"BOLEH tahan juga ni, bonda," beritahu Satria setelah melihat raut yang terpampang pada skrin telefon milik Datuk Afia.
"Yang mana satu?" aju Suria dengan penuh minat.
Lantas, Satria menunjukkan gerangan yang dimaksudkan.
"Aku setuju dengan kau. Yang ni macam perempuan Melayu terakhir." Suria memberi pendapat.
"Dalam ramai calon yang ada, abang rasa yang ni paling sesuai. Abang berkenan dengan yang ni. Ayu dan sopan santun," beritahu Satria.
"Calon mana yang kau suka tu, Satria?"
Ketiga-tiga beranak itu serentak menoleh ke arah yang sama. Tiba-tiba sahaja Amzar sudah muncul di ruang tamu.
"Bi... bila masa ayah usu muncul ni?"
Amzar tidak menghiraukan soalan tersebut. Dia mengambil telefon pintar milik Datuk Afia yang berada di tangan Satria.
"Boleh tahan. Kau berkenan dengan yang ni ke?"
Satria meneguk air liur. Dia dapat mengagak bagaimana reaksi Amzar jika mengetahui niat sebenar Datuk Afia.
"Calon untuk apa? Takkan bonda kau nak jodohkan kau lagi?" Amzar terus mengajukan pertanyaan.
"Isy... ayah usu ni. Ke situ pulak perginya."
"Habis tu, calon ni untuk siapa?" soal Amzar.
Keadaan di ruang tamu menjadi senyap. Hanya suara pengacara melalui televisyen sahaja yang kedengaran. Datuk Afia mengambil alat kawalan jauh, lalu menggelapkan skrin.
"Agensi jodoh Datuk Afia mula beroperasi lagi ke?" petik Amzar.
Dia dapat meramal apa yang sedang bermain dalam fikiran kakaknya.
"Usu, aku tak suruh kahwin terus. Tapi..."
"Kau nak aku kawan dulu dengan calon-calon kau tu, kan?"
Amzar segera menyambung bicara Datuk Afia. Sebelum ini, dia pernah mendengar ayat yang sama.
"Tak salah kalau kau cuba, usu," pujuk Datuk Afia.
"Bukan aku tak nak, kak. Fokus aku..."
"Pada kerja dan Galeri Persada." Kali ini giliran Datuk Afia pula yang menyudahkan kata-kata adiknya.
Amzar menghela nafas berat, lalu membisu. Sejak akhir-akhir ini, makin kerap Datuk Afia menerbitkan soal jodoh terhadap dirinya.
"Usu..." Suara Datuk Afia perlahan dan mendatar.
"Aku tak nak kau terus hidup sendiri macam ni. Dah sampai masa untuk kau fikir pasal diri kau."
"Kak, aku langsung tak rasa sunyi. Aku ada kau, ada Satria, ada Suria. Mungkin tak lama lagi rezeki Satria dengan Riz dapat anak pula. Makin meriah keluarga kita ni."
"Usu, memang ini keluarga kau. Tapi, kau tahu apa maksud aku, kan? Ini merupakan salah satu permintaan aku sebelum aku tutup mata."
Hati Amzar disuntik rasa bersalah. Tidak pernah-pernah Datuk Afia berkata seperti itu.
"Aku dah tua, usu," ucap wanita itu lagi.
"Janganlah cakap macam tu, kak."
Jiwa lelaki itu kian tersepit. Pandangannya dihalakan ke skrin telefon. Wajah seorang gadis yang sedang tersenyum ditatap kosong.
"Usu, aku tak nak paksa kau, tapi aku nak kau cuba. Dah banyak masa dan tenaga yang kau korbankan untuk tolong aku bangunkan Galeri Persada. Dah sampai masa untuk kau bina kebahagiaan kau sendiri."