Tempestuous
Chapter 3
_______________Kedai serbaneka, di situlah tempat Jungkook sedang berada. Dihadapannya pula terdapat satu cup mee segera yang masih berasap, didampingi pula sebotol soda yang masih sejuk di sisi. Hidangan yang ringkas yang memang cukup sesuai untuk dipadukan dengan cuaca yang agak sejuk di malam hari.
Jungkook sekali sekala memerhati sekeliling yang menghadap kearah tasik sambil menikmati mee segera itu di atas kerusi meja yang telah disediakan di bahagian luar kedai serbaneka, yang hampir sama dilakukan oleh kedai serbaneka di Seoul yang lain.
Tidak ramai yang keluar di waktu malam di bandar ini. Bilangannya bahkan boleh dikira menggunakan jari. Seperti yang pernah diulang oleh Jungkook, keadaan yang seratus peratus berbeza dengan Seoul yang sentiasa sesak dengan orang ramai tidak kira siang atau malam. Bak kata orang, bandar yang tidak pernah tidur.
Dia kemudiannya memutarkan garfu kecil sehingga mee melekat pada garfu tersebut sebelum memasukkannya ke dalam mulut. Panas dan pedas, sesuai dengan selera Jungkook yang penggemar pedas dan juga daging.
Bercakap tentang daging, dia sudah menghabiskan masakan Makcik Kim sebelum ke sini. Jangan risau, perut Jungkook masih mampu untuk menampung mee segera dan juga segelas soda dalam perutnya. Dia memang seorang pencinta makanan.
Pada awalnya, Jungkook memang sudah memasang niat untuk menikmati makan malamnya di kedai berdekatan dengan menaiki keretapi tanpa menyentuh langsung masakan Makcik Kim. Salahkanlah bulgogi itu yang telah menggodanya sehingga tewas.
Lagipun masakan wanita itu memang tidak boleh dipandang sebelah mata, ternyata masakannya sangat sedap. Walaupun masih lagi tidak dapat menandingi kesedapan masakan ibunya, Puan Jeon.
Mengenai biliknya pula, dia sempat mengunci biliknya terlebih dahulu sebelum Makcik Kim memasukinya dan melaporkan hal itu kepada ibunya. Mengunci bilik adalah jalan mudah untuk melindungi kesalahannya daripada orang ramai. Tambahan pula, dia malas untuk mengemas kembali apa yang telah dia lakukan yang boleh membuang banyak masa.
“Ya! Kau mencuri lagi? Kau tak serik ke hah kena pukul? Luka dekat belakang kau pun belum sembuh lagi! Kau ni memang degil! Keras kepala!”
Suara lantang seorang lelaki itu mengejutkan Jungkook yang sedang sedap menikmati mee segera. Dia lantas menghabiskan hirupan kuah yang terakhir dengan cepat sebelum meliar mencari arah suara itu. Dia berasa curiga walaupun dia tahu kata kata itu bukan diutarakan kepadanya.
Apa yang membuatkan dia curiga adalah, dia seakan akan kenal dengan suara serak itu. Kim Taehyung, suara lelaki itu seperti Taehyung yang juga merupakan rakan semejanya yang sengaja cikgu aturkan untuk memudahkan Jungkook untuk berurusan.
Jungkook dengan perlahan lahan bergerak ke arah belakang kedai itu, di tempat suara tadi kedengaran. Dia langsung tidak berniat untuk mencuri dengar, perasaan ingin tahunya meronta ronta untuk melihat dan memastikan apa suara tadi berpunca daripada Taehyung atau tidak.
Itu sahaja.
Menjaga tepi kain orang bukanlah peribadi Jungkook. Dia hanya peduli dengan kehidupannya sahaja, tapi bukan bermakna dia seorang yang pentingkan diri sendiri. Perangainya memang jauh berbeza dengan orang lain yang sibuk menjaga tepi kain orang sampaikan tidak sedar kain mereka sendiri sudah terkoyak rabak!
Jungkook mengendap sedikit di balik dinding yang memisahkan belakang kedai dengan bahagian tepi kedai. Dari jauh, dia sudah dapat melihat dua orang lelaki perempuan sedang berdebat mulut. Wajah mereka sedikit terlindung dek semak samun yang meninggi menyebabkan penglihatan Jungkook agak terbatas.
YOU ARE READING
TEMPESTUOUS
Fanfictionplease stop this suffering , i can't face it anymore start ; 8 Feb 2020 end ;