Bab 19

22.3K 545 70
                                    

MEMBULAT mata Yusman setelah membaca artikel online yang telah dikongsi oleh pelbagai akaun di dalam Instagram. Lebih mengejutkan lagi, artikel itu tentang adiknya sendiri.

Yusman jadi hilang punca setelah membaca artikel itu. Gambar intim Syakilla bersama anak kepada pemilik D'Popcornz dah tersebar luas. Terdengkut-dengkut kakinya melangkah ke dapur. 

"Mak... Abah... Tengok ni." Telefonnya diberikan kepada Pak Hassan.

"Kenapa, Man?" soal Mak Timah. Pelik dia melihat anak lelakinya kalut semacam.

"Gambar tak senonoh Syakilla dengan anak kepada pemilik D'Popcornz tersebar, mak. Man tak tahulah di KL sana dia betul-betul jadi tea lady ataupun perempuan simpanan kepada anak orang kaya tu," ujar Yusman. Dilabuhkan punggungnya di sebelah Pak Hassan.

Pak Hassan menyandarkan badannya di dada kerusi. Luluh hatinya setelah membaca artikel tersebut. Anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh, berani menconteng arang di mukanya sekeluarga.

Diizinkan Syakilla merantau ke Kuala Lumpur kerana Syakilla beria-ia nak mencari kerja di sana tapi sekarang lain pula yang jadi.

Mak Timah terduduk lemah di depan suaminya. Tidak dapat ditahan lagi, air matanya terhambur keluar. Anak daranya buat hal di tempat orang. Anak daranya telah memalukan nama baiknya sekeluarga.

"Ya Allah! Sampai hati dia buat kita macam ni. Kenapa dia bersekedudukan dengan lelaki begini? Tak cukupkah ilmu agama yang mak dan abah beri kat dia?"

Mak Timah menutup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Semakin hiba tangisannya. Selepas ini, apa tanggapan orang kampung kepada keluarganya?

"Abang manjakan dia sangat. Dia bilang dia pergi ke Kuala Lumpur nak cari kerja, nak ubah nasib keluarga. Tak sangka dia buat macam ni." Pak Hassan merintih. Hatinya terlalu sakit mengenangkan perangai tidak elok anak perempuannya di bandar besar sana.

Yusman mengusap lembut belakang tubuh ibu dan bapanya. Satu keluhan berat dilepaskan. Dia yakin, adiknya tak akan bertindak sejauh itu. Mungkin, Syakilla diperangkap? Yalah, orang kaya sanggup buat apa sahaja demi mendapatkan apa yang mereka inginkan.

"Mak dengan abah nak Man telefonkan adik tak? Kita tanya dia? Zaman sekarang kuasa viral pun tak boleh percaya sangat," ujar Yusman.

"Apa yang tak percayanya, Man? Dalam gambar tu memang Syakilla, adik kamu. Man tahu tak lelaki tu siapa?"

"Ya, Man kenal dia. Lelaki tu anak kepada pemilik D'Popcornz. Tapi bukan ke sebelum ni adik ada cakap yang dia kerja sebagai tea lady kat syarikat tu? Manalah tahu lelaki tu sengaja nak buat bukan-bukan kat adik?" Duga Yusman.

"Mak dan abah pun tahu yang Syakilla tu nampak saja berani tapi naif orangnya. Dia mana tahu apa-apa," sambungnya lagi.

Pak Hassan lekas berdiri. Wajah diraup berkali-kali. Bagaimana dia hendak berdepan dengan orang-orang di masjid selepas ini? Mana dia hendak letak air mukanya? Malu, dia sungguh berasa malu!

"Telefonlah dia. Mak nak tanya dia sendiri," arah Mak Timah. Air matanya diseka. 

Yusman mengangguk. Terus didail nombor Syakilla. Telefonnya dilekapkan ke telinga. Tidak lama kemudian panggilannya diangkat.

"Hello, abang?" Syakilla menyapa di corong telefon. Lunak suaranya kedengaran.

Yusman terus menghulurkan telefonnya kepada Mak Timah. Telapak tangannya naik mengusap belakang badan Pak Hassan. Risau pula kalau bapanya terkena serangan jantung mengejut nanti.

Huluran Yusman disambut. Terus disergah anak daranya. "Killa, apa yang kau dah buat ni, nak?"

Syakilla tergamam. Ligat otaknya mencari idea. Dihamburkan air mata palsunya. Hingus disedut-sedut supaya lakonannya nampak lebih real.

KERANAKU CINTA KAU [C]Where stories live. Discover now