KOT hitamnya disidai di dada sofa empuk berkembar tiga yang menjadi tempatnya melabuhkan punggung. Matanya bergelintar memerhatikan segenap ruang kerjanya.
Fikirannya jauh melayang mengimbau kembali kejadian yang berlaku di kafe semalam. Kalau ikutkan hatinya yang tengah panas, dah lama dia balas balik perbuatan tidak bijak Syakilla.
Mujurlah dia masih dapat membezakan mana lelaki dan mana wanita tapi, kalau diberikan peluang, memang dia akan balas dendam kepada Syakilla. Gadis kampung itu telah memalukannya di hadapan orang.
Sedang leka akal mencerna idea-idea kejam untuk membalas perbuatan Syakilla semalam, pintu biliknya diketuk oleh seseorang.
"Masuk!" tegas arahan yang diberikan. Pandangannya disorotkan ke bidai tingkap berwarna emas.
"Maaflah ganggu. Saya cuma nak ingatkan Encik Hazril yang pukul dua petang nanti Encik Hazril ada meeting dengan Dato' Jamal untuk proceed produk terbaharu kita," ujar Mateen, selaku pembantu peribadi kepada Hazril Irfan. Di tangannya terdapat sebuah buku panel yang mencatat jadual majikannya.
"Bukan urusan meeting dengan Dato' Jamal tu sepatutnya papa aku ke yang uruskan? Aku belum diangkat jadi CEO lagi. Kenapa aku kena uruskan?" soal Hazril Irfan, tak puas hati.
Acap kali dia bilang dengan Dato' Imran, dia tak suka bertemu pandang dengan Dato' Jamal dari Pentakin Holdings tu tapi, papanya buat tak tahu saja.
"Saya tak tahulah, Encik Hazril. Saya ni cuma kuli aje kat sini. Apa yang ayah encik cakap, itulah yang saya sampaikan," balas Mateen dengan lagak sopannya.
"Haish! Kau pun satu... Cetek akal betullah. Lain kali bagilah alasan apa-apa pun," gerutu Hazril Irfan.
"Saya minta diri dululah kalau tak ada apa-apa lagi," pamit Mateen. Pintu bilik majikannya ditutup rapat. Dia tak salah pun. Dia cuma menjalankan tugasnya sebagai pembantu peribadi.
"Geram betullah aku dengan Si Mateen ni. Dia PA aku atau PA papa? Banyak makan dedak agaknya," gerutu Hazril Irfan. Diangkat punggungnya dari sofa.
SYAKILLA melangkah masuk ke dalam bangunan mewah enam tingkat itu. Di tangannya terdapat sejambak bunga matahari dan satu bar coklat Diary Milk.
Tanpa bantuan daripada Reza, dia takkan tahu mana letak duduknya lokasi D'Popcornz Mega Berhad. Kehadirannya ke sini pun untuk memohon maaf di atas keterlanjurannya semalam. Tidak sepatutnya dia simbah Hazril Irfan kerana tindakannya itu akan menyebabkan Hazril Irfan semakin membencinya.
Butang lif ditekan. Tubuh seksinya diboloskan ke dalam perut lif. Diperhatikan penampilannya melalui dinding lutsinar lif tersebut. Dress ketat paras atas lutut dan rambutnya yang disisir rapi. Pasti Hazril Irfan tergoda. Lelaki normal mana aje yang tak tergoda dengan wanita seksi? Melainkan jejaka idamannya tu bengkok.
Setibanya di tingkat paling atas, Syakilla mencari meja pembantu peribadi kepada Hazril Irfan. Reza bilang, nama lelaki tu Mateen.
"I nak jumpa dengan Hazril," beritahu Syakilla setibanya dia di meja Mateen. Lelaki itu leka menaip sesuatu di skrin komputer.
Mateen mengangkat mukanya. Berkerut dahinya memandang gadis seksi yang sedang berdiri tegak di tepi mejanya. Boleh tahan cantik dan mengancam!
Tapi, setahunya gadis ini kekasih Reza, pegawai kewangan di D'Popcornz Mega Berhad. Jadi, atas urusan apa gadis ini nak bertemu dengan majikannya?
"Eh, cik ni teman wanita Encik Reza, kan?" soal Mateen. Dia tahu pun sebab Reza kerap memuat naik gambar gadis ini di dalam akaun Instagramnya.
Syakilla menjulingkan matanya ke atas. Lain yang dibilang, lain pula lelaki itu jawab. "I nak jumpa dengan majikan you. Dia ada ke tak?"

ANDA SEDANG MEMBACA
KERANAKU CINTA KAU [TERBIT]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...