BAB 2(Versi unedited)

1.1K 43 3
                                    

TEPAT pukul tiga petang, semua staf ZR Galeri sudah berkumpul di bilik mesyuarat untuk memperkenalkan manager baru yang akan menggantikan tempat Puan Irdina. Sejenak aku memandang ke sekeliling. Suasana ditindih sepi memandangkan ada di antara mereka tengah ralit menumpukan perhatian pada gadjet masing-masing. Mengisi masa lapang sebelum ketibaan Encik Rahman, bos besar ZR Galeri yang akan mengetuai mesyuarat hari ini.
Aku toleh ke sisi, mencari wajah Aunie yang sedari tadi membisu. Melihat Aunie yang turut sama tenggelam dalam dunia media sosial, kepala perlahan menggeleng. Ralit sangat sampai aku disebelah pun diabaikan. Itulah realiti dunia zaman sekarang. Gadjet menjadi tumpuan utama hari ini.
Tidak lama kemudian pintu bilik tiba-tiba terkuak lebar sebelum tubuh gempal Encik Rahman berjalan masuk ke ruangan ini. Puan Hani selaku PA turut sama mengekori langkah penuh yakin Encik Rahman.
Suasana bilik mula dicengkam hening setelah Encik Rahman masuk. Tidak lama kemudian, muncul pula lelaki berkemeja biru laut melalui pintu yang sama Encik Rahman gunakan.
Dan saat sepasang mata itu bertembung dengan mataku, rahang aku hampir saja melorot jatuh ke bumi. Cuma seketika pandangan dia berlabuh di wajahku sebelum dia melarikan pandangan.
“Wey, bukan ke mamat tu kita jumpa dekat cafe tadi?” Aunie menyenggol bahu aku yang ketika itu masih terkesima melaraskan rentak jantung.
“Tia!” Aunie tepuk tangan aku dan pantas kepala terganjak memandang Aunie.
“Kalau ya pun, simpan sikit reaksi suka kau tu.” Boleh pula dia nak mengusik aku dalam keadaan genting begini. Sudahlah suara dia tu mengalahkan guna microphone.
Aku buat bodoh dengan usikan Aunie. Membenamkan soalan Aunie, aku kembali menumpukan perhatian pada Encik Rahman di hadapan.
“Selamat petang semua.” Encik Rahman membuka bicara sebaik semua pekerja duduk setelah bangun menunjukkan hormat.
“Seperti yang kalian tahu, Puan Irdina akan bersara tak lama lagi. Jadi saya gantikan tempat Puan Irdina dengan seorang yang berkebolehan.”
Semua pekerja masih diam mendengar bicara Encik Rahman. Termasuk aku. Ada ketikanya mata aku nakal mencuri pandang pada lelaki lelaki tersebut. Masih beku tanpa senyuman. Malah aura karismanya terlalu menyerlah buat aku ditimpa satu perasaan aneh.
“Saya kenalkan ini Encik Erfan Rayyan. Anak didik saya di RH Galeri, Selayang.”
Gamat ruang bilik dengan bunyi tepukan staf ZR Galeri. Mengalu-alukan kedatangan pekerja baru yang akan menggantikan Puan Irdina sebagai penolong kanan bahagian promosi. RH Galeri itu anak syarikat yang ditubuhkan di Selayang. Jika Erfan penolong kanan, manakala aku pembantu penolong kanan.
“Ada apa-apa yang kamu nak cakap, Erfan? Sepatah dua kata untuk mereka.”
Aku hanya memerhati tingkah dua orang di hujung sana. Entah kenapa, hati ini tiba-tiba berdebar tidak menentu. Seperti tarikan magnet yang mahu bercantum. Begitulah pandangan mata aku. Rasa tak berdaya nak kalih dari melihatnya.
“Assalamualaikum, semua. Terima kasih untuk peluang yang Encik Rahman berikan pada saya. Insya Allah, saya akan berkerja dengan lebih baik. Dan saya mohon berikan kerjasama anda pada saya.” Lembut dan penuh tertib Erfan menuturkan kata. Penuh berkarisma cara dia berucap.
Pakej lengkap sebagai seorang lelaki budiman. Itu yang aku nampak dari gayanya.
Setelah selesai sesi suai kenal, meeting diteruskan hingga ke petang. Bermacam-macam topik diketengahkan. Memandangkan ZR Galeri menghasilkan aksesori wanita. Seperti rantai, gelang kaki, cincin. Banyak kerja memerlukan pantauan disemua pihak. Jawatan aku disini sebagai pembantu penolong kanan bahagian promosi. Mencari cara untuk mempromosi barang-barang ZR Galeri selain dari menguruskan kerja-kerja diluar.
Dua jam masa berlalu, akhirnya meeting selesai. Terasa kebas punggung aku duduk lama tanpa pergerakan. Aunie awal-awal dulu mencicit keluar ke tandas setelah tamat saja meeting. Manakala aku masih sibuk mengemas pen dan buku yang diguna untuk kembali semula ke bilik kerja. Banyak kerja perlu diselesaikan sebelum pulang.
“Ha, Tia. Mari sini saya kenalkan awak dengan rakan partner baru awak.” Suara Encik Rahman yang memanggil membantut pergerakan aku. Kepala aku angkat memandang ke tubuh gempal Encik Rahman dan Erfan yang ketika itu mampir mendekati.
Jantung sekali lagi hilang sifat. Laju bukan main berdetak! Saat kedua-dua manusia itu berdiri di depanku, sehabis daya kukawal air muka agar tak nampak ketara gugup yang melanda. 
“Puan Irdina ada beritahu yang Erfan akan ambil alih bahagian promosi? Bermaksudnya apa saja yang memerlukan pemantauan, Erfan perlu tahu terlebih dahulu.”
Mendengar soalan Encik Rahman, kepala aku laju mengangguk mengiyakan. Memang dua hari lepas Puan Irdina sudah khabarkan pada aku mengenai pekerja yang menggantikan tempatnya itu. Tapi tak sangka pula orang yang menggantikan Puan Irdina adalah lelaki.
“Baguslah kalau awak tahu. Jadi awak boleh bantu tunjukkan bilik kerja Erfan?”
Terus aku halakan anak mata ke wajah kosong tanpa reaksi Erfan. Aduhai… kaki macam nak lari tapi tak boleh. Nak tak nak terpaksa aku bersetuju. Memandangkan Erfan orang atasan yang menggantikan Puan Irdina, aku tak boleh bersikap sambil lewa melayani Erfan.
Hilang saja kelibat Encik Rahman, kornea mataku pantas berlabuh di wajah tanpa celanya sebelum memulakan langkah ke bilik Puan Irdina gunakan dulu.
“Are you, Tia Zahara??”
Dan-dan langkah kaki aku mati. Aku pusing tubuh ke belakang sedikit dan kening pantas terjongket naik. Hairan mendengar soalan dia ajukan.
“Yes?” Mata dia aku renung lama. Cuba mengorek kewajaran soalannya itu untuk pertemuaan pertama kami. Namun malangnya, aku tak dapat menyingkap apa yang terbenam dimindanya detik ini.
“You, Tia Zahara?” Sekali lagi dia menyoal. Mengulangi soalan yang dia ajukan seketika tadi. Dapat aku kesan nada tak percaya dalam bicaranya. Seolah-olah ada sesuatu yang dia mahu buktikan.
“Ya, sayalah Tia Zahara. Ada apa ya Encik Erfan?” Kesabaran aku tanam menyedari tingkah peliknya itu. Tak dapat aku memahami sikapnya itu. Pertama kali bertemu, dia menyoal aku seperti pesalah.
“Jadi youlah pekerja paling berdedikasi di sini?” Soalan Erfan ajukan buatkan aku terngadah.
“Sorry? Boleh Encik Erfan ulang sekali lagi?” Aku tengah pening nak faham kata-kata Erfan.
Tiba-tiba hujung bibirnya carik dengan senyuman. Dan-dan aku diterpa perasaan tidak enak.
“Nothing. Boleh tunjukkan bilik I?” Tangannya diangkat lurus ke hadapan, meminta aku menunjukkan jalan ke bilik kerjanya.
Aku kerut kening. Pening memahami tingkah anehnya itu. Walaupun bingung disoal begitu, aku tetap membawa Erfan ke bilik kerjanya.
“Ini bilik Encik Erfan. Ada apa-apa Encik Erfan nak tahu lagi?” Sebaik saja berhenti di depan biliknya, aku ajukan soalan lain. Kutlah dia mahu tanya apa-apa lagi sebelum aku masuk bilik sendiri di bersebelahan biliknya. Banyak lagi kerja yang aku harus pantau.
“Boleh you hantarkan laporan promosi bulan lepas dekat bilik I kejap lagi?”
Aku angguk walau dalam hati menanam geram dengan sikap bekunya. Langsung tak ada senyuman yang mahu dihulurkan. Wajah ketat tanpa reaksi saja yang dia tayang.
“Boleh Encik Erfan.” Aku pamer senyum paksa.
“Thanks. Oh, lagi satu! Can you please make a cup of coffee for me? Jangan terlalu manis. I tak suka benda manis.” Selesai dia cakap macam tu, dia terus masuk bilik pejabatnya.
Meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan arahannya. Apa dia fikir aku tea lady dekat ofis ni? Ikutkan hati nak saja aku sembur dia dengan kata-kata tak beradab tapi memikirkan sekarang aku berada di ofis, jadi aku pendam dalam hati. Baru beberapa jam kenal, dia dah tunjuk perangai. Huh!
Tanpa melengahkan masa, menonong aku berjalan pergi panteri. Capai mug, coffee 3 in 1, lepas tu aku tuang air panas dan kacau. Siap! Tak payah letak gula. Biar pahit macam muka dia.
Selesai bancuh minuman, berhati-hati aku mengatur langkah keluar. Dipertengahan jalan, aku terserempak dengan Aunie yang ketika itu mahu ke tandas. Nampak saja aku terkocoh-kocoh dia menghampiriku.
“Untunglah kau, beb. Dapat kerja bawah Encik Erfan. Aku rasakan jodoh kau orang berdua ni memang dah tersurat.” Aunie dah mula buat teori lagi mengenai aku dan Erfan. Lagaknya seperti dia TUHAN yang tahu jodoh aku.
Asal berjumpa aku ada saja ayat dia nak kenenkan aku dengan Encik Erfan. Dari cafe sampai habis meeting, nama Erfan tak berhenti meniti di mulut Aunie. Naik pening aku mendengar.
“Itu bukan jodoh. Tapi bodoh!” Aku bulatkan mata. Menghantar maksud jangan melebih-lebih.
Aunie hanya ketawa-ketawa saja. Entah apa yang lucu pun aku tak tahu. Rasanya aku tak buat lawak pun.
“Malas aku layan kau. Aku nak pergi hantar kopi dekat raja muka ketat tu yang kau admire sangat!” laju saja kaki menapak meninggalkan Aunie sebelum sempat dia bersuara menyoal.
Sampai depan pintu, perlahan aku ketuk, memberitahu kemunculan aku.
“Please come in.”
Aku yang mendengar arahan dia pantas menyelinap masuk dan secawan kopi aku letak atas meja kerjanya. 
“Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu Encik Erfan.” Selesai cakap macam tu, aku mengundur perlahan sebelum pusing tubuh untuk beredar.
“Stop walking, Tia Zahara!”
Serta merta pergerakan aku kaku. Mata aku halakan ke muka dia yang masih menunduk pandang telefon atas tangannya.
“Ya, ada apa-apa yang Encik Erfan nak tanya?” Bila dia hanya diam tak menjawab, aku pula jadi bosan.
“Umur you berapa?” Dia menyoal aku tanpa mengangkat wajah.
“Hah?” Terpinga-pinga aku dengar soalan dia. Tiba-tiba berminat nak tahu umur aku dah kenapa pula?
“How old are you?” Dia ulang lagi soalan yang aku tak jawab. Kali ini dia angkat wajah pandang aku.
“27 tahun.” Ringkas aku bagi jawapan. Tak payah nak susah-susah karang ayat panjang.
“Ada berapa orang adik beradik?” soalan diajukan lagi dengan lagak santai. Dah gaya polis saja dia soal aku.
“Saya anak tunggal.”
Bila dia dengar jawapan aku, dia terus terdiam lama. Matanya tak lepas dari merenung aku. Sepertinya ada sesuatu dalam benaknya mengganggu.
“You tak ada kembar?” Seperti tak berpuas hati dengan jawapan aku, dia bagi lagi soalan.
“Saya anak tunggal Encik Erfan.” Dalam sabar, geram juga aku dengan sikap pelik Erfan ni.
Erfan melepaskan nafas sebelum cawan berisi kopi diambil dan dicicip perlahan. Aku pula terus pusing tubuh nak berlalu. Tak nak berlama-lama dekat sini. Boleh demam aku berdepan dengan kedinginan Erfan Rayyan.
“Tia.” Sekali lagi nama aku diseru. Pantas aku memusing tubuh dan mempamer senyum penuh dengan kepura-puraan.
“Kenapa kopi you tak manis?” Tiba-tiba matanya terangkat merenung aku. Wajah dan posisinya masih statik begitu.
Dan-dan tubuh aku kejung. Bibir bawah aku gigit-gigit. Otak pula ligat mencari jawapan.
“Erk… Rasanya saya dah letak gula tadi.” Tergagap-gagap aku membalas soalan dia.
“Berapa sudu you letak gula?” soalnya lagi dengan renungan bagaikan mata pisau yang tajam.
Perlahan aku teguk liur yang terasa berbutir-butir melalui kerongkong. Jawapan yang bagaimana mahu aku berikan? Sedangkan aku langsung tak letak gula dalam air kopi dia.
“Next time, jangan buat perangai macam ni. You ada niat nak bunuh I ke?” Erfan membetulkan duduknya. Tegak dengan mata tajam memandang aku yang tak berganjak sedikit pun.
“Maaf, Encik Erfan. Saya buatkan kopi baru.” Laju saja aku mendekati mejanya. 
Tapi baru saja tangan aku nak capai mug, Erfan lebih pantas menjauhkan. Sekali teguk, air dalam mug tersebut terus licin.
Sementara aku dah melopong mulut melihat air yang aku bawa tadi sudah licin diminum Erfan.
“You boleh bawa keluar cawan ni.” Erfan hulur cawannya setelah selesai menghabiskan saki-baki air tersebut. Bersahaja tingkahnya.
“Kenapa Encik Erfan minum?” Blur aku bertanya. Tadi tak silap aku dengar, dia beritahu kopi yang aku buat pahit, tapi kenapa dia minum sampai habis juga?
“Selalunya orang buat air kopi pahit ni mungkin ada masalah.” Dia kembali menatap skrin telefon selepas saja aku sambut hulurannya.
Otak mula mencerna patah-patah perkataan yang Erfan katakan. Apa maksud ayat dia? Kenapa air kopi pahit yang aku buat dikait dengan masalah aku pula? Bingung aku memahami sikap Erfan. Dia sedang bicara mengenai apa?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 10, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

LELAKI TERAKHIR UNTUKKUWhere stories live. Discover now