Awan berarak kelabu dan langit dihiasi bintang-bintang malam ini. Cahaya bulan menerangi alam dan angin berhembus lembut membuat suasana terasa dingin. Itulah yang dirasa Mustafa yang sedari tadi merenung keluar jendela, memerhati, menghayati dan mengamati alam dengan perasaan yang sangat sayu dan syahdu sambil ditemani lagu-lagu rock melayu jiwang tangkap leleh 90an yang dimainkan dari aplikasi JOOX dari telefon pintarnya.
"..Hati siapakah mampu menahan rasa terkilan,
Setelah percintaan dihujani halangan
Sia-sialah aku berkorban selama ini,
Andai dirimu tak mampu aku miliki.."
Sekali sekala airmata Mustafa menitis keriba tatkala mulutnya berkumat-kumit menyanyikan bait-bait lirik dari lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Scan bertajuk "Kau Dipaksa Aku Terpaksa" itu dengan penuh perasaan dan jiwa.
"Hina sangatkah aku pada pandangan keluargamu!..sehingga sewenang-.."
"Oi, Stafa!.."
Belum sempat Mustafa masuk ke bahagian korus, teman serumahnya, Karim datang menyergah dari muka pintu.
"Kau dah kenapa?!..teman aku gi kedai jap.."kata Karim.
"Kau pergilah, aku takde mood.." jawap Mustafa.
Karim sedar yang sahabat baiknya itu baru putus cinta dan sengaja Karim mengajak Mustafa keluar menemaninya, bukan kerana Karim tak biasa pergi kedai seorang diri tapi kerana sahabat baiknya itu sudah hampir 2 minggu terperap didalam bilik, tidak keluar menjalani hidup didunia luar.
"Hmm..ye laa, kau nak pesan apa-apa tak? makan? aku nak beli burger ni kalau kau nak sekali.."
Mustafa tertunduk dan mengeluh,
"Kau rasa aku ada peluang ke dapat Saadiah balik Rim..? tanya Mustafa dengan nada yang sayu tapi punya pengharapan.
"Kau dah kenapa KAMBING!, aku tanya pasal MAKAN! M.A.K.A.N..EAT!..", Nada Karim sedikit keras sambil tangannya membuat isyarat makan ke mulut.
Ya, sejak perpisahan Mustafa dan Saadiah tempoh hari, Mustafa seperti menjadi tidak keruan. Asyik termenung diluar, terlalu menghayati lagu-lagu jiwang umpama dialah penulis lirik dan dia jugalah watak dalam setiap kisah lagu cinta. Entah bila dia makan, entah bila dia tidur.
Dan jika azan berkumandang, Mustafa ada segerakan solatnya dan usai itu, Mustafa akan menangis-nangis menadah tangan, meminta doa. Panjang doa tak perlu cakap, kadang 30 minit lamanya. Entah apalah yang dipintanya.
Mustafa menekup muka dengan kedua telapak tangannya dan meraung sekuat mungkin,
"Subhanallah, ada jugak yang kena sembelih kejap lagi ni jadi daging burger.." laung Karim.
"Dahlah, aku keluar dulu! apa punya jantan macam pondan nangis!..," Sambung Karim lagi.
Karim berlalu pergi dari pintu bilik Mustafa. Motorsikal dihidupkan dan sebatang rokok disisipkan pada bibir lalu dinyalakan. Sebelum melabuhkan punggung ditempat duduk. Karim mengunci dulu pintu rumah sewanya itu. Pernah sekali rumah mereka hampir dimasuki pencuri tapi sempat ditangkap oleh Karim yang kebetulan baru sampai dirumah ketika pulang dari tempat kerja.
Masa tu Mustafa sedang nyenyak tidur didalam biliknya. Dengan kipas lampu terpasang, TV masih menyala, pintu depan belakang terkangkang luas dan tidak berkunci. Hampir lunyai juga Mustafa dikerjakan Karim ketika itu. Mujurlah akalnya masih waras dan mampu bersabar dengan perangai pra-matang sahabat baiknnya itu. Jika tidak, pasti sekarang ni dia tidur didalam lokap atas kesalahan membunuh.
Tapi memang Mustafa sejak-sejak putus cinta ni memang berbeza sangat. Jika dahulu, Mustafa seperti abang kepada Karim dan Karim seperti adik. Mereka berdua saling menjaga antara satu sama lain tapi sekarang dia umpama hilang arah tujuan, jiwanya kosong dan mindanya tepu.
Kisah cinta dia dan Saadiah yang terputus tengah jalan itu banyak mengubah hidup Mustafa dan sememangnya ia membawa kesan yang sangat mendalam.
"Sedih.." bisik hati Karim.
YOU ARE READING
Kisah Lelaki Yang Kehilangan Cintanya
RomansaMustafa adalah seorang lelaki yang telah kehilangan cinta sejatinya. Selepas permergian Saadiah dari hidupnya, jiwa Mustafa semakin kacau dan hiba. Karim, sahabat baik Mustafa mengerti perkara ini. Karim sedar nilai Saadiah dimata Mustafa bagaikan s...