Wajah

15 1 0
                                    


Ada satu bau yang busuk di dalam rumah. Ia datang dari selonggok pinggan mangkuk yang tidak dibasuh di dapur, sejak ketiadaan Izzah. Suatu pagi saya bangun dan dia sudah tiada lagi di sisi. Saya mencarinya di dalam rumah setingkat kami, di dapur atau di ruang tamu tetapi dia tiada. Selalunya saya dapat menemuinya di dapur, sedang membuat kek atau memasak apa-apa. Saya teringat aroma kek yang dibakarnya. Ia berbau harum dan sedap. Saya lihat Izzah di dalam gambar-gambar polaroid yang terlekat di belakang almari tv di ruang tamu.

Saya sedar saya sudah lambat. Jadi saya bersiap kemudian memandu ke pejabat. Ketika mandi, buih pencuci muka masuk ke dalam mata menyebabkan mata saya pedih, saya tidak dapat melihat cermin. Sampai di kubikel pejabat saya dapati ada orang lain sedang duduk di kerusi saya. Pertengkaran kecil berlaku kerana dia mengakui yang itu tempatnya. Saya cuba bercakap dengan jiran kubikel yang saya kenal, dan kami rapat tapi anehnya dia tidak mengingati saya. Saya beritahu beberapa perkara yang saya tahu tentangnya dan dia semakin pelik dari mana saya tahu tentang semua itu. Begitu juga dengan rakan sekerja yang lain, mereka juga tidak mengingati saya. Hiasan di kubikel saya masih sama seperti saya tinggalkan minggu lepas. Kemudian pengawal keselamatan datang. Bos saya turut datang melihat apa yang berlaku dan dia juga tidak mengenali saya. Saya cuba yakinkan mereka yang saya pernah bekerja di sini tetapi mereka langsung tak ingat.

Saya keluar dari kawasan pejabat, memandu tanpa arah dan berhenti bila ternampak sebuah pondok telefon di tepi jalan. Saya tidak pernah mempunyai telefon. Saya rasa seperti baru dibuang kerja tetapi ia lebih aneh bila mereka semua tidak langsung mengingati diri saya pernah bekerja di situ dan pernah mengenali mereka. Saya mendail nombor telefon Izzah. Ia berbunyi tapi tidak diangkat. Saya cuba tiga kali dan berhenti. Saya masuk kereta kemudian memandu ke rumah mak.

Mak juga tidak mengenali saya. Ini buat saya betul-betul kecewa. Apa yang sudah jadi dengan hidup saya? Kami duduk di ruang tamu rumah dan mak memakai tudung. Saya rasa janggal. Saya terfikir bila saya bangun tidur pagi ini saya telah bertukar menjadi siapa? Mak membahasakan dirinya sebagai mak cik. Dia kata dia tidak pernah melihat wajah saya seumur hidupnya. Dia kata dia ada anak sebaya dengan saya dan bentuk badan seperti saya tetapi anaknya itu bekerja di luar negara. Mak tanya lagi, kalau betul saya anak dia, apakah lagu kegemarannya? Saya berfikir sejenak dan menyedari yang saya tidak pernah tahu tentang perkara itu. Saya tidak pernah tahu lagu kegemaran mak.

Saya bercakap tentang kakak. Mak terkejut bila saya memberitahu rinci yang tak mungkin orang lain tahu. Saya beritahu tentang arwah abang yang meninggal ketika masih kecil. Saya minta menggunakan tandas. Saya melihat diri saya di dalam cermin tetapi saya tidak dapat melihat wajah saya. Tetapi kenapa? Apa yang telah berlaku? Terlalu banyak persoalan. Saya lihat ke dalam pantulan air kolah namun tidak juga dapat melihat wajah.

Saya keluar dari rumah mak dan memandu. Saya mencari cermin atau air untuk melihat wajah saya. Hati saya berat merasakan yang wajah saya telah berubah. Saya bukan lagi diri saya yang dulu. Saya bukan lagi wajah saya. Sesuatu telah berlaku ke atas wajah saya ketika saya tidur. Itulah sebab orang di sekeliling sudah tidak mengenali saya.

Saya ke sebuah pusat beli belah di tengah bandar. Saya naik ke medan selera yang terletak di tingkat dua. Saya tidak menggunakan lif kali ini. Sebuah kedai yang menjual juadah berasaskan sup dan goreng. Saya memesan bakso dan bayar dengan sekeping not hijau.

"Macam mana seseorang itu nak melihat wajahnya jika dia tidak boleh melihat wajahnya di dalam pantulan cermin?" tanya saya kepada pekerja kedai, seorang gadis naif yang berwajah muram.

Dia sedikit terkejut menjawab dengan tidak yakin, "Selfie atau tangkap gambar mungkin?"

Saya berterima kasih untuk idea bijaknya. Saya menjamah bakso yang masih panas dengan tenang. Ada dua perempuan yang bercakap dalam bahasa Indonesia berhampiran tempat duduk saya. Mereka berpakaian uniform kilang berwarna biru. Mereka memandang saya pelik seolah ada tanduk rusa yang besar di atas kepala saya.

WajahWhere stories live. Discover now