"ABANG nak buat apa pergi ke kampung tu lagi?" Azizah bertanya kepada Kamarul.
Dia memang tertanya-tanya dengan sikap suaminya yang sejak akhir-akhir ini selalu ke Kampung Delima. Setahunya projek jalan di kampung itu sudah hampir dua bulan diselesaikan.
"Ala awak ni, saya ada kerjalah nak pergi ke situ. Nak tengok jalan hari tu, okey ke tidak." Kamarul memberi penjelasan kepada isterinya.
Tetapi dalam kepala, mula terbayang akan lenggang Hartini. Walaupun jarak antara bandar Johor ke Kampung Delima memakan masa hampir empat jam, namun demi Hartini, Kamarul sanggup.
Dalam diam dia amat bersyukur kerana mendapat tender untuk membina jalan di Kampung Delima. Melalui projek itulah dia sampai ke kampung Delima. Dan kerana projek itulah dia berjumpa dengan Hartini.
Kamarul baru berusia 35 tahun dan mempunyai dua orang anak. Amirul baru sahaja memasuki darjah satu dan Fatin baru berusia tiga tahun. Syarikat pembinaannya semakin hari semakin maju. Cita-citanya untuk menjadi salah seorang usahawan yang terkemuka sama seperti ayahnya Dato' Hamid dan mentuanya Dato' Johari.
Kamarul sudah pun mengatur rancangan. Sebelum ini pelbagai usaha yang dilakukan untuk memiliki Hartini namun segala usahanya itu tidak berhasil. Sungguh sukar untuk memiliki hati Hartini.
Hati? Dia tersenyum sumbing. Dia terfikir sendirian takkan Hartini ada hati terhadapnya. Yang ada hanyalah hatinya terhadap Hartini. Dia tidak mempedulikan hati Hartini, yang dia mahu hanyalah belaian manja Hartini dan susuk badan Hartini yang menjadi idaman lelaki.
Untuk mendapatkan Hartini dia telah menghantar orang untuk merisik. Tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh Lebai Kassim dengan alasan Hartini baru berusia 19 tahun. Kamarul tidak berputus asa, dia cuba menyogok Lebai Kassim dengan wang dan berharap agar Lebai Kassim akan berubah pendirian, malangnya tetap gagal. Lebai Kassim memberi alasan bahawa Hartini masih muda. Muda? Dia pernah dilayani oleh gadis-gadis GRO yang lebih muda dari Hartini. Tapi itu semua hanya terbuku dalam hatinya. Dia tidak mahu dan tidak akan memberitahu kepada Lebai Kassim atau sesiapa sahaja apatah lagi isterinya.
"AMACAM okey tak?" Kamarul bertanya kepada Faizal sejurus keluar dari kereta.
Perjalanan yang memakan masa selama empat jam itu amat memenatkan. Dia berharap agar rancangannya kali ini berhasil. Kalau tidak sia-sia sahaja.
"Okey tuan!" ujar Faizal menunjukkan tanda bagus kepada Kamarul.
Faizal kemudiannya tersenyum sambil mengusap dagunya. Sudah terbayang GRO yang comel sedang menari dan dia sedang memeluk pinggang GRO yang menggoda itu. Alangkah bahagianya nikmat hidup jika mempunyai wang!
HARTINI masih lagi di dalam kamar. Bersiap-siap untuk menghadiri kelas tambahan. Selalunya dia tidak keseorangan untuk ke kelas tambahan. Lebai Kassim selalu menemaninya. Dia berbasikal dan ayahnya akan mengekori dengan motor. Tetapi tidak malam ini. Ada kecurian di surau. Ayahnya terpaksa ke sana.
"Ayah, Tini pergi dulu ye," ujar Hartini meminta izin daripada Lebai Kassim untuk ke kelas tambahan pada malam itu.
"Emm... tapi baik-baik Tini. Nanti ayah ambil kat sekolah. Malam ni ayah tak boleh nak hantar," ucap Lebai Kassim, menasihati anaknya.
Entah kenapa dia rasa macam ada sesuatu yang tidak kena. Imam dan dua tiga orang qariah surau masih menunggu kehadirannya. Entah apalah nak jadi dengan budak-budak sekarang. Sampai peti duit yang diletakkan dalam surau pun mereka tergamak untuk dicuri.
"Tak apalah ayah, lagipun baru pukul 8.00 malam. Ala... sekolah pun bukan jauh sangat," jawab Hartini sambil menyorong basikalnya.
"Lagipun tengah jalan nanti terserempaklah kot dengan kawan-kawan," sambung Hartini lagi.
Lebai Kassim hanya menyoroti kayuhan Hartini dengan mata tuanya. Dia kemudiannya menghidupkan enjin motosikalnya dan menuju ke surau. Ke jalan yang bertentangan dengan jalan yang diambil oleh Hartini untuk ke sekolah.
FAIZAL dan dua orang rakannya sedang menunggu kedatangan Hartini. Faizal telah mengatur segala-galanya. Dia telah mengupah orang untuk mencuri di surau Kampung Delima. Dengan kecurian itu, dia pasti Lebai Kassim tidak akan menghantar anaknya ke kelas tambahan.
HARTINI berasa tidak sedap hati. Entah kenapa dirasakan perjalanannya ke sekolah terlalu jauh. Kalau tidak kerana peperiksaan yang bakal diduduki lagi sebulan itu, dia tidak akan meredah malam untuk ke kelas tambahan. Hatinya merasa tidak keruan, entahlah. Dia berasa sesuatu yang buruk akan berlaku. Tapi entah apa. Hatinya masih belum dapat meneka.
Tiba-tiba Hartini merasakan ada sebuah kereta yang mengekori belakangnya. Dia mempercepatkan kayuhan basikal. Dia juga berharap agar terserempak dengan rakan sekelasnya. Namun sepanjang perjalanannya itu dia tidak terserempak dengan Syamil mahupun Maizurah. Dia menoleh ke belakang untuk memastikan kereta siapa di belakangnya. Lampu kereta yang dipasang tinggi telah menyilaukan pandangannya.
Kereta itu melanggar Hartini. Terhuyung-hayang Hartini cuba mengawal basikalnya. Hentaman kereta itu telah menyebabkan Hartini jatuh tersungkur. Dia cuba bangkit. Namun dalam hatinya menyumpah kereta yang baru sahaja melanggarnya. Belum sempat dia bangun seorang pemuda yang baru keluar dari kereta menghampirinya dan dengan lantas mencekup mulutnya. Hartini meronta tetapi gagal di tangan lelaki itu.
Hartini tidak tahu berapa lama dia terlena. Sedar-sedar dia sudah pun berada di atas tilam yang empuk. Dia cuba bangkit namun badannya terasa amat sakit. Dia cuba mengingati apa yang telah berlaku. Perkara yang terakhir dia ingat adalah dia dibawa masuk ke dalam sebuah kereta dan kemudian semuanya gelap. Dia berdebar. Seketika bagai tersedar dari tidur, dia menjerit apabila melihat keadaan dirinya yang tidak ditutupi dengan seurat benang. Dia menjerit dan terus menjerit sambil memikirkan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.