Zuera menarik kerusi dan duduk berhadapan Nadia Imran. Suasana kelas ketika itu cukup bingit kerana guru yang sepatutnya mengajar matapelajaran Ekonomi, Cikgu Marsuki tidak hadir. Cuti kecemasan kerana kematian ahli keluarga terdekat.
Nadia Imran, gadis bertudung labuh itu kelihatan meletakan mukanya pada meja. Kedua-dua tangannya menjadi alas supaya mukanya tidak terus menjamah permukaan meja kayu itu. Esakan kecil kelihatan kerana badannya seolah-olah bergerak seiring dengan bunyi esakan, Dia menangis.
“Nadia, please kenapa dengan kau ni?” perlahan Zuera menyapa Nadia. Dia kasihan dengan apa yang sedang dihadapi oleh rakan baiknya itu.
“Kalau dah tak suka, tetap tak suka!” ujar Nadia.
“Aku benci, benci tahu tak?” Nadia Imran seakan-akan menjerit. Marahnya kepada Hilmi, masih belum reda. Dia hairan mengapa pemuda ‘nerd’ itu selalu menyakatnya.
“Apa sebab? Budak tu ganggu kau lagi ke?” Zuera ingin mendapatkan kepastian. Dia hanya meneka. Setahunya Hilmi, pelajar dari kelas sebelah yang bercermin mata bingkai besar dengan rambutnya dirapi dengan minyak, sentiasa menganggu Nadia Imran.
“Ah aaah.. benci aku,” esak tangis Nadia Imran seakan berlagu. Nasib baik kedudukan mejanya dalam kelas Enam Rendah Satu itu di tepi tingkap, tak ramai yang sedar esakannya. Kalau di bahagian tengah mungkin Nadia akan menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelasnya.
Bencinya meluap-luap. Seiring kebencian itu, Nadia sering terbayangkan watak George McFly yang dipegang oleh Crispin Glover dalam filem ‘Back to the future’. Watak seorang lelaki yang selalu dibuli dalam kelas dan tempat kerjanya.