BAB 1

26 2 0
                                    

SEMUSIM CINTA DI HALLSTATT (BAHAGIAN 1)
Oleh : Dalila Zamri

Siapa yang tidak mahu hidup dikelilingi perkampungan yang aman damai? Bukan itu sahaja, dihiasi pula Tasik Hallstatter See yang jernih dan luas. Tempat si angsa putih berenang manja. Diapit pula Banjaran Alps yang indah sebagai latarbelakang, terletak di daerah Salzkammergut.

Sesiapa yang menyaksikan perkampungan ini pasti terbuai-buai dengan pesona kecantikannya.

Namun, Elena terpaksa hidup sebagai pelarian. Ketenangannya bagai sudah digenggam erat tatkala dirinya rasmi menjadi anak seorang menteri.
Ah, sudah dikhabarkan kepada ayah, cita-citanya untuk terjun ke dalam dunia politik bakal menjebakkan dia dalam mara bahaya.
Tetapi ayah degil!
Mahu memastikan nasib rakyat terbela katanya.
Habis itu nasib anak sendiri bagaimana?

Percutian ke London yang asalnya hendak berseronok dengan kawan-kawan satu kuliah bertukar menjadi mimpi ngeri.
Di lorong sunyi penuh dengan cobblestone itulah dia melihat Edy dan Kurt mati tertembak dengan kejam!
Dini menjerit-jerit ketakutan.
Maya tiada bersamanya. Dia ke tandas disebabkan tidak tahan hendak terkucil.

Saat Elena hendak melindungi Dini daripada ditembak secara rambang, waktu itulah dia terasa tubuhnya ringan melayang.
"Lari!!!!" Nyaring suara itu membelah kesunyian lorong yang gelap.

Elena tiada pilihan lain. Puas dia meronta-ronta namun tubuh tegap itu tetap meneruskan larian.

Tidak lama kemudian, sedar-sedar tubuhnya sudah disumbat ke dalam jet khas. Penerbangan dari London ke Salzburg sangat menyeksakan.
Elena puas bergelut hendak melepaskan diri namun perbuatannya sia-sia apabila dia disuntik oleh cecair yang membuatkan pandangannya berbalam-balam lalu terlena sendiri.

Apabila dia terjaga kembali, dia sudah elok terbaring di atas sebuah katil queen size.

Puas dia menilik kawasan sekitar bilik.
Ini bukan Malaysia!
Kenapa tidak terus pulang ke Malaysia!
Dia membentak-bentak.
Rebecca cuba menenangkan namun James menghalang.
Kata James, tempat yang didiami sekarang ini adalah safehouse. Jauh dari penjenayah di luar sana yang sedang mencari jejak Elena.

Bagaimana James dan Rebecca tahu dia akan diserang? Mereka memang sentiasa mengikuti langkah diakah selama ini?
Persoalan itu langsung tidak terluah. Elena resah bermain rasa.

Sejenak kemudian, dia mencari-cari telefon bimbitnya. Hendak menghubungi Maya ataupun Dini.

"Telefon Cik Elena saya dah buang di London," selamba betul wajah James semasa menuturkan kata-kata itu.

Elena menjeling tidak puas hati.
Dia mengunjukkan tapak tangan kanan di hadapan James. Rebecca sudah tidak kuasa hendak melayan, dia keluar menuju ke ruang tamu. Meninggalkan James menyelesaikan masalahnya dengan Elena.

"Nak apa?" Soal James senada.
"Telefon awak," sahut Elena dengan muka penuh lagak.
"Saya tak pakai telefon."
"Tipu."
Elena cuba membuat helah. Dia perlu mengambil telefon bimbit pada poket seluar sebelah kanan James.

"Ya?" Dia mengangkat tangan kanan menoleh ke arah pintu membuatkan James jadi tertoleh sama.
Kesempatan itu diambil oleh Elena untuk menyeluk poket seluar James.
Lengan kiri Elena sempat dipegang James namun Elena bijak mengatur lengan kanannya yang tidak dikuasai.
Dia berguling lebih jauh sambil gelak mengejek.
Telefon bimbit James berada di dalam tangannya.
James mara ke depan.
Elena memasukkan telefon bimbit itu ke dalam poket seluarnya.
Takkanlah James berani hendak menyeluk.

Elena mengundur ke belakang.
James semakin merapat.

Elena tidak ada pilihan selain daripada merendahkan diri lalu melarikan diri namun gagal akibat jatuh disengkang kaki James yang panjang.

"Aduh!" Elena mengaduh kesakitan jatuh tersembam.
James membawa kedua-dua belah tangan Elena ke belakang. Dikunci erat oleh tangan kanannya yang kuat sebelum menyeluk poket seluar Elena.

Rebecca terus menjengulkan diri pada muka pintu bilik. Dia menggenggam pistol bersedia hendak menembak sesiapa yang cuba menceroboh.

Apabila dia melihat Elena rebah di lantai, dia menyisip kembali pistol ke pinggang.
Kerisauan yang menjalar hilang dibawa angin.
James menghantar signal tiada apa-apa.

Telefon bimbit kembali ke tangan tuan.
Elena mendengus tidak puas hati!

"Please don't get us into trouble Cik Elena. Tak ada telefon maknanya tak boleh berhubung. Jangan degil," James berbisik perlahan. Tepat masuk ke gegendang telinga Elena.

Kali ini dia menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kot.
Selepas itu tubuh Elena didukung secara paksa.
Walaupun terpaksa menahan kesakitan ditumbuk bertalu-talu pada belakang tubuh, James kuatkan hati.

Meski pedih, dia bertahan demi tugas yang diamanahkan.
Nyawa Elena adalah keutamaan.

Bersambung...

#CerpenDalilaZamri

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 12, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SEMUSIM CINTA DI HALLSTATTWhere stories live. Discover now