Najdah mengelap peluh yang merenik di dahinya menggunakan kain tuala kecil yang sedari tadi digantung di bahagian lehernya.
Larian kecilnya terhenti sebelum bertukar menjadi jalan-jalan ayam sahaja. Sempat jam yang meliliti pergelangan tangannya, dikerling.
Dia mengangguk berpuas hati. Hampir satu jam dia menghabiskan masa berjoging di taman riadah ini. Cukuplah setakat itu sahaja pada hari ini. Badannya juga sudah terasa berlengas. Rimas!
Jadinya, dia membuat keputusan untuk pulang sahaja lalu langkah dibawa ke arah kereta yang terparkir di bawah pokok yang agak besar saiznya.
Saat dirinya hampir dengan kereta Audi berwarna putih itu, dahinya berkerut tatkala satu kelibat terlihat berada di samping kereta itu. Sosok itu kelihatan asyik memandang ke dalam kereta melalui cermin kereta yang gelap. Perompakkah?
Najdah memperlahankan langkahnya sehingga tidak terhasil lagi bunyi derapan langkah. Dia memandang tajam sosok itu dari belakang.
Apabila dirinya sudah berada hampir dengan sosok itu, barulah dia tahu siapakah gerangan homosapien itu.
"Buat apa?" Dia memeluk tubuh bersama wajah yang beku.
Sosok itu kelihatan tersentak apabila bahunya terangkat sedikit. Mungkin terkejut dengan pertanyaan Najdah yang mampir secara tiba-tiba itu. Dia lekas berpaling lalu mengukir sengihan lebar.
"Eh, betullah princess! Aku dah kata aku kenal kereta ni. Kereta puteri aku rupanya!"
Najdah menjebik bibir setelah mendengar bicara lelaki itu. Dasar manusia tidak normal. Sudah dia beritahu sejak hari tu lagi supaya jangan memanggilnya dengan gelaran puteri itu. Menjengkelkan.
"Oh. Kalau dah tahu, ke tepi," halau Najdah lalu menapak melepasi lelaki itu menuju ke pintu kereta bahagian pemandu.
"Princess nak pergi mana?"
Najdah yang ingin masuk ke dalam kereta itu, terhenti tingkahnya. Dia berpaling pada lelaki di hadapannya itu. "Balik."
"Ouh..." Lelaki itu mengangguk lagak burung belatuk.
"Dah, ke sana. Baik kau pun balik," ujar Najdah langsung terus meloloskan diri ke dalam perut kereta.
Dua saat sebelum menutup pintu kereta, sempat telinganya menangkap balasan kata lelaki itu.
"Aku tak boleh balik lagi sebab ada misi di dunia lain!"
Dahi Najdah berkerut memandang sosok itu melalui cermin tingkap kereta yang gelap. Yang bukan-bukan sahajalah dia ni. Tak habis-habis dengan alam lainnya itu.
Tidak memberikan balasan, dia terus menghidupkan enjin kereta. Saat pacuan empat roda itu bergerak keluar dari pintu masuk utama taman riadah itu, sempat dia mengerling pada cermin sisi, melihat sosok yang melambai padanya itu.
Sosok itu menggelengkan kepalanya perlahan bersama senyum sinis yang terukir di bibir. Pemergian kenderaan pacuan empat roda itu diperhatikannya.
"Detektif, detektif... Macam manalah kau boleh jadi detektif kalau benda depan mata pun kau tak perasan."
***
Kakinya menapak masuk ke dalam rumah sambil jarinya memusingkan kunci keretanya.
Sebentar tadi dia perasan kedua-dua kereta ibu dan ayah ada di laman jadinya pasti mereka berdua tidak keluar bekerja hari ini.
Najdah menghempas keluhannya. Semoga mereka tidak bergaduh lagi hari ini walaupun dia tahu harapannya itu sangatlah tipis. Sudahlah adiknya ada di rumah memandangkan hari ini adalah cuti hari minggu.
YOU ARE READING
CipherGhost: 47NX [Slow Update]
Fantasy[Mystery + Action] Known as Tuan Ahsan Kautsar. Hidup dalam keluarga yang berantakan mengajar Najdah Muazara supaya bergantung harap pada dirinya sahaja. Kehadiran adiknya, membuatkan dia tekad untuk melindungi budak lelaki itu dari menghadapi situa...