Ke hadapan Azazil,
Buat pertama kali, aku nukilkan surat ini untuk kau, pendosa pertama di dalam sejarah. Mungkin setelah diamati surat ini, kau akan fahami mengapa aku memilih kau sebagai rakan penaku. Hanya seorang pendosa akan memahami seorang pendosa. Aku tidak mengharapkan untuk kau membalas suratku Azazil, tidak sama sekali. Mustahil untuk perkara itu berlaku.
Surat ini aku tulis dan akanku simpan kejap di dalam celah buku yang akan aku buang ke dalam laut. Biar ia hilang, tiada yang membaca. Kalau pun ada yang terjumpa, semuanya sudah terlambat. Dosa sudah terlansung dan nyawa sudah melayang. Tinggal sekeping surat yang tidak berguna dengan cerita aku di dalamnya. Kalau pun kau sedang membaca surat ini Azazil, mungkin boleh kau sampaikan kepada Tuhan yang aku sudah penat?
Barangkali, kau sedang berehat di sebuah café dan menghirup secawan kopi panas sewaktu kau membaca surat ini. Sekali-sekala, Azazil pun mahu menikmati aroma kopi dan bertenang, tidak begitu? Tambah pula sekarang hujan tidak henti-henti mencurah, wah, pasti enak sekali secawan kopi panas dan sepotong kek coklat.
Atau mungkin, kau sedang hairan, kerana biasanya surat ditujukan kepada Tuhan. Bukan kepada kau. Atau pun, barangkali, kau sedang berada di sebelah aku di dalam bilik ini, membisikkan kata-kata halus, menghasut aku lebih dekat dengan kejahatan yang bakal aku lakukan.
Ah, sungguh tidak sopan sekali. Lupa pula untuk aku mengenalkan diri kepada kau. Aku, Abdul Malik. Ya, ya nama sama dengan malaikat yang menjaga pintu neraka. Juga bermaksud Hamba kepada Yang Memiliki. Maka tidak hairanlah, aku memang benar hidup sebagai hamba kepada seluruh takdir yang telah ditentukan ke atas aku oleh Tuhan.
Apa mungkin aku terlalu kasar dengan kata-kata aku sekarang? Tapi bukankah setiap dari kita telah menjadi hamba kepada sesuatu atau seseorang? Aku lebih rela menjadi hamba kepada Tuhan yang menjadikan segalanya. Sebagai bukti, aku adalah anak kepada seorang lelaki yang sedang menghidap kanser otak tahap 4.
Cerita cliché yang selalu kau dengar bukan?
Anak yang terpaksa menjaga ibubapa sakit. Lantaklah. Bukan ada sesiapa yang akan membaca pun. Jadi biar aku ceritakan sesuka hati. Memandangkan Abah sudah tidak dapat bekerja, Ibu yang mengambil tanggungjawab untuk mencari duit untuk keluarga kami sebagai seorang kerani sekolah. Aku pula masih belajar, cuma sekarang sedang menangguhkan semester untuk menjaga Abah. Kadang bosan juga kerana kebanyakan masa Abah tidur sahaja dan aku mati kutu tak tahu nak buat apa.
Mari bercakap tentang kau pula. Kau pasti kenal Qabil, bukan? Manusia pertama yang dapat kau hasut untuk membunuh saudaranya sendiri. Aku teringin sekali ingin mengetahui apa yang kau rasakan pada ketika itu. Terkejutkah, kerana kau tidak menyangka Qabil akan benar-benar membunuh Habil? Buat pertama kalinya dalam sejarah alam semesta, satu makhluk yang dikurniakan akal melanggar hukum alam. Kalau aku, pasti sudah terkejut.
Atau kau gembirakah, kerana kau sememangnya makhluk yang mempunyai hati yang keji? Kalau tak, sudah tentu kau tak akan menghasut Adam dan Hawa untuk melanggar peraturan Tuhan. Tetapi aneh pula. Suatu ketika dulu, kau merupakan ketua kepada semua malaikat. Kau merupakan makhluk yang paling banyak menyembah Tuhan. Tidak tersisakah sedikit kemuliaan pun pada diri kau sehinggakan kau gembira melihat orang mati?
Tapi siapa aku untuk bercakap tentang kemuliaan.
Ini adalah tujuan asal aku menulis surat ini kepada kau, Azazil. Untuk memberitahu sesuatu yang amat berat bagi aku. Yang kalau boleh, aku ingin elakkan. Batas pemikiran rasional sudah hancur dan aku sudah mula hilang kewarasan. Yang pastinya satu berita gembira dan membuat kau ketawa terkekeh-kekeh di dalam singgahsana kau di tempat yang paling hina. Seorang lagi umat manusia bakal tinggal bersamamu di dalam neraka.
Aku akan mengulang kembali apa yang Qabil lakukan.
Aku akan membunuh saudara sendiri.
Aku akan membunuh Abah.
Sekian,
Malik.
YOU ARE READING
Surat Untuk Azazil
Fantasy(Tarikh Mula: Dis/18. Bakal Terbit 2021) Malik merupakan seorang pelajar yang telah menangguhkan pelajaran untuk menjaga ayahnya yang terlantar sakit kanser. Setelah berbulan menjaga ayah dan tidak mempunyai teman untuk bercerita, Malik telah mula m...