"Ini huruf apa?" Suara yang bertanya itu kedengaran sungguh serius. Mata terkebil-kebil memikirkan huruf apa yang berbentuk seperti itik itu.
"Ya." Syufina jawab dengan malas.
Dahi Abdullah semakin berkerut.
"Saya bukan panggil awak. Tapi saya tanya, ini huruf apa."
"Kan saya dah kata, Ya!" Syufina naik geram.
"Janganlah marah! Saya tanya je! Apa yang awak iyakan? Saya tanya huruf apa!" Abdullah pun tak mahu kalah. Dia naikkan suaranya juga.
"Astaghfirullahalazim, Abdullah. Itu, huruf yang awak duk tanya saya daripada tadi tu. Namanya, huruf YA! Faham?"
Syufina jeling Abdullah lama-lama. Sakit hati betul.
"Ooo cakaplah huruf YA! Dulu masa sekolah awak tak belajar ke? Kalau jawab soalan, kena ada 'kepala ayat'. Kalau tak, potong setengah markah!" Tercebik-cebik bibir Abdullah meluahkan rasa tidak puas hati.
"Orang nak belajar pun tak nak ajar elok-elok!" sambung Abdullah lagi.
"Dahlah, nak tido!" dan lagi sambungnya.
Syufina jungkit sebelah kening. Aik, merajuk ke?
"Abdullah, awak merajuk ke?"
Diam, tiada balasan. Suaminya itu dah menekupkan muka dengan bantal.
Syufina menepuk dahi sendiri perlahan. Alamak, dia tergarang sangat ke mengajar suami sendiri? Dia dah terbiasa!
"Awak, jangan merajuk. Minta maaf la. Saya dah terbiasa mengajar garang-garang." Bahu suaminya disentuh lembut.
"Tapi ni suami sendiri! Janganlah garang sangat!' Sayup-sayup Abdullah membalas. Muka masih ditekap dengan bantal.