Selayang nak datang.” Entah bila masa Aunie mendekat, tiba-tiba saja dia dah elok berdiri di depan meja kerjaku. Air muka dia tak usah cakaplah, garang bukan main.

Spontan aku menjeling geram. Desakan Aunie akhirnya buat aku mengalah. Mengemas ala kadar, beg tangan aku capai.

“Makan ajelah sorang. Mengada nak berteman dah kenapa?” sebuah jelingan tajam aku hadiahkan saat anak mata kami bertembung. Ketika ini kami beriringan menuju ke café di bawah bangunan ZR Galeri.

Sedikit tak puas hati bila Aunie beria-ia membangkitkan isu perjumpaan manager baru yang akan menggantikan tempat Puan Irdina. Bukan aku tak tahu dia menggunakan alasan itu untuk memerangkap aku menemaninya makan. Bukan sehari dua aku kenal Aunie. Perangai dia aku dah boleh jangka.

Semenjak aku diceraikan dan hidup bersendirian, Aunie yang banyak membantu aku. Menjadi tulang belakang aku selama ini. Setelah diceraikan lima tahun lalu, aku hidup dengan aman dan damai. Cuba menjadi seorang wanita yang tidak memerlukan lelaki di sisi. Dan sekarang inilah aku. Bekerja di sini dan hidup bersederhana begini buat aku tenang tanpa sebarang masalah.

“Manager tu janji pukul berapa sampai sini?” Selesai mengambil makanan dan tempat duduk, laju aku menyoal Aunie yang duduk bertentangan.

“Entahlah. Cuma aku tahu, dia sampai petang ni.” Aunie menjawab setelah selesai menyedut air minumannya.

Aku mengangguk kepala, berpuas hati dengan jawapan Aunie. Suasana kembali sepi bila kami mula menikmati makanan masing-masing. Ruang café sedikit lenggang kerana sesetengah pekerja lebih suka memilih makan di luar. Tapi bagi aku, hanya café saja tempat paling menyenangkan daripada aku harus bersesak makan di restoran luar. Memanglah makanan di café ini tidak sesedap makanan di luar sana tapi sekurang-kurang aku tak perlu membazir waktu hanya untuk memuaskan tekak.

LELAKI TERAKHIR UNTUKKUWhere stories live. Discover now