Bab 1 - 3

524 10 0
                                    

1

Hutan kampung kalau masuk terlalu dalam ada sejenis bau macam udara yang terpengap dan tengik dengan kompos daun reput, urea najis haiwan dan semestinya aroma mistikal hutan itu sendiri. Meskipun begitu, hutan belukar itu menjadi tempat kegemaran sesetengah manusia yang suka ke situ untuk berbuat maksiat, menghisap dadah, berjudi, berlaga ayam dan juga mencari puaka minta minyak atau santau.

Budak sekolah darjah lima macam aku, Pok Jik dan Mat Toya, selalunya takkan berani masuk sejauh itu. Tahu dek mak bapak, mampus kena belasah dengan kayu api. Cumanya, atas sebab kedaifan keluarga, persahabatan kami bertiga membara dengan satu rasa sama – kelaparan. Dalam hutan itu pula ada makanan seperti buah jambu batu liar, buah keriat, buah rambai, ayam hutan, belalang dan macam-macam lagi. Daya tarikan semua itu menenggelamkan cerita hantu kopek yang pernah menyembunyikan Mat Sapik anak Pak Dollah kudung selama seminggu sebelum orang jumpa dia meringkuk di celah akar banir pokok tualang dalam keadaan kurus kering. Masa tu dia darjah 4. Yang bodohnya dia pergi kencing dekat busut sambil menyanyi lagu Isabella tu siapa suruh? Ayah kata, dalam hutan jangan buat benda-benda bodoh macam tu.

"Pokok besar tu beloh sano, gilo. Sini okey, takdok gapo."

Pok Jik nampak ragu-ragu dengan lokasi yang aku bawa petang itu. "Macam la menate hantu tu tokleh terbang," jawabnya. "Abe aku royat (cakap), ado hantu pandai naik scrambler."

"Tok betul mano abe mung tu."

"Tu lah. Jarum (syringe dadah) duk tange sokmo (sentiasa). Aku kadang-kadang tertukar abe aku dengan hantu."

"Ayoh aku royat kalu kito tok kacau tempat dio, dio tok kacau kito. Ayah aku biso bab hantu ni. Takkan mung tok cayo?"

Pok Jik mengangguk sambil menggaru tulang kering guna hulu lastik. Dia tak berbaju. Hanya berseluar pendek seperti tarzan. Tak pula dia kena gigit nyamuk. Aku fikir sebab dia kurus sangat darah pun tak ada. Muka si kurus itu pula jenis magnet simpati kalau mengemis di depan pejabat PAS Kota Bharu semasa ceramah Nik Aziz, dia boleh kaya. Dia bermata bundar sedikit kuyu, dengan dahi jendul dan berhidung mancung. Rambutnya ikal, tebal dan padat, yang kalau dihinggapi kutu kepala, maknya akan sembur Shelltox saja kepalanya. Kalau kutunya tak mati-mati juga, rambutnya akan dibotakkan terus. Kutu di kepalanya takkan boleh dihapuskan dengan cara menyisir atau menyelak-nyelak rambut di atas tangga di waktu petang. Kalau dibagi beruk pun kepalanya itu, beruk pun surrender.

Otak Pok Jik pun agak perlahan bergeraknya seperti bot pengangkut pasir. Ketika itu aku ingatkan rambutnya yang menghalang oksigen daripada masuk ke dalam kepalanya dan buat dia jadi bebal. Tapi bebalnya Pok Jik ni kat sekolah cikgu nak ajar dia pun kena selawat dan istighfar banyak-banyak. Kalau tak cikgu itu boleh naik darah dan mengamuk.

Duo tamboh satu berapo? Tanya guru matematiknya.

Tokleh tamboh cikgu, mak maroh! Jawab Pok Jik sebab pagi tu dia nak tambah nasi goreng tapi tak cukup. Dia mengamuk lalu kena marah.

Aku tinggalkan Pok Jik yang masih menggaru. Aku panjat pokok jambu batu di situ dan turun semula membawa dua biji buahnya yang ranum. Belum sempat aku kendurikan jambu-jambu itu, tiba-tiba belukar tebal tak jauh dari situ kedengaran diganggu.

Pok Jik mendekati aku, berbisik, "Mung ukah (panjat) tadi... mung tok mintak izin dulu ko?"

Aku pandang dia tak berkedip. Dia tatap aku sekejap sebelum menepuk dahi dan menggeleng.

"Hutan ni. Mano ado tuan." Aku gigit jambu dan hulur ke Pok Jik. Dia menggeleng.

"Dalam hutan la banyok tuan, gilo. Lain kali mintok izin dulu. Aku syak tuan dio balik doh tu." Dia tenung aku. "Penunggu pokok jambu!"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 18, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

(preview) TELAGA - sebuah novel Khairi MohdWhere stories live. Discover now