"KENAPA you pandang I macam tu?" Gadis tinggi lampai yang duduk di hadapannya menghentak soal. Rasa tidak selesa tatkala dirinya direnung sebegitu rupa.
Dia senyum. Mata kiri dikenyit sekali, menggoda.
Kalau diikutkan jiwa muda yang panas membara, bernafas pula di kota Metropolitan yang menghalalkan segala, mahu sahaja dia angkut perempuan di hadapannya itu ke mana-mana hotel yang berselerakan merata. Hotel yang boleh disewa mengikut kadar hari ataupun kiraan jam, terpulanglah kepada pilihan si penyewa. Kata orang, tepuk dada tanya selera.
Kalau dipelawa, mahukah perempuan di hadapannya mengikut? Kalau perempuan itu mahu mengikut, dia dengan senang hati sanggup angkut. Tetapi sudah tentulah dia tidak berani membuka mulut untuk bertanyakan soalan begitu kepada Nurlisa.
Bukan dia tidak tahu pendirian Nurlisa. Walaupun perempuan yang sudah menjadi tunangannya selama 5 bulan itu bernafas di kota tetapi pada sesetengah perkara Nurlisa masih agak kolot. Mungkin didikan keluarganya yang menjadikan Nurlisa begitu. Mungkin!
Argh! Tinggal 2 minggu sahaja lagi dan Lisa akan jadi isteriku. Kalau aku sanggup bertahan sebegini lama takkanlah aku terlalu bodoh untuk merosakkan segala apa yang dirancang. Dia berusaha menyabarkan nafsunya yang sedang bergelora.
Direnungnya lagi wajah ayu Nurlisa.
"Tengok tu! Asyik pandang aje, soalan kita tak dijawabnya!" Nurlisa menarik muka masam.
Kalau dah semulajadi cantik, tariklah muka masam macam manapun tetap akan kelihatan cantik!
"Kenapa? Salah ke kalau I pandang perempuan yang bakal jadi permaisuri hidup I?"
Melambak ketawa perempuan yang duduk di hadapannya.
"Kenapa you gelak? Salah ke apa yang I cakap?"
Spontan Nurlisa melekapkan jari-jemari ke mulut, menutup kedua ulas bibir ranumnya. Mata dihalakan ke wajah tunang di hadapannya.
"Sekarang I dah berhenti gelak," kata Nurlisa sambil tersenyum mengulum.
Raykal Redza menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Agak-agaklah kalau nak pandang tu. Kalau iya pun, janganlah tenung macam nak terkam. Tak tentu arah I nak kunyah laksa ni." Gerutu Nurlisa dengan riak wajah yang sengaja diseriuskan.
"I baru tenung aje you dah gelabah semacam. You kena ingat tau, 2 minggu lagi I bukan setakat tenung-tenung aje tau. I akan buat lebih daripada tu. Ingat tau!" Raykal Redza sengaja mengecilkan matanya ke arah Nurlisa. Mulutnya pula tersengih-sengih nakal.
"Hisy, you ni!" Nurlisa mengherotkan bibirnya. Walaupun dia tertunggu-tunggu saat dirinya diijabkabulkan dengan tunang tersayang tetapi nun jauh di lubuk hatinya debaran bergelar seorang isteri yang harus menempuh malam pertama tetap menghantui sekujur tubuh.
"Sekarang you makanlah dengan aman. I nak jawab panggilan ni kejap." Raykal Redza mencapai telefon bimbitnya yang tergeletak di atas meja makan sambil melangkah keluar dari restoran itu untuk menjawab panggilan yang masuk.
Beberapa ketika kemudian, dia masuk semula ke ruang restoran lalu duduk di hadapan Nurlisa yang ketika itu baharu sahaja menghabiskan laksanya.
"Siapa yang telefon?" soal Nurlisa.
"Eddy." Satu nama muncul dari bibir Raykal Redza.
"Dah malam macam nipun Eddy sibuk-sibuk telefon you? Apa yang dia nak? Tak boleh tunggu esok ke?" Lontaran tidak puas hati terkeluar dari mulut Nurlisa.
Raykal Redza menalakan pandangan ke arah tunangnya.
"You ni... dengan Eddy pun you nak jealous. Lainlah kalau yang call I tadi tu, Edrina." Getusnya sambil ketawa kecil. Sengaja mahu mengusik tunang tersayang.
YOU ARE READING
KECUBUNG
Mystery / ThrillerMANUSIA DAN DOSA TIDAK DAPAT DIPISAHKAN. PERSOALANNYA, APAKAH PENDOSA MEMPUNYAI PELUANG KEDUA? HAYATILAH JALAN CERITA YANG PENUH KONFLIK DAN SASPENS SERTA MENYENTUH JIWA DI DALAM NOVEL 'KECUBUNG'. "DIA UMPAMA BUNGA BERACUN"