Tangannya ligat menyusun pakaian ke dalam beg pakaiannya. Bahu terasa dicuit dari belakang. Berpaling, dia melihat rakan sebiliknya, Luhan tersengih sambil mengambil tempat di katil bertentangan dengannya. "Nak pergi mana? Balik kampung ke?" tanya Luhan sambil menyandar pada dinding.
Xiumin terus mengangguk tanpa memandang Luhan. Dia menyambung kembali perbuatannya. "Dah lama dah aku tak balik," Zip beg ditarik. Dia menepuk-nepuk beg yang padat dengan baju itu. "Entah apa dah jadi kat kampung tu. Last aku balik pun masa nenek meninggal." Baru matanya menangkap kelibat Luhan. "Kau tak balik Beijing ke?"
Luhan hanya mengangkat bahu, menyatakan ketidakpastiannya. "Tengoklah macam mana." Lelaki itu mula merebahkan badan dan memeluk bantal di kepalanya. "Buat masa ni, aku nak tidur dulu." Tak lama kemudian, dengkuran perlahan kedengaran, menandakan bahawa lelaki itu sudah menjelajah ke alam mimpi.
Xiumin hanya menggeleng melihat gelagat Luhan. Dia merenung ke luar tingkap, merenung langit yang hitam. Malam sudah lama menjengah, memberi ruang pada penghuni dunia untuk lepaskan lelah. Xiumin menyentuh dadanya lembut. Perasaan aneh itu muncul menghantui dirinya kembali. Dia menjauhi tingkap dan selepas suis lampu ditutup, dia membaringkan badannya. Kelopak mata dijatuhkan, ruang kelam menyapa, sepi malam mengiringi.
Dia tahu sudah sampai masanya untuk dia pulang.
Putarkan masa kembali.
"Okay, hari ni cikgu akan bacakan kamu semua, cerita dongeng ikan duyung!" Perempuan dalam lingkungan lewat 20-an tersenyum girang kepada kanak-kanak yang mula berlari mendapatkan tempat duduk di hadapannya. Berbeza dengan seorang budak lelaki yang hanya melontar langkah kecil menghampiri bulatan manusia itu. "Xiumin, cepat!" pinta guru itu.
"Jadi akhirnya ikan duyung itu menangis kerana puteranya berkahwin dengan orang lain lalu terjun ke dalam laut menjadi buih lautan.."
Guru muda itu menutup buku berkulit tebal dengan kedua-dua tangan dan memeluk buku itu kemas selepas menamatkan cerita. Matanya memerhati reaksi anak-anak murid yang pelbagai diiringi dengan sebuah senyuman. Namun senyumannya mengendur berganti bingung melihat Xiumin.
"Kenapa manusia kejam sangat, cikgu?"
Kaki kerdil Xiumin berlari-lari mendapatkan ibunya yang sedang membersih halaman rumah. Pasir pantai yang tersisa di celahan jari kaki tidak diendahkan. "Omma! Tengok Xiumin jumpa benda!" jerit si anak kecil itu, menarik perhatian ibu dan nenek yang turut berada di situ.
"Jumpa apa?" tanya ibunya lembut sambil mengusap rambut hitam Xiumin. Nenek yang beriak tegas, memerhati dengan curiga. Xiumin terus meleraikan genggaman, memunculkan suatu loket di tapak tangannya. Tanpa anak kecil itu sedari, riak wajah ibunya sedikit berubah namun dikawal.
"Xiumin jumpa kat pantai tadi- Nenek!"
Loket itu sudahpun berganti milik. Kini ia berada dalam simpanan nenek yang tidak pernah sekalipun ingin bermanja dengan cucunya. "Kamu pergi pantai seorang diri?!" Xiumin terus menunduk memandang tanah, takut mendengar sergahan perempuan tua itu.
"Jangan kamu dekati laut itu, Xiumin," Mendengar namanya disebut, dia memberanikan diri untuk bertentangan mata dengan neneknya yang garang. "Atau kamu akan ditelan oleh penghuninya." Mata perempuan tua itu seakan memberi amaran. Anak kecil tersebut cuba untuk mengerti.
Jia melompat-lompat kegirangan sambil dipimpin tangan oleh datuknya menuju ke jeti. "Atuk! Bawaklah Jia dengan abang naik bot hari ni!" Jia menunjuk ke arah bot nelayan usang sambil menghayun-hayunkan tangan datuk. Termakan pujuk rayu cucu perempuannya, lelaki tua itu akhirnya mengalah dan membawa mereka untuk mengikutinya mencari rezeki.
Abang!
Suara Jia dari atas sudah tidak didengarinya. Tirta yang menyambut tubuh sudah mula mematikan deria. Kedinginan air mula mencengkam tulang-belulang. Dia tak berdaya untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu pejamkan mata..
YOU ARE READING
Under The Sea
FanfictionDeruan ombak menghempas pantai, bayu lembut menyapa sudah sebati dalam diri Xiumin, yang membesar di sebuah perkampungan berdekatan pinggir laut. Ayah dan datuknya seorang nelayan. Namun, tidak pernah sekali pun ibu dan neneknya membenarkan dia meng...