Bab 1 - 2

827 20 2
                                    

1.

Aku mahu mulakan kisah ini dengan bagaimana aku boleh terjun ke dalam sungai dan mati lemas ketika sedang memetik sebiji mangga masak di atas pokok di luar rumah. Aku mahu ceritakan bagaimana aku menyingsing seluar panjang yang dipakai sehingga ke paras lutut dan menarik lengan baju yang pendek sehingga ke bahu supaya tangan dan kaki bebas bergerak. Aku juga mahu jelaskan bagaimana akhirnya aku berjaya mencapai setiap ranting dan dahan untuk mendapatkan mangga yang masak ranum itu di hujung pohon yang tinggi, sebelum kakiku tergelincir ketika cuba mengelak daripada digigit barisan kerengga yang tiba-tiba datang menyerang.

Aku tidak terus terjatuh. Aku terduduk di atas dahan yang besar dan mangga yang aku peluk terlepas dari tangan lalu buah itu terus masuk ke dalam sungai di tepi pagar. Aku menangis, berteriak di atas pokok seorang diri sebelum memijak kerengga-kerengga durjana itu dengan geram. Setiap hari aku termenung di muka pintu, menunggu masa buah itu untuk kuning keemasan sambil mengharap tiada burung atau tupai atau monyet yang cuba mencurinya. Jadi hari itu dengan penuh semangat, aku telah berjanji pada diri sendiri yang aku akan mendapatkannya dan memakannya dengan rakus tanpa berkongsi dengan sesiapa pun.

Lalu tanpa berfikir panjang, aku membuat keputusan untuk terjun saja ke dalam sungai. Aku mahu mengambil buah itu semula sebelum ia terus terbenam ke dasar dan mereput menjadi makanan ikan. Dan semasa tubuh terawang-awang di udara itulah, aku terbayangkan bagaimana pisau kesayangan Mak yang tajam berkilat telah menanti di tepi singki bersama batu yang sumbing tepinya minta diasah. Begitu juga dengan botol kicap yang sudah aku terbalikkan supaya lebih senang isinya yang hampir habis itu untuk keluar. Serta gula yang sudah tersiap sedia di dalam bekas kaca di dapur untuk digaul bersama kicap dan beberapa batang cili padi yang baru dipetik.

Tetapi malangnya sewaktu tubuh aku masuk ke dalam air, segala-gala ingatan itu hilang. Aku terus hanyut dipukul arus yang mengalir deras, membawaku jauh entah ke mana. Jauh daripada Mak, jauh dari rumah, jauh dari segala-galanya. Dan sedar-sedar saja beberapa hari selepas itu, aku telah ditemui oleh orang kampung tersangkut di dalam rimbunan lalang di tepi tebing. Tubuhku kembung. Wajahku tidak dikenali langsung.

Tapi kisah aku yang sebenar tidak bermula atau berakhir begitu. Aku masih ada di depan pintu rumah, masih hidup sihat walafiat, sedang teruja melihat sebiji mangga masak di tangan Pak Hadir ketika orang tua itu muncul. Dia memakai cermin mata gelap tapi aku dapat lihat samar-samar dari tepi, matanya mengenyit sedikit ketika bibirnya dalam masa yang sama mengukirkan senyuman.

Aku hanya mengangguk. Entah dari mana dia dapat buah itu aku tidak tahu. Aku tidak mahu tahu pun. Yang pastinya bukan di atas pokok di depan rumah kerana pokok itu sudah terlalu tua untuk berbuah. Bukan juga dipungut di dasar sungai kerana sungai di tepi pagar sudah lama kering dan berlumpur (jika banjir sekalipun, airnya cuma naik tinggi-tinggi buku lali). Dia tentu peroleh buah itu dari rumah jirannya. Atau dibeli di pasar. Atau dikutip di tepi jalan.

Begitu. Kisah aku bermula dengan sebiji mangga itu.

******

"Pergi kupas kulit mangga tu lepas tu hidang," arah Mak sambil menepuk punggungku dengan kuat ketika aku masih mengelamun dan tercengang.

Aku terus berlari ke dapur tanpa mempedulikan Pak Hadir yang sedang menopang tubuhnya pada dinding atau Mak yang sedang mencekak pinggang, menyambut tetamu yang baru sampai. "Dari mana..." soal Mak pada lelaki itu dengan lemah-lembut. Mak begitulah, sejak kebelakangan aku lihat layanannya kepada Pak Hadir lebih akrab daripada biasa.

"Dari rumah. Baru balik kerja. Siapa yang datang tadi tu?" tanya Pak Hadir pula sambil menggosok-gosok tepi dahinya dengan telunjuk. Dia cuma duduk di muka pintu walau Mak telah menjemputnya masuk.

(preview) SUMPAH - sebuah novel Shaz JoharWhere stories live. Discover now