TSI 01

2.6K 250 19
                                    

Pemergian Raja Dania Deenayla akibat nahas jalan raya yang meragut nyawa gadis itu menjadi titik mula berakhirnya erti cinta dan matinya hati seorang jejaka bernama Tengku Shah Irham. Sejak detik tragis itu, hidup Shah berubah sepenuhnya. Tiada lagi Shah yang periang dan suka berjenaka. Hilang sudah Shah yang sering mengusik dan tersenyum. Semuanya terkubur bersama Dee. Yang tinggal kini hanya Tengku Shah Irham yang dingin, pendiam, dan jarang sekali menunjukkan senyum di wajahnya.

Kehilangan Raja Dania Deenayla membuatkan Shah seolah-olah kehilangan separuh nyawanya. Hidupnya terasa hampa, penuh dengan kekosongan. Perasaan cinta yang pernah berputik di hatinya, kini sirna, hancur bersama pemergian gadis yang dicintainya. Shah mula membawa diri jauh dari segala yang pernah diimpikannya. Cita-cita untuk memperisterikan Dee juga lenyap begitu sahaja. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah air, mencari jalan keluar dari duka yang meruntun jiwanya.

Lima tahun berlalu, lahirlah seorang Tengku Shah Irham yang baharu... seorang yang langsung tidak lagi dikenali oleh rakan-rakan mahupun keluarganya. Shah kini adalah pemain bola keranjang profesional yang telah menandatangani kontrak dengan salah satu kelab terkemuka di tanah airnya. Pemain bernombor 67 ini dikenali ramai, tetapi bukan kerana status sosialnya semata-mata, melainkan juga bakat dan kemampuannya di atas gelanggang. Walaupun berjaya di bidang ini, kisah cinta lama masih menghantui hidupnya.

Namun, siapa sahaja yang tidak mengenali nama Tengku Shah Irham Tengku Ibrahim? Lelaki itu merupakan pewaris tunggal kepada Tengku Ibrahim dan Tengku Sharina, sebuah keluarga konglomerat yang cukup berpengaruh. Namanya pernah menggemparkan media sosial suatu ketika dahulu apabila berita mengenai perpisahannya dengan Tengku Aryana Raina tersebar.

Shah dan Aryana pernah bertunang, namun ikatan itu hanyalah sebuah ikatan yang palsu. Shah dan Aryana adalah sepupu, kedua-duanya berasal dari keluarga konglomerat yang kini berada dalam generasi ketiga selepas ibu bapa mereka.

Pada usia 18 tahun, Shah telah mencipta namanya sebagai seorang pengusaha muda yang berjaya. Dia adalah President of Evolution Foundation dan Managing Director of Evolution Group, dua entiti besar yang telah mengukuhkan namanya dalam dunia perniagaan. Namun, selepas tragedi yang meragut nyawa tunangnya, Shah melepaskan semua jawatan tersebut. Dia tidak lagi berminat dengan kekayaan dan kejayaan yang pernah dikejar. Hidupnya berubah menjadi sebuah pencarian tanpa erti.

"Shah!" Mika memanggil, memecahkan lamunan Shah di gelanggang bola keranjang. Peluhnya yang membasahi wajah dikesat dengan kasar menggunakan baju yang tersarung di tubuhnya.

"Kau nak ikut kita orang lepak tak?" soal Mika sambil melipat lengan baju kemejanya ke paras siku.

Shah hanya memandang tanpa sebarang riak.

"Mana?" tanyanya.

"Tempat biasa," balas Mika.

"Gerak dulu. Aku lambat sikit," jawab Shah sambil mengemas barang-barangnya. Bola-bola keranjang disusun elok di rak selepas digunakan. Mika mengangguk dan berlalu, meninggalkan Shah di gelanggang.

Selama lima tahun, gelanggang bola keranjang ini menjadi tempat Shah melarikan diri daripada kenangan silam. Ia menjadi saksi setiap titik peluh dan usaha kerasnya untuk menjadi seorang pemain profesional. Walaupun beberapa kali ditawarkan tempat dalam pasukan kebangsaan, Shah tetap menolak. Dia memilih untuk kekal bersama Red Hunter, salah satu daripada tiga pasukan teratas dalam liga bola keranjang tempatan. Nama Shah sentiasa dikaitkan dengan kejayaan pasukan itu, tetapi di sebalik setiap kemenangan, Shah tahu, dia masih belum dapat melupakan Dee.

Walaupun memiliki kelulusan sarjana dalam bidang perniagaan, Shah memilih untuk terus melibatkan diri dalam sukan ini. Baginya, gelanggang bola keranjang adalah satu-satunya tempat di mana dia boleh melupakan segalanya... semua duka dan kehilangan yang merobek hatinya. Tentang cinta? Dia sudah lama berhenti percaya.

TENGKU SHAH IRHAMWhere stories live. Discover now