Bab 38

29.4K 649 33
                                        

HAZRIL IRFAN memimpin tangan Syakilla setibanya mereka di KLIA. Jasad Dato' Imran dicari. Sebaik saja matanya terpandang akan satu sosok tubuh lelaki tua yang lengkap bersut hitam, terus ditarik tangan Syakilla.

Dato' Imran mengukirkan senyuman sebaik sahaja anak dan menantunya berdiri di depan matanya. Dihulurkan tangannya kepada Hazril Irfan dan Syakilla.

"Macam mana honeymoon kat sana? Seronok?" soal Dato' Imran. Harapnya idea Datin Bahiyyah berjayalah.

"Seronok. Tak lama lagi mengandunglah menantu kesayangan papa ni." Hazril Irfan mencuit pinggang Syakilla.

Syakilla malu-malu kucing. Sejak peristiwa di mana suaminya ingin membalas cintanya itu, dia mula berasa kekok. Tambahan lagi, Hazril Irfan menukar panggilan mereka berdua kepada panggilan yang lebih sopan.

"Alolo, malu-malu pulak kesayangan abang ni." Hazril Irfan mencuit hidung isterinya.

"Merah muka menantu papa." Dato' Imran turut mengusik.

"Err, papa sihat? Mama mana?" Syakilla membuka suara. Malu apabila diusik begitu.

Cinta yang tersemai lama telah dibalas oleh lelaki yang amat dicintai. Siapa tidak suka? Tapi, itulah. Kekok pula dia rasa. Sikap Hazril Irfan jauh berbeza dengan sikap yang sebelum ini. Cepat betul manusia berubah sama seperti suaminya itu.

"Mama macam biasalah. Shopping dengan kawan-kawan dia," jawab Dato' Imran, tak puas hati. Dia disuruh sambut anak menantu manakala isterinya sibuk berseronok di luar.

Syakilla membulatkan sedikit mulutnya. Perasaan malunya masih menebal. Ya Allah! Kekok sangat dia rasa sekarang ni.

"Kenapa lain macam kamu ni, Kella? Macam orang malu sangat," tegur Dato' Imran. Pelik.

"Mana tak malunya, pa. Dia tengah happy sebab Hazril dah balas cinta dia. Kan, sayang?" Selamba Hazril Irfan memecahkan tembelang isterinya itu.

Syakilla diam tidak berkutik. Tak guna punya suami. Gumam hatinya.

"Alhamdulillah. Nampak gayanya berjaya juga rancangan mama kamu suruh kamu berdua pergi berbulan madu. Yalah, dia selalu doa supaya cinta berputik di hati masing-masing. Papa tumpang bahagia."Dato' Imran tersenyum.

Kalaulah papa tahu hal yang sebenarnya. Getus hati kecil Hazril Irfan. Sebelah tangan naik melingkar di pinggang ramping isterinya.

"Muka merah-merah ni nak cendol, sayang?" Hazril Irfan mengucup pipi Syakilla.

"Abang..." Syakilla menggetap giginya.

"Haih! Sudah. Jangan diusik isteri kamu tu. Kesian dia. Sebelum balik ni, kita keluar makan dulu. Papa lapar."

Hazril Irfan mengangguk bersetuju. Rambut Syakilla sengaja diusik. Ingin buat isterinya geram.

ENCIK Fattah memandang Firdaus dengan pandangan yang sungguh menjengkelkan. Dia fikir banyak kali sama ada hendak terima lelaki itu kerja atau tak.

Keadaan fizikal Firdaus sungguh memalukan. Dia tidak mahu memilih pekerja yang berbadan gemuk kerana, baginya orang berbadan besar ini pemalas. Dia tidak sanggup dimarahi pihak atasan lagi.

"Bukan saya tak nak terima awak bekerja tapi keadaan fizikal awak ni buat saya tak yakin. Memang D'Popcornz kekurangan cleaner tapi kalau boleh biarlah badan tu kurus," ujar Encik Fattah sambil bersandar di kerusi.

Firdaus tercengang. "Maaf, saya bukan nak biadab. Tapi, boleh encik cermin diri encik? Saiz badan encik sama dengan saya."

Membulat mata Encik Fattah. Firdaus sungguh biadab tapi, bila difikirkan semula yang Firdaus ni kawan baik kepada anak saudaranya, iaitu Hazim, terpaksalah dia terima.

"Baiklah. Saya boleh terima awak bekerja. Kalau ikutkan hati, saya tak nak terima awak pun. Nasib baik Hazim tu anak saudara saya. Jangan awak pergi kecoh kat pihak atasan pulak saya terima awak sebab Hazim," ujar Encik Fattah.

"Baik, saya tak akan buka mulut. Saya cuma nak kerja. Orang gemuk macam saya pun layak kerja. Apa, encik ingat orang gemuk ni semua pemalas?" Firdaus mencerlung lelaki itu.

"Sudah! Esok mula kerja." Encik Fattah menempelak. Malas dia hendak dengar kata-kata Firdaus yang sungguh menyakitkan hati.

"Terima kasih." Firdaus lekas angkat kakinya. Pintu bilik Encik Fattah ditutup agak kasar.

"Macam mana?" soal Hazim.

"Dapat."

"Bila start?"

"Esok."

DATIN BAHIYYAH menghenyak punggung di sebelah menantunya. Perut Syakilla yang masih lagi kempis diusap-usap. Harapannya di dalam perut itu ada hasilnya nanti.

"Dalam perut ni dah ada isi belum?" soal Datin Bahiyyah. Tidak sabar.

"Ya Allah! Budak tu penat pun belum hilang. Awak balik-balik terus tanya pasal baby," omel Dato' Imran.

"Mestilah, bang. Saya tak suka anak menantu saya ni merancang. Tangan saya gatal nak main dengan pipi cucu," bidas Datin Bahiyyah.

"Hazril dengan Kella baru kahwin tak sampai sebulan. Mana datangnya baby? Bawa bersabar sikit, Yah. Awak dengan saya dulu pun setahun kahwin baru keluar si Hazril ni," ujar Dato' Imran lagi.

"Abang tak faham perasaan seorang nenek yang nak bermain dengan cucu." Datin Bahiyyah tarik muka.

Syakilla memandang wajah ibu dan ayah mentuanya silih berganti. Kemudian, dipandang pula muka suaminya yang seronok menonton televisyen.

"Haih! Sabar ajelah dapat ibu mentua macam mama kamu ni, Kella. Kalau boleh kahwin hari ni, esok cucu keluar." Dato' Imran menyindir.

Syakilla tergelak kecil. "Tak apalah, papa. Kella faham. Insya-Allah, esok lusa adalah ni isi."

Datin Bahiyyah menyorotkan pandangannya ke arah Hazril Irfan yang leka menonton televisyen. Dibaling bantal mini berbentuk hati ke muka anak lelakinya itu.

"Yang kamu ni daripada tadi tengok TV, kenapa? Bila nak bagi mama cucu!" pekiknya.

"Aduh, sakitlah. Sabarlah, mama. Kami tengah usaha keras. Mana boleh dapat terus. Kalau Kella pregnant pun, mama kena tunggu sembilan bulan juga. Kalau mama tak sabar, apa kata mama pergi kutip anak kucing kat tepi jalan? Jadikan cucu angkat," ujar Hazril Irfan bersahaja.

"Ada saja alasan kamu." Datin Bahiyyah mendengus marah.

"Jangan dilayan mama kamu tu, Hazril. Dia memang macam tu. Meroyan tak tentu pasal. Kamu tu bila nak start kerja?" Dato' Imran memandang anak lelakinya.

"Esok." Hazril Irfan membalas.

"Baguslah. Kella duduk rumah saja, kan? Jadi suri rumah?" soal Dato' Imran kepada menantunya pula.

"Eh, taklah. Kella still nak jadi tea lady kat syarikat papa. Kella nak berada kat sisi suami 24 jam," jawab Syakilla.

"Tapi kamu faham, kan pandangan sinis staff papa kat kamu selepas gambar intim kamu berdua tersebar?"

"Kella faham and Kella tak nak ambil kisah," jawab Syakilla dengan penuh yakin.

"Biarlah dia nak jadi tea lady lagi. Dah laki dia kat office. Ikut suka dialah." Datin Bahiyyah mencelah.

"Kenapa dengan mama ni, papa?" soal Hazril Irfan, kebingungan. Mamanya buat perangai mengalahkan isterinya pula.

"Tengah meroyan sebab tak dapat pergi jalan-jalan. Malas papa nak layan."

"Benci! Malam ni tidur luar!" Datin Bahiyyah membaling bantal ke paha suaminya. Dia terus meninggalkan tiga beranak itu di ruang tamu.

Tercengang Hazril Irfan melihat sikap mengada-ada ibunya itu. Sebiji macam perangai Syakilla. Baguslah, boleh jadi kawan!

KERANAKU CINTA KAU [TERBIT]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang