SYAKILLA membancuh kopi untuk suami tercinta. Dia bernyanyi-nyanyi kecil. Punggung turut bergelek perlahan. Dua sudu gula ditambah lagi ke dala cawan memandangkan Hazril Irfan suka kopi manis.
"Syakilla. Boleh duduk sekejap? Saya ada benda nak cakap."
Entah dari mana, tiba-tiba Firdaus muncul di sebelahnya.
"I tak ada masa nak berbual dengan you. Suami I dah tunggu dalam bilik. You bercakap dengan dindinglah." Syakilla tersenyum sinis.
"Jangan ingat saya tak tahu siapa suami awak tu, Killa. Seronok ke rampas bakal tunang sahabat baik sendiri?" sindir Firdaus.
Syakilla sudah panas. Disabarkan sahaja hatinya ingin simbah muka hodoh Firdaus dengan kopi panas yang dibancuh.
"Apa yang I buat sikit pun tak ada kena mengena dengan you. So, tak payah nak cakap macam tu kat I. Macamlah you tu baik sangat," ujar Syakilla bersahaja.
"Awak buat semua ni sebab awak nak balas dendam kat saya dengan Mariam? Jujur dengan saya. Awak masih berdendam sebab saya curang belakang awak, kan?" Suara Firdaus mengendur. Dia sudah menyesal.
"Buat apa I nak berdendam dengan you all berdua? I dah dapat apa yang I nak. I dah dapat miliki lelaki yang I gila-gilakan. He is my husband. Kami bahagia. Maybe, esok lusa I pregnant. You jangan buat lawak, boleh? You cermin sikit diri you tu," hambur Syakilla lagi.
"Awak gunakan orang yang tak bersalah untuk menjayakan niat jahat awak. Tak rasa bersalah ke?" Kening Firdaus terjongket tinggi.
Syakilla mencerlung Firdaus sebelum berlalu. Lebih baik dia melayan suaminya daripada melayan Firdaus. Tidak mendatangkan faedah langsung.
Firdaus menghantar langkah Syakilla melalui ekoran matanya.
"Syakilla, awak memang betul-betul dah berubah," getusnya.
"SAYANG, urutkan bahu abang." Hazril Irfan memanggil Syakilla yang sedang duduk bersandar di sofa.
Kadang-kadang dia berasa pelik, Syakilla tidak bosankah menemankannya hari-hari? Yalah, dia habis kerja pukul lima petang. Kadang pulang lewat tetapi isterinya tetap setia menunggu. Mujur dia bekerja di syarikat bapanya. Kalau bekerja dengan orang lain, sudah lama kena pecat.
Syakilla akur. Dia lekas berdiri mendekati suaminya. Bahu Hazril Irfan diurut-urut lembut. Senyuman tidak lekang di dua ulas bibir comelnya itu.
"Kalau kita ada anak nanti kan, sayang nak namakan anak kita Rana Shaheen. Itu kalau anak kita perempuan. Kalau anak kita lelaki, sayang nak namakan dia Affan Mikdam. Cantik kan nama tu?" ujar Syakilla. Dilingkarkan tangannya ke leher Hazril Irfan.
"Ermm, bolehlah." Hazril Irfan tersenyum kelat.
"Abang nak berapa orang anak?" Kali ini, dilabuhkan pula punggungnya di riba suaminya. Mata Hazril Irfan ditatap.
Hazril Irfan merangkul kemas pinggang Syakilla. Memori lama menampar mindanya. Satu keluhan berat dilepaskan.
"Awak nak berapa orang anak bila kita dah kahwin nanti?"
"Saya nak sepuluh orang anak."
Syakilla mendengus geram apabila soalannya dibiarkan tergantung sepi. Ditampar perlahan tangan Hazril Irfan yang merangkul pinggangnya.
"Abang, sayang tanya ni..." Rengek Syakilla. Bibirnya dijuihkan ke depan.
"Huh, apa?" soal Hazril Irfan tersedar daripada lamunannya.
"Sayang tanya, abang nak berapa orang anak?" Sekali lagi Syakilla mengulang kembali soalan yang sama.
"Satu ajelah," jawab Hazril Irfan.
"Alah, kenapa nak satu? Sayang nak banyak." Syakilla menarik muka. Merajuk!
"Haih! Nak berapa orang?" Hazril Irfan memandang redup wajah Syakilla.
"Empat atau lima orang. Kalau lebih sayang tak kisah. Rezeki, kan?"
Hazril Irfan telan liur. Matilah dia jawabnya. Dianggukkan saja demi menjaga hati Syakilla. Nama pun masih on going misi pura-pura membalas cinta Syakilla. Hadap sajalah!
"Abang cintakan sayang berapa peratus?" soal Syakilla. Tali leher Hazril Irfan dipintal-pintal. Ingin menggoda suaminya.
"Seratus peratus," jawab Hazril Irfan.
"Kenapa seratus peratus?" Syakilla memuncung. Bukan itu jawapan yang dia mahukan.
"Sebab cinta sangatlah."
"Tapi sayang cintakan abang sangat. Tak terkira langsung. Nampak sangat abang tak cinta sayang. Abang sengaja, kan?" Syakilla terus berdiri.
Hazril Irfan mengeluh. Dia turut berdiri. Ditarik lengan Syakilla. Dipaksa tubuh kecil itu masuk ke dalam pelukannya.
"Mana ada abang main-main. Kan abang dah cakap masa kat Maldives tu. Abang nak balas semula cinta sayang. Janganlah fikir bukan-bukan," pujuknya.
"Kadang-kadang sayang rasa abang macam pura-pura. Sayang tak nak abang pura-pura cinta kat sayang. Benda tu sakit." Mata Syakilla dah berkaca-kaca menahan sebak.
"Mana ada," nafi Hazril Irfan.
"Betul ni?"
"Ya, betul."
"Janji tak tipu? Janji tak pura-pura cintakan sayang?"
Hazril Irfan terkelu. Lambat-lambat dia mengangguk. Kalau dia jujur, lain pula yang jadi nanti.
"Kenapa abang pilih untuk balas cinta sayang?" soal Syakilla, tiba-tiba.
"Because you're mine. Forever mine!" jawab Hazril Irfan penuh yakin.
"Betul ni?"
"Yes! My wife."
Berbunga-bunga hati Syakilla mendengar jawapan daripada suaminya. Rasa sangsi yang menyelinap di dalam hati diusir pergi. Dia percayakan Hazril Irfan.

ANDA SEDANG MEMBACA
KERANAKU CINTA KAU [TERBIT]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...