BAB 1 | BERANTAKAN

3.5K 156 8
                                    

"Kau dah kenapa? Aku nak keluar itu ikut suka akulah!"

"Masalahnya kau tu isteri aku! Jaga sikit maruah aku ni!"

"Kau pun tak pernah jaga maruah aku sebagai isteri!"

Dua suara itu kedengaran saling bertingkah diselang-selikan dengan bunyi barangan pecah.

Gadis itu menghela nafas beratnya. Dia tidak langsung berasa mahu menjenguk melihat ke bawah. Dia sudah lali dengan situasi ini. Saban hari hanya pertelingkahan antara dua orang itu sahaja yang didengarinya.

Dia mengerling jam yang terlekat di dinding biliknya. Jarum jam hampir menghala ke angka dua belas menandakan sudah hampir tamat waktu persekolahan bagi murid sekolah rendah.

Buat sekian kalinya, dia mengeluh. Mujur sahaja adiknya belum pulang dari sekolah. Dia tidak mahu adiknya melihat tingkah laku ibu bapa mereka itu.

Cukuplah hanya dia sahaja yang perlu menghadapi semua tekanan itu sejak dulu lagi.

Tubuh dibangunkan dari katil lalu tangannya lekas mencapai kardigan dan tudung sarung yang disangkut di dalam almari. Dengan ala kadar, kedua-dua itu disarung ke tubuh dan kepalanya.

Langkah dibawa menuruni anak tangga selepas memastikan semua suis di biliknya telah ditutup.

Hanya wajah kosong sahaja yang dipamernya saat melalui kawasan ruang tamu yang bagaikan dipukul badai. Barangan berselerak di merata tempat dan ada juga pasu hiasan yang pecah kelihatan bersepah di atas lantai.

Kelihatan juga sosok bapanya yang duduk bersandar di sofa sambil memejamkan mata. Wajah itu bagaikan sarat dengan pelbagai masalah namun dia tidak peduli. Langkah dibawa menghala ke pintu rumahnya bersama kunci kereta di tangan.

"Pergi mana?" teguran itu menghentikan langkahnya.

"Sekolah." Tanpa berpaling, dia menjawab.

Apabila tidak mendengar sebarang balasan daripada bapanya lagi, dia lekas menyambung langkahnya.

"Bawa adik ke tempat lain dulu."

"Hmm..." Hanya itu sahaja balasannya tanpa menghentikan langkah lagi. Tidak diberitahu pun dia tahulah. Tidak mungkin dia akan membawa pulang adiknya ketika keadaan rumah sebegitu. Pasti mulut kecil itu tidak akan berhenti menyoal.

Setelah kelibat anak sulungnya itu hilang dari pandangan, Encik Hasmadi menghempas keluhan beratnya.

Pandangan dialih pada bahagian tingkat atas di mana terletaknya bilik dirinya dan juga isterinya.

Tidak lama, pandangan dihalakan pada suasana sepah di sekelilingnya. Dengan perlahan, dia bangkit dari duduknya lalu membongkok mencapai segala barang yang bersepah di lantai.

Bersyukur ada anak sulungnya yang membantu menjaga anak bongsunya itu. Dalam diam dia juga tidak mahu anak lelakinya itu melihat pergaduhan antara kedua ibu bapanya. Anak itu masih kecil dan mungkin ianya akan memberi impak kepada dirinya.

Seperti mana yang berlaku pada anak sulungnya, Najdah Muazara. Wajah itu sudah tidak mempamerkan sebarang senyuman lagi seperti mana dirinya pada waktu dahulu.

Ayah minta maaf, Zara.

***

Punggung elok dilabuhkan di bumper kereta bersama tangan yang bersilang di dada.

Pandangan dilontarkan ke dalam perkarangan sekolah rendah itu, mencari kelibat si cilik yang ditunggunya sedari tadi lagi. Dah kenapa lambat pula ni?

Selalunya, sebelum pukul dua belas lagi mereka sudah keluar. Sekarang, sudah dua belas sepuluh minit.

Puas melihat ke sekeliling, dia menunduk, melihat ke skrin telefon. Sekadar memeriksa sekiranya ada pesanan penting buatnya.

"Kakak!" Panggilan itu mengalihkan perhatiannya pantas dia mengangkat wajah memandang ke arah adiknya yang sedang berlari ke arahnya.

Tanpa mengalihkan perhatiannya, button off yang terdapat di sisi telefon ditekan lalu telefon itu lantas diselukkan di dalam kocek seluar slek yang dipakainya.

"Kenapa lambat?" Bibirnya menyoal sambil tangan membukakan pintu di bahagian sebelah penumpang kepada adiknya.

Usai itu, dia pula masuk ke bahagian pemandu.

"Ada soalan kena jawab. Afan ada dapat ni." Tangan kecil itu menyelongkar beg sandang belakangnya itu, mencari sesuatu yang diperolehinya kerana berjaya menjawab soalan yang diberikan guru sebentar tadi.

Dia hanya memandang tingkah adiknya itu sekilas sebelum memulakan pemanduannya. Lafaz basmallah meniti di bibirnya.

"Ni ha! Spongebob!" Budak lelaki itu bersuara riang sambil menunjukkan satu botol minuman yang mempunyai gambar kartun Spongebob Squarepants di luarnya.

Najdah Muazara memiringkan senyum nipis, senang melihat kegembiraan itu. "Jangan bagi rosak."

"Okay. Kalau rosak apa jadi?"

"Nanti cikgu nangis," jawabnya ringkas membuatkan mulut budak itu membulat.

Buat seketika, suasana di dalam kereta itu kembali hening bila mana tiada lagi soalan yang diajukan oleh budak lelaki itu. Dia kelihatan ralit membelek botol itu sambil berceloteh sendiri tanpa mengeluarkan suara.

"Akak, bukan ke jalan rumah kita kena masuk sana?" celah budak itu apabila perasan kereta yang dipandu oleh kakaknya sudah melepasi persimpangan masuk ke rumah mereka.

Memandangkan hanya laluan itu sahaja yang digunakan kakaknya untuk menghantarnya ke sekolah, dia mulai cam akan laluan dan papan tanda yang terdapat di situ.

"Kita pergi beli aiskrim, makan dekat taman."

Setelah mendengar kata-kata kakaknya itu, budak itu pantas bersorak bagaikan mendapat suatu kemenangan. Seronok betul dia apabila diberikan keizinan untuk makan aiskrim. Iyalah, jarang sekali dia dapat makan manisan berkrim itu memandangkan kata kakaknya, aiskrim dan manisan boleh merosakkan gigi jika dimakan selalu.

Najdah Muazara mengukir senyum hambarnya sambil mata masih fokus ke pemanduannya.

Saat lampu isyarat bertukar merah, dia menghentikan kenderaannya. Sempat mata mengerling pada adiknya.

Baginya, beruntung sekali budak lelaki ini kerana mempunyai dia yang mampu membawa kanak-kanak itu lari dari suasana tegang antara ibu bapa mereka.

Cuba bayangkan dia yang dahulu, seseorang anak yang tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap bila mana situasi itu berlaku.

Berlari keluar dari rumah? Apalah sangat diharapkan darinya bila mana dia hanyalah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun pada ketika itu. Jadi, dia hanya mampu berlari naik ke biliknya dan menutup telinga. Namun begitu, dia masih dapat mendengar setiap perbalahan mereka.

Fikirkan, apa yang mampu dia lakukan apabila mendengar ibu bapanya bertengkar setiap hari. Menangis? Sudah puas dia mengeluarkan air mata namun mereka masih tidak berhenti.

Pernah terdetik di fikirannya, kenapa Tuhan berikan keluarga sebegini kepadanya? Bukankah lebih baik biarkan dia sebatang kara sahaja. Setidaknya, dia tidak perlu menerima tekanan itu sedari kecil lagi.

Pin!

Bunyi hon yang kedengaran menyentakkannya dari lamunan. Dia memandang ke arah lampu isyarat yang sudah bertukar warna menjadi hijau. Patutlah. Silapnya kerana berangan di jalan raya.

Kenderaan pacuan empat roda itu lekas digerakkannya.

Beberapa ketika kemudian, saat matanya tertancap pada kedai seven eleven berhampiran dengan kawasan itu, dia pantas memarkirkan keretanya.

"Dah, jom."

***

Broken family mengajar diri supaya sentiasa kentalkan hati.

>vote n comment<

 CipherGhost: 47NX  [Slow Update]Where stories live. Discover now