1

2.3K 34 2
                                    

GELISAH hatinya. Datuk Sabri mengatur langkah menuju ke arah balkoni banglo. Berdiri dia di situ sambil menikmati pemandangan sekeliling. Kelihatan wajah lelaki yang usianya telah separuh abad itu resah. Jemarinya saling bersulaman. Terdengar keluhan seolah-olah melepaskan sesuatu yang terpendam sejak tadi.

Lamunan lelaki itu terhenti dek suara seorang wanita. Sudah dapat diagak empunya suara itu. Tetapi dia tidak mengendahkannya.

"Abang! Oh, abang!" Laung wanita yang agak berusia itu mencari suaminya. Melilau-lilau dia mencari. "Mana pula dia ni?"

Tiba-tiba dia terpandang ke arah balkoni rumah. Matanya tajam memandang seorang lelaki tua yang berkemeja merah, termenung di situ seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Dia menghampiri dan terus menyergah suaminya yang disangka mengelamun.

   "Abang!"

   Sedikitpun Datuk Sabri tidak terkejut. "Hmm... Sofi kenapa ni?" Nama manja Datin Sophea dipanggil lembut.

   "Abang tak terperanjat ke?"

   Datuk Sabri membisu.

   Datin Sophea mula naik angin. Bermacam-macam hal negatif mula bermain di fikirannya. Seolah-olah kehadirannya tidak dihargai. "Oh... fikir pasal perempuan lainlah ni! Kenapa? Berangan nak pasang dua ke? Jangan mengada eh!"

   Datuk Sabri tersentak. "Eh... ke situ pula orang tua ni. Saya ni tak ada masa nak fikir pasal perempuan lainlah, Datin Sophea oi. Dah tua pun..."

   Datin Sophea mencebik. "Yalah. Manalah tahu." Dia menyindir sambil memuncungkan bibir.

   "Awak ni. Hisy..." Datuk Sabri menggeleng, lalu mengorak langkah ke sebuah kerusi di balkoni itu dan duduk di situ.

   Datin Sophea hanya memerhatikan tindak-tanduk si suami.

   "Saya ni tengah fikir pasal perniagaan. Syarikat abang silap-silap muflis suatu hari nanti." Datuk Sabri tunduk murung.

   Bulat mata Datin Sophea memandang suaminya. "Muflis? Betul ke ni? Betul ke, abang?" Dia meluru ke arah kerusi kosong di sebelah Datuk Sabri, lalu duduk dengan reaksi menggelabah.

   "Habis tu... habislah status saya, bang. Apa kata Datin-datin lain pada saya nanti? Malulah saya, abang. Malu! Mana hendak letak muka ni?" Datin Sophea kelihatan resah. Tangannya menggeletar sambil mengurut dada.

   Berkerut-kerut wajah Datuk Sabri melontar renungan pada si isteri. "Awak fikir soal itu? Ini... rumah ni. Alamatnya kita kena keluarlah. Duduk rumah setinggan ke... huh..." Sekali lagi dia mengeluh mengenangkan nasib mereka.

   Resah semakin menjadi-jadi. Datin Sophea tidak tentu arah. "Abang! Kita kena buat sesuatu ni". Dia bangun dan mundar-mandir sambil diperhatikan Datuk Sabri. "Fikir, Sofi. Fikir..."

   "Awak pusing-pusing pun tak akan dapat selesaikan masalah." Datuk Sabri menggeleng-geleng melihat gelagat isterinya yang tidak keruan.

   Langkah Datin Sophea terhenti. Matanya bertentang dengan mata Datuk Sabri. Lebar senyumannya. "Hah! Saya tahu!"

   Dia kembali duduk di sebelah suaminya. "Abang... apa kata kita beli apartmen baru. Lepas tu abang simpan duit mulai sekarang. Hah! Nanti kalau dah muflis, kita duduk di apartmen tu. Lepas tu kita guna duit simpanan kita untuk belanja setiap hari. Macam mana? Okey tak cadangan saya?"

   Datuk Sabri mengusap-usap rambutnya sambil membuat mimik muka tidak berpuas hati dengan cadangan itu. "Itu cadangan jangka masa pendek. Saya nak cadangan masa jangka panjang. Hmm..." Berkali-kali dia menggeleng tanda tidak puas hati.

Gaduh Gaduh SayangWhere stories live. Discover now