Bab 1

4.6K 107 2
                                    

JARI-JEMARI merah berinai di atas ribaan, aku pandang lama. Bawah bibir sekejap-sekejap dikemam. Jantung yang sedari tadi berkocak hebat, cuba ditenteramkan. Sepertinya gagal. Bunyi degupanku bukannya mahu perlahan, bahkan lebih kuat dan menyesakkan. Aku menghembus nafas kuat-kuat. Sebelah tangan dibawa ke dada, mengusap lembut.

"Tenang, Jannah. Tenang. Bukan kau tak kenal dia. Bukan kau tak biasa dengan dia."

Krikkk...

Bunyi daun pintu yang dibuka dari luar, menyentak kuat. Kepalaku terngadah sendiri. Memandang susuk tubuh yang perlahan-lahan masuk ke dalam. Tinggi dengan langkah teratur.

Jantung berdebar lagi.

Dia tidak datang menghampiri, sebaliknya menyandar tubuh ke belakang pintu yang sudah terkatup.

Jeda.

Aku pandang dia. Dia tenung aku. Aku cuba melarikan pandangan, tetapi renungannya memasung terus. Aku tidak boleh lari.

"Nurul Jannah." Dia tiba-tiba bersuara. Dalam, garau, maskulin dan semestinya punya kuasa untuk menyelinap masuk ke celah hatiku. Lalu, berbekas di situ. Menetap di situ.

Sebagai cinta hatiku. Sebagai suamiku. Yang baru aku nikahi, siang tadi.

"Nurul Jannah binti Dato Johari." Dia mengulang lagi. Disusuli dengan gelak.

Mukaku terasa berderau. Entah kenapa, aku juga tidak tahu. Tetapi yang pasti, tawa yang baru menyinggah telingaku sebentar tadi, bunyinya lain macam. Bukan indah yang selalu aku dengar dan aku gemar, melainkan...

Jelik. Sinis.

Aku mula rasa tidak senang hati.

"Kenapa tunjuk muka cuak pula tu?" Dia tiba-tiba menyergah.

Aku tersentak sejenak, sebelum cepat-cepat menarik senyuman. Terasa sangat canggung, tetapi aku tetap berbuat demikian. Ah, apa yang perlu aku tidak senang hati? Ini ialah Amsyar, suamiku sendiri. Lelaki yang paling aku cinta. Tidak ada yang jelik tentangnya. Tidak ada yang sinis.

"I guess... I'm just nervous," balasku usai beberapa saat berlalu.

Amsyar mengelip mata, sekali. Renungannya masih terpaku kepadaku. Dengan tatapan yang entah apa maksudnya.

"Kenapa? Sebab malam ni, malam pertama kita?" Dia menyoal. Tenang.

Pipiku membahang. Anak mata dikalih, bergerak ke kiri kanan. Tiba-tiba tidak tahu mana mahu lihat. Sudahnya, aku cuma tertunduk segan.

Suatu bunyi melekat di hujung telinga. Lewat ekor mata, aku membawa pandangan ke situ. Kelihatan telapak kaki Amsyar bergerak setapak-setapak ke hadapan, bawa bersama bunyi derap kaki.

Aku menanti dalam debar, hingga akhirnya kaki tersebut berhenti betul-betul di hadapanku. Atas permaidani, hampir menyentuh hujung jari kakiku sendiri.

Daguku tiba-tiba disentuh dan dijongket. Anak mataku ternaik. Melekat kepada muka Amsyar yang menunduk. Merenungku dalam diam. Tajam.

"Kau tahu tak kenapa aku kahwin dengan kau?"

Sekali lagi, mukaku terasa berderau. Bibir jadi terketar-ketar. Begitu juga dengan kelopak mataku. Bergetar, bersama otak yang cuba menangkap apa yang baru aku dengar.

Aku? Kau? Sejak bila ada 'aku' dan 'kau' antara kami berdua? Mana hilangnya 'abang' dan 'sayang' yang kami guna selama ini? Soalan jenis apa pula yang dia tanya sebentar tadi? Aku dan dia sudah bercinta selama dua tahun. Bukankah... Bukankah kami bernikah kerana saling mencintai?

"Apa... Apa maksud abang?" Terluah jua suaraku. Perlahan, sekadar sipi-sipi menyentuh telinga kami berdua.

Amsyar menggerakkan bibir. Herot lagi sinis. Kemudian, dia melepaskan daguku. Tubuh ditegakkan semula, dipusing dan dibawa ke sofa yang terletak di satu penjuru bilik. Dia melabuhkan punggung di situ dan menyandar belakang. Berkepala tegak, bermata tajam. Tepat kepadaku.

Liurku tertelan sedikit demi sedikit. Rasa tidak selesa menyusup ke dalam diri. Amsyar saat ini seperti sedang menelanjangiku dengan renungan tajamnya itu. Membaca dan menganalisa aku hingga ke lubuk jiwaku yang paling dalam. Terdedah segala-galanya!

Aku benar-benar tidak selesa.

"Errr... Errr..." Lidahku berkira-kira untuk sekali lagi bersuara. Mahu menamatkan segala canggung yang menyelubungi.

"Abang... Kenapa tengok macam tu?" Aku akhirnya menyoal, seraya mengangkat tubuh dari birai katil. Langkah dibawa ke hadapan. Separa teragak-agak. Tidak seperti selalu, bilamana aku sentiasa rasa teruja untuk mendapatkan Amsyar.

Dia tidak menjawab. Hanya anak matanya yang bergerak seiring dengan tubuhku yang semakin mendekat. Usai berdepan, aku menghenti langkah. Spontan, kepala Amsyar jadi terdongak kepadaku.

Masih bertemankan sepasang mata tajam itu.

"A... Abang..."

Belum pun sempat aku habis menegur, Amsyar lebih dahulu menyambar pergelangan tanganku dan menarikku kuat. Mataku terbeliak. Mulut terjerit kecil. Sedar-sedar sahaja...

Mata bersabung mata.

Hidung hampir bertemu.

Nafas menampar muka.

Aku berada di atas ribaan Amsyar. Tangan gagahnya melekat di pinggang.

"A... Aaa..." Aku cuba bercakap.

"Kau belum jawab soalan aku tadi." Amsyar menyampuk. Separa berbisik.

"So... Soalan apa?" Aku menyoal kembali. Entah keluar entah tidak suaraku. Mungkin sahaja sudah tenggelam bawah rasa takut yang tiba-tiba menyusup masuk. Juga, rasa terkilan atas perkataan 'aku' dan 'kau' yang masih dia guna.

Sungguh, mana ada 'aku' dan 'kau' antara kami. Tidak ada!

"Kenapa..." Dia meleretkan jari-jemari ke bahuku. Automatik, aku menepisnya. Reaksi spontan yang aku sendiri tidak tahu kenapa.

Amsyar menyengetkan bibir, disusuli gelak halus yang jelas sinisnya.

"Aku kahwin dengan kau." Sebaik melepas kata, dia merengkuh bawah daguku. Tidak selembut tadi, tetapi tidak juga terlalu kasar. Cukup sekadar membuat mukaku terpanggung dekat mukanya. Mataku terpanah ke dalam matanya.

Saat itu juga, aku rasa duniaku berkecai! Di hadapanku sekarang, betul-betul dekat denganku sekarang, bukan sepasang mata penuh cinta yang sering aku lihat, tetapi sebaliknya.

Ini mata yang penuh dengan kebencian!

Bibirku mula menggeletar. Mataku mula bergenang. Hatiku... Hatiku mula sakit.

Namun, tetap juga aku cuba bertahan. Bahkan, aku menggerak bibir yang menggeletar itu, jadi sebentuk senyuman yang aku yakin hodoh sekali.

"Kita... Kita kan dah couple dua tahun. Ana sayangkan abang. Abang pun..."

"Sayangkan kau? Macam tu?" cantas Amsyar. Senada. Siap dengan kening yang diangkat sebelah.

"Ya." Aku mengeyakan. Laju dan bersungguh.

Tidak semena-mena, Amsyar ketawa. Tangannya melepas daguku, mulutnya terbuka luas dan menghambur tawa. Kuat sekali, menujah telingaku yang tidak jauh daripadanya.

Aku mengerutkan dahi. Tidak tahu mana yang lawaknya dengan jawapanku tadi. Amsyar... Dia... Dia memang benar-benar sayangkan aku, kan? Dia cintakan aku, kan? Itu yang dia kata selama ini! Itu yang aku percaya!

"Sayang?"

Amsyar ketawa lagi.

"Sayangkan kau?"

Dia berhenti tiba-tiba. Sisa tawa tidak tertinggal langsung. Seperti tidak pernah wujud adegan dia ketawa terbahak-bahak tadi.

Suasana menghening. Masih dengan aku yang keras atas ribaan Amsyar dan masih dengan Amsyar yang sedikit-sedikit merapatkan mukanya ke mukaku. Sampai depan-depan...

"Wrong answer." Dia berdesis. Mendatar. Kosong, lagi dingin. Sama dinginnya dengan renungannya sekarang.

"Aku kahwin dengan kau bukan sebab aku sayangkan kau. Tapi sebab aku..."

Amsyar mematikan kata. Jelas sengaja. Kemudian, dengan gaya perlahan dia menggerak kepalanya melepasi telingaku. Sampai di situ, dia berhenti.

"Nak hancurkan kau."

Mataku terbuntang. Segenap tubuh terkaku.

"Sampai lumat."

Dendam Bersulam CintaWhere stories live. Discover now