Bab 1

2.8K 176 14
                                    


NAWA merenung lama pelamin yang digubah pagi tadi. Seperti yang dijangkakan pelamin itu kelihatan gah dan meriah sekali. Kain satin berwarna merah jambu yang digandingkan dengan warna putih serta hijau laut memang kena dengan tema yang dikehendaki oleh keluarga pengantin.

Nawa mengambil foto. Dia mahu menyimpan gambar itu untuk direkodkan, sekali gus dijadikan sebagai contoh rekaan kepada klien. Sedang Nawa sibuk mengambil gambar sana sini, pembantu Nawa datang menerpa dari belakang.

"Cik Nawa, ada banyak tangkai bunga ros yang patah dan gugur. Nak buat macam mana ya? Kalau nak buang, macam rugilah pula."

Mata Nawa tertancap pada tangan Nayla yang memegang beberapa tangkai bunga ros yang sudah kelihatan tidak elok.

"Mungkin awak boleh petik kelopak bunga tu semua dan taburkan atas meja? Nampak cantik juga macam tu."

Melihat bosnya yang tampak serius, Nayla menelan liur. Dia teragak-agak untuk menyambung bicara.

"Ada apa-apa lagi ke, Nayla?" Nawa yakin sekali ada sesuatu yang mahu dikatakan oleh Nayla.

"Errr... ada, Cik Nawa. Nanti Cik Nawa bagi tahu dengan Humaira ya mengenai bunga-bunga yang rosak ni. Sebab bukan dekat tangan saya je ni, Cik Nawa. Belakang tu ada sekotak penuh kelopak ros gugur dan tangkai patah. Kita yang rugi nanti." Nayla menyusun bicara dengan sebaiknya.

"Baik, Nayla. Nanti saya beritahu Humaira." Nawa mengangguk.

"Saya sambung kerja dulu, Cik Nawa."

"Kejap."

Langkah Nayla terhenti. "Ya, Cik Nawa?"

"Abbas..." Mata Nawa meliar sebelum menyambung. "Dah sampai ke?"

"Encik Abbas belum sampai lagi, Cik Nawa. Dia cakap dengan saya nanti dia akan hubungi Cik Nawa bila tiba masanya sebab dia tak mahu kacau Cik Nawa sekarang."

Nawa angguk, lalu Nayla pun beredar. Dia menapak turun dari pentas dewan. Setiap langkah yang diaturkan adalah begitu cermat. Tidak mahu pula terjelepok jatuh mencium lantai.

Sementara dia berjalan menuju keluar dari dewan, kedengaran telefon pintarnya berbunyi. Tertera nama Humaira pada skrin telefon. Dia terus keluar dari dewan perkahwinan.

"Assalamualaikum, minah utara. Hang nak apa?" Nawa menyakat.

Humaira adalah kawan baik Nawa sejak zaman universiti lagi. Dialah yang sering mengedarkan bunga hidup ke Butik Blue Tulip apabila adanya majlis perkahwinan yang diuruskan oleh Nawa.

Tambahan pula Humaira adalah seorang penjual bunga, jadi tidak perlulah Nawa mencari pengedar lain.

"Waalaikumussalam. Aku telefon hang ni nak tanya, stok bunga sampai semua tadi okey dak?"

"Tak berapa okey sangatlah. Ada banyak bunga yang gugur dan ada tangkai bunga yang patah. Aku nak tuntut baliklah duit aku macam ni. Mana adil. Banyak kut duit pelanggan keluar." Terus sahaja Nawa kompelin.

"Ya ka? Banyak ka gugur? Aduh, maaflah, aku tak sengajalah, Nawa. Maaf na. Tak apa nanti hang tuntut balik duit. Aku pindah kat akaun bank Butik Blue Tulip nanti," balas Humaira dengan rasa bersalah.

Tidak suka bab-bab wang ringgit dianggap remeh.

"Aku saja je, nak sakat kau. Rosak tu memanglah rosak. Tapi, tak adalah sampai nak kena tuntut balik duit. Hahaha. Takut sangat kau dengan aku eh? Padahal, kau tu jantan bertudung."

Nawa tersengih sendiri.

"Isy hang ni, buat jantung aku dup dap dup dap ja. Siap hang! Weh, ni aku nak tanya hang sat. Abbas ada pi sana ka?"

Wanita Yang Tersakiti (JANUARI 2023)Where stories live. Discover now