HUJUNG

29 0 1
                                    



 Petang yang sunyi itu dilitup rapi dengan awan gelap gelita. Boleh dikatakan mereka merapati satu sama lain, mengekspresikan satu perasaan yang sama diantara mereka; gelisah. Mereka takut dengan apa yang bakal jadi. Lupa untuk toleh kebelakang, membersihkan kekhilafan lama.

"Berapa lama kita kena tunggu?" soal seorang budak lelaki kepada seorang hamba tuhan yang lelaki-keperempuanan yang berupa perempuan tetapi zakarnya masih ada cuma disorokkan. "kenapa kita mesti takut dengan awan gelap? Adakah ia akan datang menelan segala (hamba) yang berdosa?"

Lelaki-keperempuanan itu hanya mengangguk perlahan; ketakutan. Budak lelaki itu tidak tahu tentang diri lelaki-keperempuanan itu; dosanya terlalu banyak jika dihukum oleh manusia yang berlagak tuhan. Untuk manusia konon berfikiran terbuka, mereka akan fikir menukar penampilan ini hanya perkara biasa jika diletakkan dalam abad mereka padahal mereka yang berfikir begitu lebih kolot kerana mereka menerima apa yang jagatraya terima kerana takut dikecam oleh manusia lain yang 'berfikiran terbuka'.


Sementara itu di sudut lain, sepasangan zina sedang duduk rapat pada dinding sambil mengucapkan kalimah cinta pada satu sama lain dengan durja sedih yang melakar atas kepala mereka. Janji-janji manis tak lekang, ayat-ayat rindu (yang selalunya diutarakan oleh pasangan bercinta) sebelum mati tak habis-habis.


"Juli, aku mahu kau sandarkan dirimu padaku buat kali terakhir sebelum kita dipisah roh dan jasad. Kau nyawaku, Juli..." kata seorang pria kepada pasangannya.


Tanah masih bergegar. Digoncang dek apa yang disimpan dibawah tanah. Tangan-tangan yang tadi memaut erat pada tangan pasangan kekasih yang tak dikenali, kini dilepaskan. Besi-besi yang belum tentu kukuh pula dipaut. Budak lelaki itu bertambah pelik apabila manusia yang dia saksikan bukan main mempercayakan pasangan mereka itu, kini lebih berharap pada besi yang tidak kekal sepertimana kekalnya tuhan.


Lelaki-keperempuanan tutup mata, memeluk tubuh dalam ketakutan. Fikirannya kini melayang membayangkan apa yang telah dilakukan. Segala silap yang pernah dihutang sembahyang kepada tuhannya kini dipaparkan semula pada wayang mindanya. Tangisnya turun kini. Mata dibuka perlahan. Memandang wajah budak lelaki yang masih keliru itu.


"Adik, mari sini..." katanya sambil menanggalkan rambut palsu serta mengalihkan beberapa kepingan silikon dalam baju dalam wanita yang dipakainya dikeluarkan. Air jernih yang terapung debu halus didalam baldi disebelahnya digunakan untuk menyapu segala kimia pada mukanya. Dia mula teresak menangis.


"Ke-kenapa ?" soal budak lelaki tadi. Dia terkejut melihat perubahan lelaki keperempuanan tadi kini hanya menjadi lelaki didalam pakaian perempuan. Soalan seterusnya yang diberi agak mengejutkan semua antara mereka didalam ruang itu.


"Adik boleh azan?"


Bawah tanah terdengar satu pekikan kuat meluru ke arah mereka.

Cerpen (?)Where stories live. Discover now