Ujian atau Nikmat?

248 2 0
                                    



"Balqis, hari ini CT (clinical training) kita di mana ya?" Tanya Afifah sambil mencari-cari jadual clinical training dalam telefon pintarnya.

"Oh, hari ini di labour room. Ifa pergi fisioterapi tak sebelum CT?"

Q&A yang sama hampir setiap hari. Afifah perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas kejadian kemalangan jalan raya yang menimpanya tempoh hari.

Menjalani kehidupan di negara orang bukanlah mudah. Ditambah pula dengan kejadian yang tidak diingini berlaku tanpa keluarga di sisi.

Dua bulan lepas, Afifah mengalami kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kakinya perlu dijahit dengan lapan jahitan. Luka tidak terlalu dalam tetapi cukup teruk sehingga dia sendiri boleh melihat tendon Achilis di kakinya.

Hampir sebulan, Afifah tidak boleh berjalan dan memerlukan bantuan tongkat serta kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Walaupun Afifah dibenarkan untuk tidak hadir ke kuliah kerana kecederaannya itu, dia tetap mengambil keputusan untuk ke kelas kerana rasa tanggungjawabnya terhadap ilmu.

Setiap hari, jirannya Ammu Muhammad (ammu bererti pak cik dalam bahasa arab pasar di Mesir) mendukung Afifah untuk menaiki teksi ke kelas. Ammu Muhammad memang sangat baik dengan mereka serumah, banyak membantu dan bahasa mudahnya seperti ayah angkat mereka di Mesir. Kadang-kadang, pemandu teksi akan mendukung Afifah melintas jalan ke kuliahnya di seberang jalan, pada masa yang sama sahabat serumahnya, Amira atau Anisa dan Liyana akan menolak kerusi roda. Malu didukung oleh entah mana-mana lelaki, tetapi apakan daya, keadaan mendesak.

Begitulah rutin setiap hari Afifah. Berada jauh dari keluarga, sememangnya memerlukan sahabat-sahabat untuk membantu. Tidak berupaya bergerak ke sana ke sini seperti sebelum ini, memerlukan sejumlah wang yang agak banyak untuk menampung rawatan dan ubat-ubatan, tambang teksi setiap hari dan belanja hariannya semakin bertambah kerana dia perlu untuk mengambil makanan yang berkhasiat terutamanya yang mengandungi protein dan vitamin C lebih daripada sebelum ini untuk proses penyembuhan luka yang cepat, semuanya memerlukan kekuatan dan pengorbanan.

Alhamdulillah selepas sebulan, Afifah sudah boleh mula berjalan perlahan-lahan. Pada mulanya, Afifah masih memerlukan tongkat untuk berdiri dan berjalan. Bayangkan selama sebulan kaki Afifah tidak menjejak ke tanah. Otot di kaki kirinya sudah lembik kerana tidak digunakan dalam tempoh masa yang panjang. Muscle wasting.

Bagi Afifah, kemalangan tersebut merupakan ujian dan nikmat pada masa yang sama. Ujian atas kesakitan dan kesusahan yang dialami namun menjadi nikmat apabila dia sentiasa merintih kepada yang maha Esa untuk dikuatkan dirinya, hatinya sentiasa mengingatiNya dan pada masa susah sebeginilah dia merasakan betapa ramainya manusia yang baik hati, yang sentiasa menghulurkam bantuan kepadanya tanpa diminta. Alhamdulillah ala kulli hal (segala puji  bagi Allah atas segala sesuatu).

"Nanti kalau CT dah mula, whatsapp Ifa ya, Ifa pergi ke sesi fisioterapi dulu." pesan Afifah kepada Balqis.

Sesi fisioterapi ini diatur oleh Rheumatologist di Hospital Universiti Mansoura, hospital universiti tempat Afifah belajar. Disebabkan setelah dua bulan sejak kemalangan itu berlaku, Afifah masih tidak boleh berjalan secara normal walaupun lukanya telah sembuh, dia berjumpa dengan pakar sendi untuk dapatkan nasihat lanjut. Mujurlah doktor tersebut Afifah kenal, doktor yang pernah mengajarnya dalam kelas Rheumatology pada semester lepas.

"Assalamualaikum, saya Afifah, pelajar Malaysia. Minta maaf, boleh saya buat fisioterapi sebelum mak cik? Saya ada kelas selepas ini." Tanya Afifah kepada seorang wanita tua dalam lingkungan 40-an, merupakan pesakit yang juga memerlukan rawatan fisioterapi.

"Ya, silakan wahai anak." Dengan lembut sekali wanita itu menjawab.

"Terima kasih banyak-banyak, mak cik."

Afifah rasa bersalah sebenarnya kerana seringkali memotong giliran pesakit-pesakit di situ. Namun pada masa yang sama dia tidak mahu ketinggalan kelasnya. Kadang-kadang dia terpaksa tidak menghadiri clinical training disebabkan ada pesakit yang tidak memberi keizinan untuk dia dirawat dahulu. Afifah akur dan terima kerana sememangnya itu yang sepatutnya, mengikut giliran yang ditetapkan.

'Tak ada pula Balqis whatsapp. Entah dah mula ke belum CT ni.' Afifah bermonolog sendirian sambil menyarungkan stokin hitam dan sandal di kakinya lalu mencapai buku Obtetrics yang dibacanya semasa rawatan fisioterapi sebentar tadi dan bergegas ke dewan bersalin untuk clinical training.

Afifah terus bergerak ke dewan bersalin untuk kelas seterusnya.

Kadang-kadang Allah beri ujian untuk kita rasa nikmatnya merintih, merayu, memohon pertolongan dariNya. Ya, hati yang dekat dengan Tuhan adalah satu nikmat.

Kadang-kadang kita diuji untuk kita kembali sedar, betapa sayangnya Allah kepada kita. Tanda Allah maha Kuasa ke atas kita hamba yang hina.

Ujian itu bertukar menjadi nikmat jika mata hati kita memandangnya dengan kaca mata yang positif.

♥️

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 24, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Ujian atau Nikmat?Where stories live. Discover now