Bunjut

2.1K 26 2
                                    

"Maksud tuan bunjut bunjut?" Tanya Rosma.

"Bunjut?" balas Luqman.

"Kami panggil bungkusan bungkusan tu bunjut," terang Rosma.

Ayyu dan Citra menguis nguis Rosma supaya jangan diteruskan. Persoalan mereka masih tidak terjawab. Bagaimana Luqman boleh melihat benda yang sepatutnya tak boleh dilihat. Adakah hijabnya telah terbuka? Rahsia mereka harus disimpan rapi.

"Saya pun tak pasti tuan. Masa saya lapor diri dua tahun yang lepas pun dah ada bunjut bunjut ni," sambung Rosma.

"Dua tahun? Kat bawah tadi kan kau kata tiga tahun. Kuat kencing minah ni," Luqman bermonolog sendiri sambil membuat muka pura pura ambil kisah.

Ayyu dan Citra lagilah tak faham. Apa yang lapor diri dua tahunnya? Setahu mereka Rosma dah berada di situ lebih 15 tahun.

Rosma menoleh ke dua sahabatnya. Dengan senyum simpul dan kenyitan mata, dia berkata "tak begitu Puan Ayyu? Puan Citra? Bunjut bunjut ni dah lama tergantung kan?"

Melihat kenyitan itu, barulah kedua mereka faham yang Rosma cuba mengelak persoalan tersebut dengan mereka cerita.

Sebagai seorang yang kuat memerhati, perlakuan Rosma dilihat Luqman sebagai geli hati olehnya." Dah la tak pandai menipu, kenyit mata luar pulak. Aduh lah minah ni. Kelakar yang bukan bukan," mengekek Luqman dalam hati. Kerenah seperti ini jarang sekali dia jumpa. Bukan jarang, malah tak pernah. Pelik.

"Ya tuan. Persoalan tu mungkin tuan guru besar saja yang boleh menjawabnya. Dia yang paling lama di sini." sambung Citra bersahaja.

"Oh. Takpe lah kalau macam tu. Hmmm. Tadi di bawah saya ada terlihat kawasan taman permainan. Dah lama betul tu. Gelongsor kayu. Tangga nak naik pun dah reput. Tuan guru besar takde buat permohonan untuk tukar yang baru ke?" Luqman cuba kembali menjadi professional.

Dia seboleh boleh cuba melupakan tentang kejadian aneh yang sering mengganggunya sejak dia masuk ke pejabat tadi. Bermula dengan renungan makhluk tu. Sedang dia meneliti fail, dia terperasan juga ada seekor katak bukit sebesar pinggan di bucu bilik. Di sebalik pintu bilik taklimat pula seolah olah ada mata yang mengintai cuba melihat dia sedang bekerja. Banyak sangat mistiknya sekolah ni.

"Biarlah mereka. Tahu lah mereka selesaikannya. Aku datang nak tengok fail dan pengurusan sekolah," gerutu hatinya.

"Berkenaan taman permainan tu, rasanya tuan guru besar dah ada bincangkan dengan ketua kampung dan juga Do dari pekan. Rasanya tuan guru besar boleh ceritakan apa yang tuan nak dengar nanti bila dia sampai," jawan Ayyu.

"Oh. Guru besar juga?"

"Ya tuan." jawab mereka serentak tetapi tak harmoni.

Luqman menekup muka. Nak diherdik, macam tak kena. Dia terasa seperti sedang berhadapan dengan situasi di kedai makan yang menawarkan menu yang jitu, nampak menyelerakan, namun bila di tanya, "itu habis encik." "Tu pun habis juga encik." "Yang itu pun sama habis."

"Takpe lah kalau macam tu. Kita tunggu je lah Guru besar sampai," balas Luqman sambil sedikit mendengus kecewa.

++++++++++++++++

Pak Atoi yang dari tadi melayan perasaan menghisap hisap rokok daun yang tidak berapi terus bingkas bangun apabila mendengar deruan tayar pacuan 4 roda. Memang dia sudah kenal sangat dengan bunyi itu. Tuan punya kenderaan itulah yang telah banyak membantunya selama ini. Itulah pada hematnya. Padanya, tuan punya kenderaan itu adalah asbab kenapa dia masih boleh menghirup udara hingga ke hari ini. Padanya, dia akan sentiasa terhutang budi kepada tuan punya kenderaan itu. Dia sanggup menjadi hamba.

Pak Atoi keluar dari bilik usangnya. Menuju ke pintu pagar yang tergeliat. Menariknya supaya terbuka luas. Supaya senang untuk 'tuannya' masuk. Usai membuka pintu pagar, Pak Atoi terus menunggu sambil tangan di belakang dan kepala ditundukkan. Lagaknya tak ubah seperti orang gaji untuk orang kaya di negara India. Menunggu tuan rumah pulang umpama menunggu raja untuk menyantap makanan.

Ford Ranger Lariat megah masuk ke perkarangan sekolah. Langsung tidak dihiraukan kewujudan Pak Atoi. Pun begitu, Pak Atoi masih berasa bangga kerana dapat membuka pintu pagar untuk tuannya itu. Segera ditutup kembali pintu pagar bagi mengelakkan orang luar dari masuk ke dalam tanpa kebenaran.

Ismail turun dari kenderaannya diikuti Deraman. Diri diperkemaskan sedikit lalu terus menghala ke pejabat.

"Perlu aku ikut kamu?" Tanya Deraman.

"Tak. Tak perlu. Aku akan buat seperti perjumpaan rasmi macam biasa. Kau akan tahu kalau aku memerlukan kau."

"Baiklah."

Seperti mana Deraman muncul secara tiba tiba. Pengundurannya juga secara tiba tiba. Hilang. Zuppppp! Yang tinggal hanya desiran angin dan dedaunan berpusar.

++++++++++++++

"Assalamualaikum. Maaf saya lambat sedikit. Tadi masa dalam perjalanan terjumpa dengan ketua kampung. Bersembang sekejap. Baru saya gerak," sapa Ismail seraya muncul di depan pintu bilik taklimat.

"Waalaikumussalam..." serentak dijawab oleh mereka berempat.

"Ha. Panjang umur Cikgu Mail. Kami baru saja sebut sebut nama Cikgu Mail tadi," Rosma berbasa basi.

"Tuan guru besar. Salam perkenalan. Saya Luqman Al Haq." Sapa Luqman.

Tangan dihulur untuk bersalaman disambut erat oleh Ismail.

"Encik Luqman. Salam kenal."

Genggaman masih erat. Masing masing tersenyum. Luqman bermuka biasa. Sedikit bulat pipinya. Ketinggian mereka hampir sama. Berjanggut sejemput di dagu. Trend lelaki 30an. Rambut ber'pomade'. Berjaket logo Kementerian Pendidikan. Tiada yang istimewa tentangnya. Sebelum tiba, Ismail membayangkan yang Luqman berbadan sasa seperti pelakon terkenal Zul Ariffin. Melalui suaranya di telefon, andaian yang dibuatnya ternyata meleset. Betul kata orang, jangan menilai sebelum bersua. Mungkin dia yang terlebih lebih fikir.

"Alhamdulillah. Bersua juga kita ya tuan Ismail."

"Tak perlulah bertuan tuan. Cikgu Mail cukup."

"Baiklah Cikgu Mail. Maafkan saya."

"Apa kata kita berbincang di dalam bilik saya? Ayyu, minta Bariyyah buatkan kopi. Rosma, minta Pak Atoi belikan kuih muih. Citra, susun dulu fail fail dalam kereta saya." lagak Ismail seperti seorang bos di syarikat swasta. Semua yang diarah menurut tanpa kata. Luqman sedikit kagum dengan situasi itu.

"Patutlah semua penolong kanan dia macam tak berfungsi. Semua kena ikut telunjuk dia. Patutlah." getus hati Luqman.

"Mari kita Encik Luqman. To my office," pinta Ismail sekali lagi.

Luqman hanya mengikut.

+++++++++++++++

Tok! Tok! Tok!
Tok! Tok! Tok!

"Encik! Encik! Bangun Encik!"

Ada suara sayup kedengaran. Luqman cuba membuka matanya. Masih terasa berat.

"Encik! Encik! Bangun Encik!"

Suara itu masih kedengaran. Luqman tergaru garu muka yang tak gatal. Matanya digosok gosok. Tertoleh toleh kiri dan kanan. Bingkas dia terjaga terus.

"Astaghfirullahal'azeem... Astaghfirullahal'azeem... Astaghfirullahal'azeem. Kat mana aku ni?" Luqman berbisik sendiri.

Sreeeeett. Tingkap automatik dibuka.

"Encik ok? Encik sakit? Nak saya telefon kan ambulans?" bertalu talu soalan ditanya kepadanya. Dia buntu.

"Apa nama tempat ni? Maksud saya, saya di mana ya?" tanya Luqman yang masih bingung.

"Sini Batu 8 Gombak."

Kau Tak Diperlukan.Where stories live. Discover now