RAFIQI selamat sampai di rumah. Kepulangannya disambut oleh ibu tercinta. Datin Sophea memeluk erat anak lelakinya itu dan memberikan ciuman di pipi.
Rafiqi tidak selesa dilayan seperti kanak-kanak. Lalu, dia mengeluarkan sapu tangan dan mengelap pipinya. Takut ada kesan ciuman bergincu.
Datin Sophea sudah tidak sabar-sabar mahu memberitahu si anak tentang perkahwinan. "Boy, mama nak bagi tahu satu perkara. Mama harap sangat yang anak mama ni kah..."
Datuk Sabri cepat-cepat menghalang isterinya kerana terlalu awal untuk diberitahu kepada Rafiqi. Dia memberi bahasa isyarat agar senyap.
"Mama simpan Coki-coki dalam balang. Atas meja bilik Boy tau," bisik Datin Sophea.
Rafiqi terkejut. Mamanya itu tahu tentang snek kegemarannya. Memang dia anak emak tapi susah mahu mengaku.
Datin Sophea menarik tangan anaknya ke dapur. "Jom pergi makan, sayang. Mama masak special hari ni."
Datuk Sabri hanya memerhati. Dia mengjongket bahu dan membuat mimik muka acuh tak acuh.
Persekitaran di meja makan membuktikan bahawa keluarga ini sememangnya mewah. Sesiapa yang melihat pasti terpana. Cantik sungguh! Pinggan mangkuk, sudu, cawan dan sebagainya. Seolah-olah barangan buatan Malaysia tidak bagus. Terlalu taksub dengan produk asing!
Mereka sekeluarga menjamu selera bersama.
"Mama, papa... err... Rafiq tak mahu balik Sarawak lagi. Biarlah orang lain yang uruskan kat sana. Boleh ke, pa?" Bagai ada yang tidak kena. Datuk Sabri membisu, inginkan penjelasan daripada anaknya.
Bulat mata Datin Sophea memandang Rafiqi "Err... kenapa, Boy?"
"Hmm... entah. Saja. Rafiq nak dekat dengan papa dan mama. Tak boleh ke?" Terukir senyuman kacak Rafiqi.
Datin Sophea ragu-ragu. Gurauan atau serius? Anak muda kalau bercerita, kadang-kadang tidak tetap pendirian. Seringkali berubah fikiran. "Betul ke ni?" Dia cuba menganggap bukan gurauan. "Apa pula tak boleh? Mama lagi suka! Nanti taklah mama risau." Dia tersengih-sengih memandang suaminya.
Datuk Sabri seakan-akan tidak berpuas hati dengan alasan Rafiqi, tetapi apakan daya. Lagi mudahlah untuk dia mempercepatkan rancangannya. "Papa pun setuju. Tapi kenapa tiba-tiba aje? Papa tengok selalunya Rafiq yang nak cepat-cepat balik ke sana. Ni mesti kes perempuan kat sana kan?" Dia menyakat anaknya.
"Hisy, awak ni! Apa salahnya anak kita tinggal dengan kita? Dia nak jaga kita kat sini. Tapi kan... mama pun rasa Boy kecewa dengan gadis kat sana." Datin Sophea memandang anaknya sambil tersenyum.
Rafiqi berkerut cuba menafikan realiti. "Apalah mama dengan papa ni. Tak ada apa-apalah..." Dia terus bangun dan membasuh tangan. Seleranya hilang apabila topik pasangannya dibincangkan. Tetapi senyumannya masih terukir untuk mengelakkan ibu bapanya terasa hati.
Datin Sophea dan Datuk Sabri saling berpandangan, membiarkan sahaja Rafiqi pergi dari ruang itu.
KESEMUA ahli lembaga pengarah bersurai setelah selesai bermesyuarat. Datuk Lee masih duduk di kerusinya di samping setiausaha yang setia menunggu. Mira sedang menyemak fail-fail mesyuarat tadi.
Datuk Lee yang termenung akhirnya bersuara. "Err... Mira. Saya nak cakap sikit boleh tak?"
"Ada apa, Datuk? Pasal projek baru syarikat ke?" Fikiran Mira masih terikat dengan perkara-perkara berkaitan syarikat. Sudah enam tahun dia menjadi orang kepercayaaan Datuk Lee. Usianya 31 tahun dan masih belum berkahwin.
Datuk Lee menggeleng. "Bukan pasal tu." Dia memandang siling. "Hmm... kamu tahu kan saya ada anak perempuan?"
"Oh... takkan pula saya tak tahu. Kenapa Datuk tanya?"
"Awak rasa, anak saya tu sayangkan keluarga dia tak?"
Mira menguntum senyuman. "Eh... mestilah, Datuk. Mestilah dia sayang. Alah Datuk ni... takkan pasal Cik Lady tu tak balik dua tahun buatkan Datuk fikir macam tu. Dia kan jauh di seberang laut."
Datuk Lee beralih pandangan dan bertentang mata dengan Mira. "Dua tahun tahu tak, Mira?"
Mira masih tersenyum. Buat-buat senyum bagai tidak ikhlas. Aku tersalah cakap ke? "Hmm... saya... saya kurang ariflah dalam bab ni, Datuk. Mungkin Cik Lady tu keras kepala. Tapi sebenarnya, dia sayangkan famili dia."
Datuk Lee menggeleng, mula tersenyum. "Saya akan main taktik kotor. Saya akan pastikan dia menjadi pengganti saya." Dia seakan-akan mendapat idea baru.
Berlapis dahi Mira, keliru dengan omongan bosnya. "Taktik kotor? Maksud Datuk?"
Datuk Lee tersenyum, bagai punya rencana jahat.
Mira masih tidak mengerti apa yang diperkatakan oleh Datuk Lee. Datuk Lee tidak memberi apa-apa jawapan walaupun mukanya menggambarkan sejuta soalan.
MALAM kian sepi. Rafiqi masih tidak dapat melupakan apa yang terjadi. Sudah berkali-kali dia mencuba. Tidak ada wanita sesempurna gadis itu. Mungkin inilah akibatnya mengecewakan hati seorang wanita yang ikhlas. Dia sehingga kini tidak menemui cinta sejati.
Datin Sophea sama sekali tidak merestui hubungan mereka kerana membenci Qistina. Tanpa dia sedar, rupa-rupanya dia sedang diperhatikan.
Datin Sophea menjenguk bilik anaknya. Kelihatan Rafiqi sedang berbaring dan mengelamun di atas katil. Lantas dia melangkah masuk ke dalam bilik. Kehadirannya membuatkan Rafiqi cepat-cepat bangun.
Datin Sophea menghampiri anaknya, duduk sekali di birai katil. "Rafiq... anak mama buat apa ni, sayang?"
"Err... tak ada apa, ma." Rafiqi cepat-cepat menyembunyikan sesuatu di bawah bantalnya.
Datin Sophea berkerut curiga. "Sorok apa tu, Boy?"
Rafiqi menggelabah. "Tak... tak ada apalah, ma."
"Sini mama tengok. Tengok gambar bukan-bukan ya?"
Berlaku sedikit pergelutan. Akhirnya, Rafiqi mengalah. Sengaja dia melemahkan diri. Tegar sungguh sekiranya nak bergelut dengan ibu sendiri.
"Apa mama ni? Inilah... Coki-coki." Rafiqi mengeluarkan coklat yang disorok di bawah bantal.
Datin Sophea ketawa kecil. "Laa... cakaplah awal-awal. Anak mama ni
.." Dia menggeleng sambil tersenyum. Rambut anaknya diusap lembut.
Rafiqi menepis tangan ibunya dengan lembut. Rimas dibelai. "Yalah... malulah Rafiq nak tunjuk kat mama. Orang dah besar." Dia mencebik dengan nada egonya.
Datin Sophea mencebik.
Rafiqi tahu ibunya mengejek. Terus dia menghisap Coki-cokinya semula. "Kenapa mama datang ni?"
"Eh, eh... melawat anak sendiri pun tak boleh ke?"
Rafiqi senyum. "Boleh... tapi kenapa?"
"Hmm... mama nak bagi tahu. Esok... hmm... esok Rafiq pergi mana-mana tak?"
"Duduk rumah aje, ma. Kenapa?"
"Hmm... mama dengan papa ada rancangan esok. Jangan pergi mana-mana tau, sayang..." Datin Sophea mengucup dahi anak lelaki tunggalnya.
Rafiqi berkerut geram. "Hisy, mama ni... Rafiq rimaslah asyik kena cium aje. Rafiq ni dah besar, ma. Dah 27 tahun!" Dia tidak jemu tersenyum. "Okeylah... good night." Lantas dia meninggalkan kamar si anak.
Rafiqi pula masih memikirkan tentang rancangan yang disebutkan ibunya tadi. "Rancangan apa?"
YOU ARE READING
Gaduh Gaduh Sayang
Romance"Papa nak jodohkan aku dengan anak kawan dia? Aku baru putus cinta dengan Aiman. Aku tak nak dikecewakan lagi. Baik aku menyamar jadi gemuk masa jumpa lelaki tu. Lepas tu mekap tebal-tebal dan pakai cermin mata. Bila dia nampak aku buruk, mesti dia...