SAAT terlafaz ijab dan kabul, ada rasa indah yang menjentik hati. Rasa yang sukar untuk dimengertikan. Rasa yang membuatnya berada di awangan seketika. Indah.
Memandang wajah seorang suami yang segak berbaju melayu putih menghadirkan ketenangan yang sukar dicari. Inikah yang dinamakan cinta?
Jatuh cinta pada suami sendiri, salahkah? Terpaut pada lelaki pilihan keluarga yang sentiasa mahukan yang terbaik untuknya tidak mungkin salah, bukan?
Sepasang mata hazel terus tertancap tanpa silu pada seraut wajah yang kelihatan cukup tenang tika melafazkan ijab dan kabul buat hati bergetar sendiri. Dan anehnya ada rasa yang mula mengusik tanpa henti. Buat bibir merekah dengan senyuman manis.
Tiada riak resah yang tertera di wajah kacak itu. Langsung tiada rasa gementar. Seolah mengahwini seorang isteri bukan perkara besar di dalam hidup lelaki itu.
Mohd Hadiff Luqman. Lelaki yang kini bergelar suami. Suami yang akan memimpin tangan Intan Sueraya hingga ke hujung usia. Meniti jalan ke syurga.
Hati berdesis teruja. Tidak sabar mahu mengenali lelaki yang kini mula melata di hati dengan lebih dekat. Mahu tahu apa yang disukai lelaki itu. Ingin mengelak dari perkara yang tidak disenangi sang suami.
Sungguh, dia mahu menjadi isteri yang baik. Isteri yang menyenangkan hati suami. Isteri yang mampu membahagiakan. Sayap kanan buat Mohd Hadiff Luqman. Bukan sekadar beban di bahu.
Kepala mula sesak dengan anganan dan impian. Ingin melakar episod baru bersama lelaki tinggi lampai itu. Menggapai bahagia yang diidamkan setiap pasangan bercinta.
Pasangan bercinta? Sayangnya, hubungan yang terjalin bukan atas dasar cinta.
Kata orang, bercinta selepas kahwin lebih indah, bukan? Lebih manis. Tiada sebarang larangan. Segalanya sudah halal. Bersentuhan tidak mendatangkan dosa.
Ah, gatal benar!
Hati gadis naif berusia 21 tahun berlagu riang. Mengharap bahagia itu berlabuh di dalam rumah tangganya sepertimana kisah-kisah indah yang selalu didendang di telinga. Langsung tiada ragu.
Si gadis seolah terlupa yang setiap rumah tangga pasti ada kisah yang berbeza. Yang indah itu bukan milik semua. Derita pasti ada.
YOU ARE READING
MENCINTAIMU SEPANJANG NAFASKU
RomanceMENCINTAIMU SEPANJANG NAFASKU ============================ Jatuh cinta pada suami sendiri, salahkah? Mencintai seorang suami bukankah dituntut agama? Mustahil salah, bukan? Yang salahnya bila hati mengharap balasan yang sama. Mengharap pada suami y...